Oleh Huda Aina, Laman Indah
Tahun lepas, 7000 pelajar dibuang sekolah (Utusan Malaysia, 17 Ogos 2006). Tahun ini, sehingga Ogos, bilangannya dikatakan sudah mencecah 3500. Secara umumnya, dalam tempoh dua tahun 10,500 pelajar dibuang sekolah. Persoalannya, ke mana mahu kita campakkan pelajar-pelajar ini? Adakah mereka memang benar-benar langsung tidak punya sebarang harapan lagi? Lebih mengharukan, terdapat sebilangan pendidik yang merasa begitu berbangga kerana berjaya menyingkirkan pelajar yang dilabel sebagai 'sampah-sampah' sekolah ini.
Kelmarin, guru saya bercerita tentang kesedihan rakannya. Anaknya yang 'pijak semut tak mati' di rumah rupanya 'bapa segala samseng' di sekolah. Sekolahnya bukan sebarang sekolah. Sebuah sekolah ternama di utara tanah air.
Berita ke'samsengan' anaknya akhirnya sampai ke pengetahuan si bapa. Bapa mana yang tidak sedih, tinggal dua bulan sahaja lagi anak kesayangannya itu akan menghadapi peperiksaan Sijil Terbuka Malaysia. Pihak sekolah langsung tidak pernah memaklumkan. Semua berita hanya diperoleh melalui khabar-khabar angin yang boleh diragui kesahihannya.
Akhirnya, si bapa yang prihatin inipun pergilah 'mengintai' gerak-geri anaknya di sekolah. Modus operandinya 'ala-ala James Bond'. Memang anaknya langsung tak perasan. Setelah beberapa hari melakukan pengintipan, hampir pecahlah hati si bapa. Sudah terang lagi bersuluh, rupanya si anak 'samseng bertanduk'.
Setelah jiwanya kembali tenang, bersegeralah si bapa bertemu dengan pengetua sekolah anaknya. Dengan angkuh, rupanya sudah lama para guru di situ mahu membuang anaknya daripada sekolah. Alasannya, bimbang nanti keputusannya akan mencemarkan prestij sekolah. Al-maklumlah, sekolah ternama. Dengan markah peperiksaan 'nyawa-nyawa ikan', mustahil 'samseng bertanduk' melangkah cemerlang.
Mendengar kata-kata 'azimat' pengetua, si bapa tunduk bertafakur. Dengan nada lirih si bapa menutup bicara:
"Kalau guru-guru di sini tak sanggup menjaga anak saya, tolonglah beritahu siang-siang. Kenapa tiada seorang pun memberitahu saya tentang perilaku sebenar anak saya di sekolah".
Akhirnya, dengan budi-bicara, si anak dibenarkan mengambil peperiksaan. Si bapa dengan penuh optimis, membawa anaknya pulang ke rumah. Ternyata, si bapa memang bapa mithali. Keruh dibuang, jernih dituang. Sepanjang dua bulan, si anak di kawal rapi. Perangsang dan semangat sentiasa di beri. Pergaulan di jaga, ibadah diselia. Taqwa disemai, akhlak dituai. Terharu si anak layanan diberi. Tekad berjaya duniawi ukhrawi.
Sampai masanya, keputusan peperiksaan diumumkan. 'Samseng bertanduk' mencipta sejarah. Keputusan cemerlang bukti kesungguhan. 'Sampah sekolah' rupanya masih punya harapan.
Dengan langkah malu-malu alah, seorang guru mendekati si bapa lalu berbisik perlahan: "Macam mana cara Dr. mendidik anak?". Tersenyum si bapa dalam syukur. Alhamdulillah, dengan izin Allah, langkah yang bijak telah diambil.
Kini, bekas 'samseng bertanduk' sedang melanjutkan pengajian di luar negara. Mudah-mudahan, pulangnya nanti membawa cahaya.
Kesimpulannya, remaja kita masih punya harapan. Senakal manapun ia, pasti ada kaedah untuk mendidik mereka. Tindakan buang sekolah bukan penyelesai terbaik masalah. Adalah tidak wajar untuk kita membiarkan mereka ini terkontang-kanting dalam masyarakat. Kerjasama yang erat diperlukan antara ibu-bapa, guru, masyarakat dan media untuk melahirkan remaja-remaja terbilang dengan personaliti menjulang.
Nota tesis: PPPPM, 18 Rejab 1427
No comments:
Post a Comment