Tuesday, July 31, 2007

Fenomena Gejala Sosial Belia-Remaja



Oleh: Ustaz Nurhelmi B. Ikhsan (Bahagian Istinbat)
JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR


Kita mengakui bahawa krisis sosial membabitkan golongan belia/remaja memang wujud di negara ini dan kita sepatutnya perlu memandang masalah ini secara lebih serius lagi, dengan menjadikan program menangani isu ini sebagai agenda utama negara, seperti mana halnya dengan penumpuan khusus yang telah dilakukan untuk membangunkan semula sektor ekonomi negara yang terjejas teruk akibat daripada krisis kewangan tahun 1998 dahulu. Apa yang jelasnya, bersesuaian dengan gagasan pembangunan ala- Malaysia yang lebih mampan dan seimbang di antara elemen fizikal dan spiritual, bertentangan dengan konsep pembangunan ala- Barat, kita tidak boleh menganggap isu ini sebagai masalah kecil, berasaskan kepada dua asas yang utama; pertamanya, masalah ini timbul membabitkan golongan remaja yang merupakan penduduk terbesar di Malaysia dan dapat dikatakan sebagai pelapis yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara suatu masa nanti.
Keduanya, kegagalan membangunkan potensi golongan remaja ini bakal menjejaskan program pembangunan yang telah dijalankan, seperti halnya banyak wang negara yang terpaksa digunakan untuk memulihkan kalangan penagih dadah dan penghidap penyakit HIV/AIDS. Islam memandang semua pihak merangkumi pihak kerajaan, NGO, ibu bapa dan pelbagai pihak perlu bertanggungjawab dan bekerjasama bagi mengatasi perkara ini sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksudnya:


"Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan setiap apa yang kamu pimpin."(Riwayat at-Tirmizi)



ARUS KEHIDUPAN MASA KINI


Sejak kebelakangan ini, kita merasa gembira melihat semakin banyak program-program yang diadakan termasuklah oleh pihak berkuasa dan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan belia. Ia mencerminkan satu perkembangan yang positif dalam masyarakat kita yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah sosial. Ia juga memberikan isyarat yang jelas bahawa belia kita prihatin terhadap melengkapkan diri mereka dengan maklumat dan perkembangan semasa bagi memahami kedudukan dan keperluan masyarakat.

Dalam era persejagatan yang penuh cabaran ini, masyarakat Islam terutamanya golongan muda, terdedah kepada pelbagai unsur samada positif mahupun negatif. Ini mencabar keupayaan mereka membuat keputusan dan memilih jaluran kehidupan yang elok dilalui. Pada kita, jelas sekali anasir-anasir negatif bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah tidak sesuai dengan tata susila dan peradaban kita sebagai orang Timur. Oleh itu tidak salah seandainya kita merasa bimbang apabila golongan belia kita leka dan terikut-ikut dengan arus kehidupan yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Ini memandangkan sekiranya iman dan jati diri mereka kurang mantap, besar kemungkinan mereka akan hanyut bersama gelombang budaya kurang sihat.

Bersesuaian dengan teori yang mengatakan sesuatu masyarakat pasti akan terpengaruh dengan difusi budaya luar, teori ini dapat dianggap sebagai cukup relevan untuk konteks era globalisasi pada masa sekarang, yang menyaksikan bagaimana difusi pengaruh negatif daripada luar dapat dikesan dengan cukup meluas berkembang di dalam masyarakat Malaysia. Merujuk khusus kepada kalangan remaja yang dikatakan belum mempunyai kematangan diri dan emosi, beberapa kajian semasa telah menunjukkan golongan remaja Melayu ini mudah dipengaruhi dengan elemen budaya kuning yang dibawakan oleh arus
globalisasi. Hasil penelitian yang dibuat terhadap dapatan kajian semasa yang mempunyai kaitan langsung dengan perkembangan personaliti masyarakat Melayu, kita akan mendapati beberapa perkara sebagai berikut;

i Sebahagian masyarakat Melayu moden telah dikesan menghidap penyakit psikologi yang agak kronik, penyakit gelisah dan hilang pertimbangan akal yang kemudiannya telah menyebabkan berlaku pelbagai tindakan buruk seperti bunuh diri, menagih dadah dan arak, murtad, bohsia dan mengamalkan "free-sex". Kajian ini mendapati punca utama penyakit gelisah ini berlaku adalah akibat daripada kurang iman dan tidak menuruti kehendak agama.

ii Golongan remaja Melayu yang menjadi pengguna terbesar internet (cyber cafe) didapati menggunakan saluran internet bukannya untuk tujuan pendidikan, tetapi sebagai sumber untuk mendapatkan hiburan yang lebih bebas tanpa kongkongan keluarga, yang berupa permainan video games, pornografi, berkenalan (chit-chat) dan mengisi masa lapang dengan kegiatan yang tidak berfaedah.

iii Kajian yang mendapati bahawa ikatan dan fungsi keluarga Melayu moden sebagai penjaga dan pendidik emosi anak-anak telah mula terhakis yang kemudiannya menyebabkan pelbagai masalah sosial remaja yang cukup kronik. Berikutan dengan faktor asas ini, golongan remaja Melayu lebih terpengaruh dengan budaya di luar keluarga seperti media massa dan rakan sebaya. Akibatnya mereka lebih mudah terjerumus dengan hiburan yang mementingkan keseronokan yang melampaui batas, sensasi, glamour dan sindrom kurang daya tahan iman. Manakala pengaruh rakan sebaya pula menyebabkan mereka terlibat dengan budaya melepak dan pelbagai masalah sosial lain seperti ketagihan dadah, arak, berjudi, menonton video lucah, "free-sex", dijangkiti penyakit AIDS dan banyak lagi masalah lain.

iv Kajian yang mendapati bagaimana tabiat pembacaan remaja Melayu yang lemah, di mana mereka lebih mengutamakan bahan bacaan yang tidak membina minda dan daya intelektual, merangkumi hiburan, jenaka, sukan dan bahan lucah. Pendek kata, mereka telah terjerumus ke dalam budaya yang cukup meruncing akibat dari ketiadaan budaya ilmu yang sihat.

Dilihat kepada semua paparan yang telah diberikan ini, secara terang-terangan remaja Melayu telah dilanda dengan krisis sosial yang cukup meruncing membabitkan semua aspek yang terpenting (aspek kognitif, afektif dan psikomotor) di dalam pembentukan jiwa seseorang remaja Islam. Hal ini boleh dilihat dengan lemahnya pegangan iman, hilangnya pengaruh ibu-bapa, ketergantungan mereka kepada pengaruh rakan sebaya yang tidak mampu berfikir dengan waras dan terpaksa hidup di dalam suasana masyarakat yang penuh dengan budaya mungkar.


SIKAP KITA UNTUK MENANGANI MASALAH SOSIAL REMAJA

Pada dasarnya, berasaskan kepada pengamatan semasa, terdapat beberapa pendekatan yang telah diambil oleh kalangan masyarakat untuk menghadapi isu krisis sosial remaja ini. Antaranya, ialah sikap dan paradigma ala-intelektual yang mengabungkan pelbagai pendekatan yang utama. Sikap ini selaras dengan kehendak Islam, iaitu;

i Sikap prihatin dan menganggap masalah ini sebagai tanggungjawab bersama bagi semua lapisan masyarakat, memandangkan golongan remaja boleh dianggap sebagai masa depan sesebuah masyarakat.

ii Mementingkan pendekatan yang mencari punca dan mencadangkan jalan penyelesaian masalah secara mikro.

iii Perlu menghargai struktur, mekanisme dan sistem penyelesaian masalah yang sebelumnya telah dijalankan di dalam masyarakat (paradigma evolusi).

iv. Berusaha melakukan kajian dan mencuba model penyelesaian masalah yang difikirkan perlu.

v. Berusaha memantau keberkesanan cara penyelesaian masalah yang dikemukakan.

vi. Berusaha menjalin dan menghidupkan jalinan ummah Islam sedunia bagi mempelajari kaedah penyelesaian masalah yang lebih sesuai untuk konteks zaman moden.

Apa yang jelas, pendekatan yang dicadangkan ini bertepatan dengan idealisme perjuangan Islam yang mementingkan kesejahteraan agama, diri dan anggota masyarakat melebihi kepentingan lain. Kesemua kepentingan ini perlu diadun dengan cukup rapi sehingga menjadikannya lebih bersifat bersepadu di antara taktik dan matlamat yang mengaitkannya dengan kerangka pencarian kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Apa yang lebih penting lagi, sejarah telah membuktikan bagaimana penggunaan kaedah ini telah mampu membangun suatu bentuk tamadun Islam jitu di antara kepentingan kebendaan dunia yang bersifat sementara, tetapi perlu diutamakan untuk ketinggian agama Islam, dengan kepentingan akhirat yang lebih bersifat abadi. Semoga para belia/remaja kita dimasukkan ke dalam golongan pemuda Ashabul Kahfi yang digambarkan oleh Allah S.W.T. pada ayat 13 Surah al-Kahfi yang bermaksud:
"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk"


PENETAPAN VISI, MISI DAN WAWASAN

Penetapan ini difikirkan amat perlu demi untuk sentiasa mengingatkan sesebuah organisasi Islam tentang matlamat yang hendak dicapai. la boleh dikatakan sebagai asas utama sesuatu organisasi yang perlu diperhatikan dan dihayati oleh setiap anggota kumpulan terbabit. Proses penetapan visi, misi dan wawasan ini boleh dibuat dengan mengetahui dan mengambilkira beberapa prinsip asas Islam yang terpenting dan menerapkannya di dalam visi, misi dan wawasan ini. Antara prinsip-prinsip asas Islam yang dimaksudkan adalah:-

i. Pengetahuan tentang hakikat kejadian manusia - dengan menanyakan beberapa persoalan utama, (i) dari mana; (ii) untuk tujuan apa; dan (iii) ke mana akhir perjalanan hidup dan matlamat manusia. Apa yang jelasnya, semua persoalan penting ini boleh dijawab melalui pemahaman konsep khalifah Allah. Sabda Rasulullah S.A.W. yang mafhumnya:
"Tidak bergerak kaki seseorang anak Adam itu di hadapan Tuhannya pada hari akhirat kelak kecuali setelah ditanya tentang empat perkara, salah satu daripadanya ialah tentang umurnya, untuk apa ia dihabiskan dan tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan".

ii. Proses pembentukan seseorang remaja yang boleh bertindak sebagai intelektual ummah yang berjiwa tauhid dan mengamalkan konsep "amar makruf nahi mungkar". Akan tetapi, sebelum proses pembentukan individu intelektual ini dapat ditetapkan di dalam penetapan wawasan sesuatu organisasi, terlebih dahulu kita perlu mengetahui dengan lebih lanjut tentang semua perkara yang berkaitan dengan intelek, merangkumi, (i) siapa dan bagaimana sifat seseorang intelek Islam; (ii) apakah jenis-jenis intelek yang terdapat dalam realiti semasa; dan (iii) bagaimana cara untuk membentuk dan mengasah sifat intelek di dalam diri seseorang Muslim.


KESIMPULAN


Sebagai umat Islam yang berpegang kepada prinsip hablum minallah wa hablum minannas, kita tidak boleh mengenepikan semua hal dunia untuk menumpukan perhatian kepada akhirat semata-mata. Sebaliknya kita juga harus sedar bahawa mengejar kehidupan dunia semata-mata bukanlah matlamat kita dihidupkan Allah di dunia ini. Tugas membangun dan membimbing ummah ke arah kehidupan yang seimbang duniawi dan ukhrawi menjadi tanggungjawab kita. Amanah ini harus dipikul oleh golongan belia kerana mereka mempunyai kecergasan dan kecerdasan yang diharapkan dapat memperjuangkan dan mempertabatkan agama.

Bagaimanapun, pernahkah kita terfikir dan bertanya, belia yang bagaimanakah yang menjadi kebanggaan Islam? Kualiti rohani dan jasmani yang bagaimana pula yang perlu ada pada belia kita untuk menjadi pejuang agama? Tentunya iman, taqwa dan akhlak mulia adalah nilai utama untuk memenuhi misi ini. Di samping itu, mereka juga harus memiliki semangat waja untuk berkorban di jalan yang diredhai Allah S.W.T. Oleh itu, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud :
"Terdapat tujuh golongan manusia yang akan diberi naungan Allah pada hari terdapat tiada naungan melainkan naungan-Nya. Salah satu daripada golongan itu ialah pemuda yang seluruh hidupnya ditumpukan untuk tujuan beribadah untuk Tuhannya".

Pengajaran hadis ini jelaslah kepada kita bahawa ciri-ciri belia yang taat beribadah (dalam erti yang lebih luas-mencakupi seluruh aspek kehidupan dunia dan akhirat) adalah salah satu golongan yang mendapat tempat yang istimewa yang dijanjikan Allah di akhirat kelak.Kedudukan dan peranan belia diiktiraf penting oleh agama dan masyarakat. Di pundak mereka terletak tanggungjawab kepimpinan demi membentuk masa depan masyarakat yang beragama dan bermoral. Di tangan para belia kita, terletak kewibawaan untuk mencipta perwajahan cemerlang bangsa dan agama demi memandu kita semua ke jalan khaira ummah yang dirahmati Allah S.W.T.

Oleh itu, para belia-remaja pada hari ini perlu menghiasi diri dengan ilmu yang kukuh, keimanan yang ampuh dan misi yang utuh. Ketigatiga senjata ini amat perlu untuk kita merubah keadaan kita sekarang, daripada masyarakat yang dianggap tanggungan (liabilities), berganjak kepada kelompok yang tinggi aset sosialnya, baik kepada agama, bangsa dan negara. Kita harus menerima hakikat bahawa bekalan ilmu amat perlu untuk mengharungi hidup di zaman yang penuh cabaran ini.

Belia Pencorak Masa Depan

Belia adalah generasi harapan bangsa dan negara untuk masa kini dan masa akan datang. Mereka adalah pewaris kepimpinan dan tunjang pembangunan dalam merealisasikan matlamat negara dalam apa jua aspek-aspek penting yang boleh menyumbangkan kepada bangsa dan tanah air.

Pada setiap 1 Ogos akan menjadi tarikh bagi warga belia yang ada di negara kita. Negara Brunei Darussalam mempunyai pengertian yang sangat besar makna dan ertinya kepada belia di negara ini terutama para pemimpin belia kita yang berjasa di atas penglibatan dan sumbangan mereka kepada pembangunan di negara ini.

Di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaula, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan baginda bertitah: "Inilah semangat yang baginda laungkan sendiri sebagai raja dan pemimpin negara yang berjiwa rakyat yang sentiasa perhatian para belia di negara ini yang merupakan golongan yang dianggap mampu mencorakkan masa depan serta juga penerus kesinambungan cita-cita bangsa.''

Usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah pun membina dan menyediakan pusat-pusat institusi pengajian tinggi seperti maktab-maktab, pusat-pusat vokasional dan universiti di dalam negara kita adalah semata-mata untuk negara amnya dan para belia khususnya yang berinovatif serta memperolehi pelbagai ilmu dan juga kemahiran-kemahiran. Dengan adanya ini semua belia inilah diharapkan oleh kerajaan dan negara agar menjadi bakal penjana di dalam pentadbiran negara untuk meningkatkan prestasi keberkesanan dalam pembangunan negara di bidang ekonomi dan teknologi demi kestabilan dan seterusnya memajukan negara kita untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.

Betapa pentingnya belia kita yang mempunyai berkelulusan tinggi, intelektual dan yang berwibawa dalam melaksanakan dan mentadbirkan negara yang membangun. Selaku belia aset negara janganlah dipersiakan akan harapan kerajaan yang telah bersusah payah mengusahakan dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang diberikan.

Belia pada masa kini sangat berpotensi serta mempunyai bakat semula jadi yang mana di era globalisasi ini, tenaga kerja para belia diperlukan oleh kerajaan bagi sama-sama membantu memperkembangkan ekonomi negara. Para belia yang cekap dan kreatif dalam hal pengurusan dan pengusahaan amat membantu dalam mempelbagaikan sumber ekonomi negara. Para belia mengetengahkan bakat dan kekreatifan mereka terbuka luas. Tambahan lagi dengan wujudnya alat telekomunikasi yang semakin canggih, belia seharusnya merebut peluang untuk memahirkan diri mereka dalam bidang teknologi infokomunikasi (ICT).

Mengharapkan sumbangan para belia iaitu sebagai generasi yang akan menjalankan jentera kerajaan dan tanda balasan imbal baik usaha yang telah diberikan oleh kerajaan dengan penuh kejayaan membangunkan negara kita di tahap yang lebih tinggi. Sebagai contoh bagi kita, antara negara yang telah lama maju seperti negara Jepun, maka bangkitkan semangat dedikasi kita kepada negara untuk memajukan negara sendiri sebagai peneraju masa depan. Memperkembangkan di kalangan belia pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan serta menanam dalam diri mereka sikap dan kualiti bertanggungjawab, berdisiplin, dinamik, dapat menyesuaikan diri dan berdikari bagi pembangunan negara, di samping mengukuhkan kepaduan negara.

Kejayaan mereka ini atas dorongan ibu bapa dan guru-guru serta rakan-rakan sebaya mereka dengan memberi semangat agar lebih maju dan produktif. Sebagai rumusan, ramuan yang ideal dan membuahkan hasil bagi sesebuah negara, belia hendaklah sentiasa progresif serta bekerjasama dalam meningkatkan pembangunan dan kualiti kehidupan negara kita. Untuk mencapai kejayaan, kunci utama yang perlu para belia miliki ialah hendaklah menjauhkan diri daripada masalah-masalah sosial, melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang dan menghancurkan masa depan yang telah musnah.

Jadi berhati-hatilah untuk memuhasabah diri untuk mencapai kecemerlangan para belia. Dari itu, amatlah penting dan mustahaknya agar belia merupakan masa depan kita kerana itu belia perlu sedar bahawa masa usia muda inilah peluang mereka untuk memanfaatkan usia dan masa depan sebaik-baiknya. Belia harus maju ke hadapan dengan lebih bertenaga dan mampu berdaya saing. Daya saing yang tinggi inilah nanti akan dijadikan sebagai aset besar negara untuk menjadikan generasi belia itu harapan bangsa dan masa depan negara. Mereka menjadi contoh dan ikutan yang baik untuk diteladani yang membawa kepada kecemerlangan ummah sebagai pewaris negara belia cemerlang.

Noryati binti Awang Juni,No. 62G, Kampong Sumbiling Lama, Jalan Istana Lama, Bandar Seri Begawan, BN 1111. No. k/p: 01-062559.

Mampu Berdikari Tanpa Bergantung Kepada Pihak Lain

Belia merupakan pewaris yang bakal memikul tanggungjawab menerajui negara di masa hadapan. Oleh itu, impian negara adalah melahirkan belia cemerlang yang mampu untuk membangun serta memajukan negara.
Perkara pokok untuk menjadi belia cemerlang ialah hormat kepada agama, undang-undang dan adat resam negara. Sebagai penganut agama Islam, setiap perincian yang bakal belia lakukan hendaklah tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam. Islam menyuruh kita supaya mematuhi ajaran Allah Subhanahu Wata'ala dan menghindari segala larangan-Nya.

Di samping itu juga, belia kenalah patuh kepada undang-undang negara. Yang bermaksud menghindari segala bentuk gejala sosial yang bukan sahaja melanggar undang-undang negara malahan bertindak menggelapkan masa depan belia itu sendiri.

Adat resam merupakan identiti kepada sesebuah negara. Sementelah lagi, negara kita terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan adat resam ketimurannya. Wajar bagi belia harapan negara untuk menghormati serta mengekalkan adat resam negara yang sedia ada.

Dalam perkembangan dunia pendidikan tanpa sempadan masa kini, belia juga perlu lebih berilmu serta berpengetahuan agar mereka mampu untuk berdaya saing dengan rakan serantau mahupun sejagat. Namun begitu, pendidikan hendaklah selaras dengan penghayatan yang kuat terhadap ajaran agama Islam memandangkan dunia hari ini lebih menjurus kepada kebejatan moral.
Belia hari ini juga haruslah bijak. Bijak dari segi menguruskan masanya dengan melakukan kerja-kerja yang bermanfaat. Di samping itu, mereka bijak dalam mengatur hidupnya dengan melakukan perkara-perkara yang menjurus pada kebaikan.
Dan apa yang lebih penting jika ingin belia cemerlang haruslah mampu untuk berdikari sendiri tanpa perlu banyak bergantung kepada orang lain. Pembentukan negara di masa hadapan tergantung kepada diri belia sendiri untuk mencoraki dan mewarnakannya.

Oleh yang demikian, perasmian 1 Ogos 2006 sebagai Hari Belia Kebangsaan merupakan apresiasi, harapan serta kepercayaan tertinggi negara terhadap para belianya. Dengan ini, para belia negara haruslah menyemai rasa tanggungjawab ke dalam diri masing-masing untuk mewujudkan belia cemerlang inpian negara.

Hajah Zalinawati binti Haji Mohammad Husain, No. 9, Blok C, Perumahan Berek Polis,Jalan Istana Darul Hana, BA 2112No. k/p: 00-289467.

Lahirkan Belia Progresif Berwawasan

SEMEMANGNYA telah diakui bahawa kecemerlangan umat bermula dari keluarga yang bahagia. Oleh itu kita perlu berusaha membina dan membangunkan institusi keluarga sejajar dengan tuntutan Al-Qur'an dan Al-Sunnah untuk melahirkan generasi yang bermain dan bertakwa. Dalam hubungan ini, untuk membina keluarga bahagia, ciri-ciri kriteria-kriteria seperti yang digariskan oleh Islam perlu disemai dari mula lagi.

Walaupun begitu, dalam era pembangunan dan cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara maju yang merangkumi aspek ekonomi, politik, sosial kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan yang bercorak kebruneian kita tidak mungkin dapat menghindari hakikat permasalahan yang melanda remaja hari ini. Permasalahan ini seharusnya menjadi perkara pokok yang memerlukan penyelesaian utama oleh semua pihak mulai hari ini.

Remaja belia Islam hendaklah dibentuk ke tahap yang mantap di mana pegangan, semangat, akhlak perjuangan mereka tidak berubah mengikut keadaan masa mahupun tempat. Malah para belia hendaklah berkemampuan dan berkeupayaan menjaga kualiti-kualiti tersebut dengan teguh dalam apa jua suasana. Kemantapan yang paling diharapkan ialah belia remaja yang terbentuk sebagai contoh atau tauladan yang akan diikuti oleh semua pihak yang berdamping dengannya untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

Ciri-ciri remaja belia yang cemerlang sebenarnya dapat dibina jikalau semua pihak di dalam masyarakat sentiasa sokong-menyokong atau menjadi agen pembentukan perilaku yang berwawasan. Pembentukan perilaku belia yang berwawasan biasanya berkait rapat dengan proses sosialisasi remaja iaitu peranan keluarga dan ibu bapa serta peranan masyarakat sekeliling.

Memang tidak dinafikan imej belia yang ditonjolkan selama ini adalah belia yang berseronok sepanjang masa. Media massa yang terlibat secara langsung dengan publisiti dalam pembentukan imej belia sering mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi belia. Imej negatif ini perlu dihapuskan sama sekali.

Matlamat utama bagi apa jua usaha pembangunan belia mestilah menuju ke arah pembentukan individu sempurna. Belia yang sempurna sahajalah yang akan dapat mempertingkatkan dan mengekalkan tahap pembangunan yang boleh dibanggakan dan dicontohi oleh negara lain.

Dari itu, kita dapat menyimpulkan bahawa usaha-usaha ke arah pengukuhan keluarga adalah amat penting untuk membina belia cemerlang dan seterusnya mengatasi berbagai-bagai masalah belia remaja seperti berkeliaran dan berlepak. Keluarga yang sihat dari segi mental dan fizikal adalah tunjang kepada masyarakat yang sihat, kerana ke arah pembangunan negara yang seimbang antara material dan spiritual hendaklah bermula daripada usaha mengukuhkan institusi keluarga.

Dengan adanya sifat kecemerlangan pada diri setiap belia di negara ini, sudah setentunya negara ini mempunyai harapan yang cerah untuk menjadi sebuah negra yang lain.

Apabila impian ini terlaksana, kita akan berjaya melahirkan belia-belia yang progresif, berwawasan dan berketrampilan.

Hajah Rosnah binti Abdul Hamid,No. 20, Simpang 166, Jalan 11, Rancangan Perpindahan Lambak Kanan, Berakas,BC 2915.No. k/p: 00-043230.

Belia Cemerlang Impian Negara

Belia ialah golongan pemuda-pemudi yang berumur dalam lingkungan lima belas ke dua puluh lima tahun. Lebih dari separuh jumlah penduduk di negara ini terdiri dari golongan belia. Belia sering dilabelkan sebagai aset yang amat berharga bagi sesebuah negara. Sebagai golongan dominan yang berpengaruh, belia dijadikan tonggak bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara. Tidak hairanlah setiap negara mengimpikan untuk dapat melahirkan belia-belia cemerlang agar negara mempunyai masa depan yang lebih cerah dan terjamin.

Belia cemerlang ialah belia yang bersikap positif seperti mahir dalam pengurusan diri, amalan rohani, berorganisasi, memimpin dan sebagainya. Namun, untuk melahirkan belia cemerlang bukanlah mudah. Semua pihak dalam masyarakat perlu bekerjasama dan bertanggungjawab dalam melahirkan, menyediakan dan membimbing belia agar menjadi insan yang cemerlang. Keperibadian mereka perlu dilentur dengan sebaik mungkin agar aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi berkembang secara seimbang. Kekuatan fizikal, agama, akal dan emosi perlu digilap secara berterusan agar menjadi lebih mantap dan unggul.

Ibu bapa berperanan penting bagi menjamin pertumbuhan dan perkembangan positif para belia. Bidang pendidikan juga perlu diutamakan bagi melahirkan generasi berilmu, mapan dalam bidang akademik serta kemahiran-kemahiran lain yang bersesuaian dengan kebolehan mereka agar dapat mengasah potensi-potensi dan mengukuhkan lagi jati diri mereka.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah memperkenankan 1 Ogos sebagai Hari Belia Kebangsaan iaitu sebagai pengiktirafan baginda terhadap pergerakan belia di negara ini. Penglibatan belia dalam persatuan akan dapat melahirkan belia pemimpin yang berkarisma, berdaya intelektual, di samping menggalakkan belia untuk berorganisasi dan berkomunikasi sesama sendiri. Baginda juga secara berterusan menyediakan kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur, keperluan-keperluan dan bantuan-bantuan untuk menggalakkan lahirnya belia-belia cemerlang.

Adalah diharapkan bahawa belia di negara ini akan dapat memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang telah diberikan, di samping melengkapkan diri agar menjadikan belia yang cemerlang. Belia perlu sedar bahawa tanggungjawab untuk membela dan mempertahankan kedaulatan negara serta usaha untuk memajukan negara berada di tangan mereka.

Hazylenawaty binti Shaya,No. 1163, Kampong Pengkalan Batu, Jalan Mulaut, Limau Manis, BH 1123.No. k/p: 00-291204

Pemulihan Atasi Hukuman


Oleh FARAH NINI DUSUKI, Utusan Malaysia, 30 Julai 2007


PADA Rabu lalu, Mahkamah Rayuan telah membebaskan seorang kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun di atas kesalahan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada 2002 sewaktu beliau sendiri berusia 12 tahun 9 bulan.


Secara ringkas, mahkamah berpendapat bahawa walaupun kesalahannya sah terbukti tetapi penahanannya di Penjara Kajang sejak 2002 di bawah perkenan raja adalah tidak sah kerana bertentangan dengan prinsip pemisahan bidang kuasa di antara institusi eksekutif dan kehakiman.


Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 merupakan peruntukan yang dimaksudkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas mewujudkan pemisahan bidang kuasa tersebut. Walaupun Mahkamah Rayuan merasakan bahawa tidak adil melepaskan kanak-kanak itu begitu sahaja seolah-olah memaafkan beliau di atas kesalahan membunuh, namun pihak mahkamah tidak mempunyai pilihan lain lalu memerintahkan kanak-kanak itu dibebaskan sambil menyarankan bahawa Seksyen 97(2) perlu dipinda serta-merta bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa hadapan.


Pelbagai reaksi timbul daripada kes ini. Pihak Peguam Negara bertegas mahu merayu ke peringkat tertinggi menyangkal keputusan ini manakala pihak pembela walaupun gembira dengan pembebasan anak guamnya tetap mengatakan bahawa Seksyen 97(2) perlu dipinda serta-merta dan ini disokong oleh menteri berkenaan.


Kes ini adalah yang pertama diputuskan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 semenjak ia diwartakan bagi pelaksanaan pada 1 Ogos 2002. Kanak-kanak ditakrifkan sebagai sesiapa yang berusia di bawah 18 tahun. Sebelum ini, sebarang kes melibatkan kanak-kanak sebagai pesalah akan diputuskan di bawah Akta Mahkamah Juvana 1947 yang secara automatiknya termansuh dengan pelaksanaan Akta Kanak-Kanak 2001.


Di bawah Akta 1947, sekiranya seorang kanak-kanak didapati bersalah di atas sebarang kesalahan yang membawa hukuman mati, beliau tidak boleh dihukum dengan hukuman mati yang lazim dipakai kepada pesalah dewasa. Sebaliknya, beliau mesti ditahan selama perkenan raja.


Perbezaan antara peruntukan lama di bawah Akta 1947 dan yang baru di bawah Akta 2001 adalah penambahan frasa “di penjara” selepas frasa “ditahan”. Ini menyebabkan kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun 9 bulan sewaktu kejadian itu dihantar ke Penjara Kajang dan bukannya ke Sekolah Tunas Bakti atau Sekolah Henry Gurney seperti mana sebelum Akta 2001 dilaksanakan kerana pihak pendakwa raya berhujah dan diterima oleh Mahkamah Tinggi bahawa perkataan ‘penjara’ membawa maksud penjara dalam erti kata sebenarnya dan bukan institusi pemulihan.


Malang bagi kanak-kanak tersebut kerana walaupun dia dipisahkan daripada pesalah-pesalah dewasa dengan diletakkan di dalam penjara berasingan mengikut tahap umur (bawah 18 / 18 -21 tahun / 21 tahun ke atas) tetapi hakikatnya ia masih sebuah penjara yang menekankan ciri-ciri asas sebuah tempat penahanan untuk menghukum dan bukan untuk memulih.


Perjumpaan mingguan dengan keluarganya pun terbatas kepada perbualan singkat melalui telefon di sebalik cermin kaca penjara. Suasana juga agak sunyi kerana tiada rakan-rakan sebaya sehinggalah kemasukan lapan orang kanak-kanak pada 2004 yang dihukum di atas kesalahan membunuh arwah Muhammad Farid di sebuah sekolah agama di Seremban sewaktu usia mereka lebih kurang 17 tahun.


Persoalan utama yang timbul daripada peristiwa ini adalah benarkah peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 tidak sah seperti yang diputuskan dan jika benar, apakah resolusi yang terbaik yang dapat diguna pakai bagi kes-kes seumpama ini agar keadilan tercapai bagi kedua-dua pihak, pesalah dan mangsa jenayah?


Peruntukan yang menetapkan hukuman gantian kepada pesalah kanak-kanak yang disabitkan di atas kesalahan yang membawa hukuman mati (bunuh adalah yang paling biasa tetapi ia termasuk juga kesalahan seperti mengedar dadah dan yang berkaitan dengan senjata api) agar kanak-kanak tersebut ditahan di bawah perkenan raja (bergantung kepada di mana kesalahan itu berlaku. Bagi negeri-negeri di bawah pemerintahan sultan maka sultanlah yang mempunyai mandat tersebut dan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan pula kuasa terletak pada Yang di-Pertuan Agong).


Dari segi praktikalnya, raja akan membuat keputusan berdasarkan nasihat oleh Lembaga Pengampun yang berkewajipan memantau perkembangan kanak-kanak yang ditahan itu. Dari segi perundangannya, hukuman di bawah perkenan raja itu dipandang sebagai suatu hukuman alternatif yang bersifat indeterminate atau ‘ketidaktentuan’ mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan dan pada waktu yang sama tidak menghukum kanak-kanak seperti seorang dewasa kerana mengambil kira juga ketidakmatangan akal fikirannya.


Keadilan
Hukuman bersifat indeterminate ini sebenarnya tidak juga menyokong prinsip keadilan terhadap kanak-kanak secara mutlak kerana ia bersifat tidak nyata dan meletakkan seseorang itu dalam keadaan yang tidak ketentuan tentang arah tuju dan matlamat hidupnya. Oleh kerana itulah Perkara 37 dan 40 Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak secara nyata melarang sebarang bentuk hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah dan hukuman mati termasuk tempoh ketidaktentuan penahanan bagi pesalah kanak-kanak.


Konvensyen ini telah ditandatangani Malaysia sejak tahun 1995 dan pada 25 Januari 2007 yang lalu Malaysia telah menyerahkan laporan pertama mengenai tahap perlaksanaan kepada perkara-perkara di bawah konvensyen tersebut. Setakat ini Malaysia masih mengekalkan reservasi terhadap Perkara 37 atas dasar Malaysia masih mempunyai undang-undang yang tidak selaras dengan inti pati perkara tersebut.


Bagaimanapun Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Konvensyen Hak Kanak-Kanak telah menyarankan bahawa langkah-langkah yang sesuai patut diambil bagi mengetepikan reservasi-reservasi yang dibuat supaya kebajikan kanak-kanak terlibat akan lebih terpelihara.


Sifat ketidaktentuan ini dirangka bagi membolehkan sebarang kemajuan sikap dan perangai pesalah dinilaikan mengikut jumlah waktu tahanan yang sesuai. Penilaian semula secara berkala perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi menilai perkembangan pesalah bagi menentukan tempoh penahanan.


Status ketidaktentuan dalam tahanan ini kemudiannya dikembangkan dengan memperkenalkan satu tempoh tarif minimum yang akan ditentukan pada peringkat awal lagi. Ia menekankan keperluan untuk penghukuman, cegah rintang dan pembalasan, dengan tidak mengambil kira perkembangan kanak-kanak tersebut.


Jangka waktu itu diikuti suatu tempoh dipanggil tempoh pascatarif di mana penilaian secara berkala mula dibuat bagi menentukan sama ada pesalah masih berkeupayaan untuk menjadi ancaman kepada masyarakat. Jangka masa bagi kedua-dua tempoh tarif ini ditentukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan bukannya mahkamah mahupun Badan Pengampun.


Sehingga ke hari ini terdapat pelbagai perkembangan dan pembaharuan yang telah dilaksanakan di England dan Wales dalam aspek penghukuman sebegini.
Jika dinilai Seksyen 97(2) secara halus berkemungkinan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan adalah benar, iaitu memang terdapat pertindihan bidang kuasa antara institusi kehakiman dan eksekutif apabila mahkamah diberi kuasa untuk menghukum seseorang pesalah kanak-kanak di atas kesalahannya namun demikian tempoh tahanannya terletak di bawah perkenan raja.


Jika dinilai dari segi semangat peruntukan itu diwujudkan, yakni memberi kuasa penilaian berkala yang pada hakikatnya dijalankan oleh mereka yang arif dalam hal tersebut sebelum dipersembahkan kepada raja untuk pengesahan mungkin pertindihan bidang kuasa tersebut ada justifikasinya. Atas dasar inilah maka di kebanyakan negara lain yang mempunyai peruntukan yang sama, pertindihan bidang kuasa tersebut tidak dipersoalkan kecuali di Jamaica.


Jika kita mahu menuruti langkah Jamaica maka peruntukan tersebut perlu dipinda bagi menggantikan frasa “atas perkenan raja” kepada “atas budi bicara mahkamah”. Walaupun begitu persoalan lain mungkin timbul iaitu mampukah mahkamah, terutamanya dari segi masa dan kepakaran dalam aspek psikologi dan psikiatri kanak-kanak mengambil alih tanggungjawab membuat penilaian ini?


Dalam membahas kes-kes melibatkan pembunuh kanak-kanak, kita tidak menafikan keperluan bagi menegakkan hak keluarga mangsa yang menginginkan pembalasan sewajarnya di atas jenayah yang telah dilakukan. Ibu kepada mangsa pembunuhan dalam kes ini yang mengeluh betapa tidak adilnya kanak-kanak 17 tahun itu lepas bebas begitu sahaja manakala dia kehilangan seorang anak perempuan.


Begitu juga keluarga arwah Muhammad Farid yang meninggal dunia akibat ‘penderaan’ oleh lapan orang pelajar sekolah agama lebih kurang empat tahun yang lalu. Persoalan yang harus dirungkai ialah dalam keinginan kita untuk melihat keadilan di mana yang bersalah itu mesti dihukum, apakah manfaatnya sekiranya hukuman yang diberi tidak langsung berpaksikan prinsip-prinsip pemulihan dan reformasi, dua prinsip asas yang termaktub dalam penghukuman pesalah kanak-kanak?


Walaupun dua nyawa muda telah tergadai begitu sahaja, wajarkah kita menggadai sembilan lagi nyawa muda yang masih ada hanya kerana ingin menghukum?


Jenayah secara amnya boleh diklasifikasikan kepada dua jenis dari sudut niat melakukannya. Satu dikatakan ‘crime of passion’ di mana ia berlaku tanpa dirancang lebih awal manakala sejenis lagi adalah ‘premeditated crime’ yakni jenayah terancang seperti kes-kes samun lazimnya. Kes-kes melibatkan kanak-kanak sebagai pembunuh lazimnya berlaku dalam situasi yang pertama iaitu tanpa perancangan teliti dan berlaku atas desakan keadaan pada waktu itu.


Walaupun ini tidak menghalalkan perbuatan jenayah tersebut tetapi situasi ini patut diambil kira dengan teliti, terutama sekali apabila pelakunya, dari segi undang-undang tidak mempunyai kematangan akal yang secukupnya untuk mengawal tindakannya. Di atas dasar inilah maka undang-undang patut menilai keadaan ini dari sudut yang berbeza daripada biasa.


Ketidakwajaran


Justeru Konvensyen Hak Kanak-Kanak menekankan tentang ketidakwajaran kanak-kanak dikenakan hukuman yang keras tanpa mengambil nilai ketidakupayaan mentalnya untuk bertindak dengan kewarasan yang sama dengan golongan dewasa.


Oleh itu sebarang hukuman yang dikenakan patut menekankan aspek-aspek pemulihan dan reformasi, seperti pendekatan Sekolah Henry Gurney contohnya di mana pesalah kanak-kanak, walaupun dikurung seperti di penjara tetapi masih diberikan kemudahan pembelajaran formal dan tidak formal dan juga pengisian kerohanian bagi memulihkan semangat mereka yang sudah tercalar dan tercemar dek kesalahan yang dilakukan dan hukuman yang dijatuhkan.


Sudah sampai masanya undang-undang juga, selain menetapkan hukuman yang khusus, ia perlu menekankan juga aspek pemulihan secara khusus seperti mewajibkan rawatan psikologi dan kaunseling yang berterusan agar kanak-kanak ini apabila keluar kelak tidak akan terdorong untuk melakukan jenayah lagi. Setakat ini tidak diperuntukkan dalam mana-mana akta tentang perintah menjalankan rawatan tersebut sedangkan banyak kajian membuktikan bahawa dengan rawatan yang berkesan, penjenayah-penjenayah dapat berubah sikap dan laku, apatah lagi sekiranya mereka masih kanak-kanak.


Sebagai contoh, walaupun dengan kemudahan pembelajaran minimum di penjara, beberapa orang pesalah muda di dalam kes pembunuhan Muhammad Farid telah memperoleh keputusan SPM yang memuaskan dan sekarang mereka sedang sibuk membuat persediaan untuk peperiksaan STPM pula di dalam penjara. Persoalannya, dengan potensi yang mereka ada, wajarkah mereka ditempatkan bersama-sama pesalah jenayah tegar apabila umur mereka mencapai 21 tahun tidak lama lagi sedangkan mereka berpotensi untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna sekiranya nilai-nilai positif dalam diri mereka terus dipupuk dan dibimbing?


Kesimpulannya, jika Akta Kanak-Kanak 2001 akan dipinda dalam jangka masa terdekat, adalah diharapkan penekanan terhadap aspek-aspek pemulihan dan reformasi pesalah-pesalah muda turut diambil kira seperti mana kata-kata pendahuluan di dalam akta yang sama yang memperakui bahawa perlindungan kepada semua golongan kanak-kanak adalah wajar diberikan oleh golongan dewasa mengambil kira ketidakmatangan akal fikiran dan fizikal mereka sebagai kanak-kanak.


* FARAH NINI DUSUKI ialah Timbalan Presiden, Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia.

Wednesday, July 11, 2007

Definisi Belia


Ahli psikologi perkembangan Barat sebenarnya masih belum mencapai kata sepakat apabila menentukan golongan yang dikatakan remaja. Di negara kita, golongan berpendidikan tinggi lebih cenderung membuat sedikit perbandingan di antara remaja dan belia. Walaupun perbezaannya masih belum jelas tetapi ia dapat memberi gambaran perbandingan di antara dua istilah itu.


Ahli psikologi perkembangan Barat sebenarnya masih belum mencapai kata sepakat apabila menentukan golongan yang dikatakan remaja. Di negara kita, golongan berpendidikan tinggi lebih cenderung membuat sedikit perbandingan di antara remaja dan belia. Walaupun perbezaannya masih belum jelas tetapi ia dapat memberi gambaran perbandingan di antara dua istilah itu. Biasanya, remaja adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur belasan tahun.


Secara amnya, golongan remaja berumur antara 11 hingga 19 tahun. Terdapat beberapa istilah yang sering dikaitkan dengan remaja. Antaranya ialah awal belia, anak muda dan orang muda. Istilah lain yang berkaitan pula digunakan bagi menerangkan sifat umum yang ada pada diri remaja itu sendiri, seperti baligh dan matang. Perkataan juvenil juga sering disebut kerana ia berkait dengan remaja.Kamus Dewan (2000:1121) menjelaskan, remaja bermaksud mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur berkahwin. Ada banyak pengertian yang dapat dihuraikan apabila perkataan remaja dibincangkan. Walau bagaimanapun, banyak pihak bersetuju, tahap remaja adalah tahap umur berkembang dan melibatkan sesetengah perubahan. Antara orang yang mula menghuraikan perkembangan ini adalah G. Stanley Haal (1846-1924).


Beliau menyatakan, tahap remaja adalah tahap ‘ribut dan tekanan’ melanda para remaja, kesan daripada faktor biologi dan psikologi yang berubah.Beliau dapati pada tahap ini, remaja mengalami rasa kecewa, emosinya tidak stabil dan tidak dapat menyesuaikan emosinya. Beliau juga menganggap proses berkembang yang berlaku pada individu remaja tidak dipengaruhi oleh aspek luaran mahupun persekitaran. Buktinya, ibu bapa sering bermasalah apabila berdepan dengan remaja. Perkara ini cuma satu pandangan daripada banyak pandangan ataupun teori yang dikemukakan oleh pakar psikologi.


Robert Havighurst juga turut menghuraikan maksud remaja. Huraian beliau menarik kerana pandangan yang diberikannya bersifat elektif iaitu pandangan campuran yang meliputi biologi, sosiologi dan psikologi. Pandangan dan teori ini dikenali sebagai teori ‘tugas perkembangan’ (Developmental Task, Havighurst, 1972). Beliau menyatakan tahap remaja adalah tempoh individu menjalani beberapa tugas perkembangan.


Menurut beliau, tugas perkembangan ini perlu bagi individu dan didorong oleh masyarakat. Tugas perkembangan ini adalah keterampilan ataupun kebolehan, pengetahuan, fungsi, dan sikap yang individu perlu ada pada sesetengah tahap hidup mereka. Semua ini dicapai melalui kematangan fizikal, harapan sosial dan usaha belia itu sendiri. Tugas yang dimaksudkan itu adalah (Havighurst, 1972):

1. Menerima bentuk badan sendiri dan menggunakannya secara berkesan.

2. Berusaha mencapai hubungan yang lebih matang dengan kawan sebaya daripada kedua-dua jantina.

3. Berusaha mencapai peranan jantina sosial, lelaki ataupun perempuan.

4. Berusaha mencapai emosi yang bebas daripada pengaruh ibu bapa dan orang dewasa.

5. Menyiapkan diri supaya berjaya dalam ekonomi.

6. Menyiapkan diri bagi tujuan berkahwin dan berkeluarga.

7. Mahu dan mencapai sikap bertanggungjawab secara sosial.

8. Memperoleh bentuk nilai hidup dan sistem etika sebagai panduan bertingkah laku dan mewujudkan satu ideologi untuk diri sendiri.


Istilah dan Definisi BeliaMenurut Kamus Dewan (1994), belia bermaksud muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi.


K. H. Ali Yafie (1997) menjelaskan, menurut pandangan para ulama, ada tujuh tahap proses manusia berkembang sejak lahir hingga akhir usia, iaitu:

1. Usia bayi.

2. Usia kanak-kanak.

3. Usia remaja.

4. Usia dewasa muda.

5. Usia dewasa matang.

6. Usia tua.

7. Usia pikun.


Dalam teori Fikah, hanya ada empat tahap sahaja kerana manusia dikaitkan dengan tanggungjawab hukum yang dituntut ke atas setiap diri individu, iaitu:

1. Anak-anak di bawah umur.

2. Pra-dewasa atau remaja tanggungan.

3. Dewasa, akil baligh.

4. Orang tua yang tidak dikenakan tanggungjawab hukum.


Takrif belia menurut Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia dalam kertas kerja “Cadangan Dasar Pembangunan Belia Negara” (1995), belia ialah orang yang berumur antara 15 hingga 40 tahun dengan alasan-alasan berikut:1. Ia adalah takrif Majlis Belia Malaysia 1985.2. Ia dianggap golongan yang sudah mencapai taraf matang yang memuaskan dan dapat menerima manfaat maksimum daripada rancangan-rancangan yang disusun.3. Ia adalah sebahagian besar daripada jumlah rakyat negara ini. Apa-apa usaha bagi membina masyarakat, meninggal- kan kesan secara menyeluruh.


Kementerian Belia dan Sukan dalam “Draf Kajian Semula Dasar Belia Negara” mentakrifkan belia sebagai “mereka yang berumur antara 15 hingga 25 tahun.” Alasannya, ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan diguna pakai oleh banyak negara. Menurut Commonwealth Youth Secretariate (1993), umur belia di sebahagian negara-negara anggotanya adalah seperti berikut:

Bangladesh: 15 hingga 30 tahun

Brunei Darussalam: 15 hingga 35 tahun

India: 15 hingga 34 tahun

Hong Kong: 10 hingga 24 tahun

Pakistan: 18 hingga 30 tahun

Singapura: 15 hingga 30 tahun

Sri Langka: 15 hingga 29 tahun


Azizan Bahari (1995) mengatakan, definisi sekarang yang menyatakan lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun sebagai belia itu adalah luas. Barangkali yang sesuai adalah antara 13 hingga 30 tahun. Ia adalah satu lingkungan umur yang sesuai dipanggil belia, walaupun masih terdapat beberapa hal yang berbeza daripada aspek tahap bersekolah, mencari kerja, memulakan kerjaya, berkenalan, mencari pasangan hidup, berumah tangga dan sebagainya. Biasanya, individu yang berusia lebih daripada 30 tahun sudah berkeluarga. Manakala mereka yang berusia lebih daripada 35 tahun, meletakkan kerjaya di samping masa depan keluarga sebagai fokus hidup.


Dalam buku Pembentukan Generasi Belia Selangor 2005: Satu Pengamatan, belia ditakrif berdasarkan peringkat umur dari 15 hingga 40 tahun. Julat umur di antara dua umur ini agak tinggi bagi memasukkan mereka dalam program pembangunan yang sama.


Keperluan golongan awal belia dan golongan akhir belia adalah berlainan. Oleh sebab itu, lebih baik mengkategorikan mereka mengikut kelompok berdasarkan faktor umur dan ke- giatan utama status hidup mereka, bagi menyediakan program pembangunan untuk mereka. Mereka dapat dibahagikan kepada kelompok berikut:

1. Golongan belia remaja. Rata-rata kumpulan ini masih di bangku sekolah. Antara beberapa perkara yang perlu ditekankan pada kumpulan ini adalah mendidik nilai, memupuk jati diri, di samping mendedahkan mereka dengan senario yang berubah dan impaknya ke atas mereka. Remaja yang mengalami krisis dan konflik identiti perlu dibimbing menerusi Program Rakan Sebaya atau menjinakkan mereka dengan kaunseling remaja.

2. Golongan belia institusi pengajian tinggi atau penuntut (18 hingga 25 tahun). Golongan ini terdiri daripada penuntut yang berada di institusi pengajian tinggi dan lepasan sekolah menengah. Mereka mula memasuki alam lebih bebas daripada kawalan ibu bapa mahupun peraturan sekolah. Pada peringkat ini, mereka perlu ditekankan dengan moral yang tinggi dan memupuk hubungan sihat apabila bergaul.

3. Golongan belia awal pekerjaan (18 hingga 23 tahun). Golongan ini perlu didedahkan dengan pelbagai peluang memajukan diri dalam bidang yang mereka ceburi. Galakan belajar dan menimba pengalaman perlu diutamakan. Di samping itu, program yang dapat meningkatkan kesedaran sosial yang sihat perlu diusahakan dan dilaksanakan.

4. Golongan belia industri (20 hingga 30 tahun). Sektor industri kini menyediakan peluang kerja yang tinggi di Selangor. Belia perlu diberi peluang meningkatkan diri dalam hal yang berkait dengan keperluan kemahiran bekerja dan membangunkan insan. Gerakan dan usaha memulihkan imej pekerja industri perlu diutamakan dengan meletakkan mereka pada posisi yang lebih baik daripada segi nama dan kehidupan sosial mereka.

5. Golongan belia veteran (30 hingga 40 tahun). Biasanya golongan ini sudah berumah tangga dan lebih menumpukan pada usaha mengukuhkan pendapatan keluarga serta mendidik anak-anak. Mereka ini lebih matang dan ada tanggungjawab yang lebih tinggi pada keluarga.


Program membangunkan golongan ini perlu ditumpukan pada usaha meningkatkan kualiti hidup serta mengukuhkan institusi keluarga.Menurut Azizan Bahari (1995), definisi sebagaimana yang dinyatakan di atas adalah luas dan tidak sesuai lagi bagi masyarakat kita yang cepat berkembang. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (khasnya ESCAP) menggunakan lingkungan umur antara 15 hingga 25 tahun, manakala Commonwealth Youth Programme (CYP) pula menganggap kumpulan umur 18 hingga 35 tahun sebagai belia. Walaupun pelbagai interpretasi dikemukakan apabila membincangkan isu belia, definisi yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan dijadikan fokus yang dibincangkan dalam kajian ini bagi mengikut ketetapan masyarakat yang selari dengan Kementerian Belia dan Sukan. Hal ini memudahkan kita memahami dan menyusun strategi selari dengan matlamat membangunkan belia negara.Cukup umur atau balighDaripada perspektif Islam pula, belia dikaitkan dengan umur baligh. Di dalam al-Quran ada disebut perkataan fata dan dalam hadis pula disebut perkataan syabab. Kedua-duanya membawa maksud pemuda atau belia, (Abdul Ghafar Hj. Don, 1996).


Menurut Islam, manusia ditentukan kewajipan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah, rasul dan masyarakat. Justeru itu, Islam menetapkan usia baligh dan akal sempurna sebagai faktor penentu. Menentukan umur baligh penting bagi menentukan sama ada remaja itu sudah sampai tahap mukalaf ataupun tidak. Mukalaf bermaksud orang yang sudah cukup umur dan diwajibkan mematuhi hukum-hakam Islam. Mereka dipertanggungjawabkan ke atas segala tingkah laku serta perbuatan mereka. Dalam satu hadis Nabi Muhammad berkata, mafhumnya: “Terangkat kalam (catatan amal) daripada tiga perkara, daripada orang yang tidur sehingga ia terjaga, daripada kanak-kanak sehingga ia bermimpi dan daripada orang gila sehingga ia berakal.” (Sunan Abu Daud, t.th)Menurut ahli perundangan Islam, syarat pertama bagi menentukan baligh dilihat pada lima perkara. Tiga untuk lelaki dan dua untuk perempuan. Tanda baligh bagi lelaki adalah bermimpi berserta keluar mani, pertumbuhan fizikal badan dan bersuara garau atau kasar. Bagi perempuan pula apabila datang haid dan mengandung (Abu Abdullah Muhammad, 1967).


Menurut Imam Syafie, umur baligh bagi perempuan ialah 10 tahun qamariyyah. Lelaki pula ialah 12 tahun qamariyyah (Abu Abdullah Muhammad, 1967). Namun begitu, sama ada cepat ataupun lambatnya umur baligh individu dipengaruhi oleh keadaan serta persekitaran di mana kanak-kanak itu berada.


Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun pada tahun 1995 ialah 3.79 juta (18.89 peratus daripada jumlah penduduk 22.43 juta). Manakala dalam Kertas Cadangan Dasar Pembangunan Belia Negara (1995) pula, dinyatakan jumlah penduduk yang berumur antara 15 hingga 39 tahun pada tahun 1995 adalah 8.39 juta (41.80 peratus), dan pada tahun 2000 adalah 9.25 juta (41.24 peratus).Selepas menjelaskan definisi remaja dan belia, dapat dirumuskan ketetapan masyarakat yang selari dengan Kementerian Belia dan Sukan perlu diutamakan bagi memudahkan pendekatan, perbincangan dan perbahasan di dalam buku ini. Istilah remaja dan belia disatukan dan dikupas secara menyeluruh. Perbincangan pula difokuskan mengikut tahap umur apabila perlu bagi mengkategorikan belia menurut tahap perkembangan.


Dipetik daripada: Petikan Bab 1, buku Menjadi Belia Cemerlang oleh Muhamad Ismail Mustari

334 remaja maut kemalangan sehingga Mei

KUALA LUMPUR 10 Julai – Seramai 334 remaja berusia 16 hingga 20 tahun terbunuh dalam kemalangan melibatkan motosikal bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Golongan penunggang serta pembonceng pada usia itu mencatatkan kematian tertinggi iaitu kira-kira 22.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan di negara ini.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar berkata, punca utama peningkatan jumlah kemalangan dan kematian melibatkan golongan muda itu adalah sikap pemandu yang negatif, cuai dan suka memandu laju.

‘‘Golongan ini gemar menunggang secara berbahaya dengan menunjukkan pelbagai aksi termasuk menunggang sambil mengangkat tayar hadapan motosikal dan terus memecut walaupun sewaktu lampu isyarat berwarna merah bagi menarik perhatian orang ramai.

“Mereka lebih mementingkan keseronokan tanpa mempedulikan keselamatan diri mahupun pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas akan dilakukan bagi menangani masalah kemalangan motosikal terutama ke atas golongan remaja.
“Saya mahu penunggang motosikal yang memandu secara liar gentar untuk ‘bermaharajalela’ di jalan raya,” katanya.

Nooryah memberitahu, sehingga Mei lalu, seramai 1,502 penunggang dan pembonceng motosikal terbunuh.

Walaupun kadar kematian melibatkan motosikal secara keseluruhan menurun sebanyak 11 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu, namun beliau berkata, pasukannya akan mengadakan operasi besar-besaran secara berterusan bagi menangani masalah itu.

Sementara itu, beliau memberitahu, polis trafik telah mengeluarkan sebanyak 51,243 saman ke atas penunggang motosikal yang memandu tanpa lesen dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, golongan remaja sekali lagi berada di tangga teratas dengan jumlah 22,384 saman dikeluarkan kepada mereka.

“Ia mewakili 44 peratus daripada jumlah keseluruhan,” ujarnya.Sepanjang tempoh enam bulan ini juga, kata Nooryah, polis telah menahan ramai penunggang tanpa lesen.

Katanya, ia bukan berniat menyusahkan mereka tetapi untuk keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Beliau menasihatkan para pemandu supaya mempunyai lesen memandu yang sah dan mengikis sikap ghairah untuk menunggang motosikal baru sedangkan tiada lesen memandu.

Beliau berkata, selain itu, satu lagi kesalahan yang sering dilakukan penunggang motosikal ialah kenderaan tidak mempunyai cukai jalan atau pun cukai jalan sudah tamat tempoh.