Oleh Mohd. Faizal Musa
***
PENGISIAN MEDIA ELEKTRONIK DAN MEDIA CETAK DALAM MEMPERKUKUHKAN JATI DIRI BANGSA DAN NILAI PATRIOTISME
Pendahuluan
Hubungan antara media dengan persoalan jati diri bangsa dan nilai patriotisme adalah amat rapat. Media hari ini berperanan sebagai satu institusi budaya dalam masyarakat moden yang membentuk apa yang kita ketahui, dan bagaimana kita mengetahuinya dengan maksud media menjelaskan pengalaman manusia itu sendiri. Justeru dari perspektif budaya, kandungan media tidaklah hanya berita, iklan atau hiburan semata-mata. Sebaliknya media menjadi pengikat yang dapat menghubungkan pelbagai lapisan dan ragam ahli masyarakat. Dengan itu media mempengaruhi bagaimana kita berkomunikasi dengan ahli masyarakat yang lain. Media lantas memberikan impak kemasyarakatan yang besar. Media bukan semata-mata menyalurkan maklumat tetapi sebenarnya membentuk masyarakat yang menerima maklumat tersebut. Ini telah disebut oleh sosiologis Michael Schudson sebagai:
The greatest effects may not be measurable influences on attitudes orbeliefs produced by media but the range of information the media makeavailable to individual human minds, the range of connections theybring to light, the particular social practices and collective rituals bywhich they organize our days and ways. The media ... are moreimportant, not less important, than popular opinion would have it, butrarely in the ways that popular views assume. The media organize notjust information but audiences. They legitimize not just events andsources that report them but readers and viewers. Their capacity topublicly include is perhaps their most important feature. That you andI read the same front page or see the same television as the President of the United States and the chair of IBM is empowering; the impression it promotes is equality and commonality .
*
Pembinaan Jati Diri dan Nilai PatriotismeOleh kerana media memiliki satu kedudukan yang amat dominan dalam masyarakat moden maka media dapat dimanfaatkan sebagai satu agen atau instrumen pemerkasaan jati diri bangsa. Yang dimaksudkan dengan jati diri bangsa itu ialah kriteria atau ciri-ciri khusus yang membezakannya dari yang lain.
Jati diri terdapat tiga dimensi yang boleh dikenalpasti:
Kepercayaan dan nilai-nilai.
Kepercayaan ialah satu-satu idea yang dipegang oleh ahli masyarakat atau bangsa sebagai sesuatu yang benar sementara nilai-nilai yang dimaksudkan di sini ialah penilaian terhadap apa yang dianggap baik, penting, diingini dan tidak diingini. Kepercayaan dan nilai-nilai ini menjadi pedoman kehidupan harian kita selain menjadi pangkalan kita bereaksi ketika berdepan dengan sesuatu yang baru. Dengan mengenepikan makna dalam konteks politik, ideologi adalah satu himpunan kepercayaan dan dan norma-norma yang dikongsi oleh masyarakat.
*
Adat resam.
Manusia yang berpegang pada satu sistem kepercayaan dan nilai-nilai bersama dengan itu berkongsi juga satu adat resam. Adat resam ialah satu rutin atau tingkah laku yang lazim dan berulang yang dapat dikenal pasti pada satu-satu masyarakat atau bangsa. Adat resam meliputi majlis perkahwinan, kematian, meraikan hari lahir, hinggalah kepada aktiviti meniru gaya rambut terkini. Hari ini antara adat yang sudah menjadi lazim ialah apa yang kita namakan media rituals di mana ahli masyarakat bersama-sama melakukan satu aksi seperti menonton televisyen, membaca novel yang digemari, melakukan tai-chi di taman-taman rekreasi atau berkumpul meraikan artis yang disayangi. Apabila adat resam ini diulang-ulang ia menjadi satu set tingkah laku yang dapat dikenalpasti pada satu-satu masyarakat. Justeru adat resam menjadi khazanah budaya satu-satu masyarakat.
*
Artifak budaya.
Yang dimaksudkan dengan artifak budaya ialah apa sahaja yang mewakili, luahan, atau gambaran terhadap aspek kepercayaan dan nilai-nilai bergabung degan aspek adat resam tadi. Artifak dengan itu tercermin pada karya-karya sastera bangsa, kraftangan, hasil kesenian pertukangan, bahasa, imej-imej termasuklah gestures. Artifak menampilkan kepercayaan dan resam ahli atau entiti masyarakat yang menghasilkannya. Segelintir imej visual yang dapat dihubungkan dengan satu-satu budaya misalnya dinamakan ikon. Sementara objek fizikal yang menjadi sasaran keghairahan dan pujaan dilabelkan sebagai idola.
*
Dalam konteks bangsa Melayu, jati diri bangsa itu amat rapat berhubungan dengan agama (sebagai tambatan yang mengawal kepercayaan dan nilai-nilai penganutnya), budayanya (yang terlihat pada adat resam orang-orang Melayu yang penuh halus dan berbudi bahasa) serta bahasanya (yang tercermin pada bahasa yang diucapkan serta karya sastera yang dihasilkan).Justeru kerana media telah menjadi satu institusi budaya yang dapat membina jati diri bangsa atau memperkukuhkan semangat patriotismenya kita wajar melihat bagaimana media dapat membentuk manusia. Untuk mengukur bagaimana ini berlaku, salah satu keajaiban ilmu psikologi dapat diterapkan di sini. Dalam disiplin psikologi proses pembelajaran (dalam hal ini pembinaan jati diri) dapat dihitung menerusi kaedah prosedur Pavlovian secara conditioning. Prosedur yang dimaksudkan ialah apabila satu-satu entiti (E) memiliki kawalan penuh terhadap semua peristiwa, (E) boleh menentukan kekerapan masa, ketepatan aksi percubaan selain menguruskan tingkah laku sasarannya.Latihan terhadap seekor anjing dengan memberinya makan pada jam 3 petang sahaja, dengan menghantar satu isyarat denting loceng, dilakukan berulang-ulang, hingga sang anjing terbiasa dan terlatih oleh tubi dan asakan latihan yang sama akan menatijahkan anjing menunggu makanan pada setiap jam 3 petang dengan bunyi loceng dengan penuh selera. Latih tubi appetite behaviour ini dari dahulu hingga sekarang memperolehi jawapan yang sama. Iaitu sasaran prosedur conditioning di akhirnya akan mengikut, taat, patuh dan meniru apa yang disogokkan oleh (E).
*
Sejak Pavlovian mengemukakan gagasan conditioning ini tokoh-tokoh psikologi ulung seperti K. Wolf (1963), D.r Williams (1965), M.M Shapiro (1961) dan W. Kintsch and R.S Witte (1962) semuanya memutuskan bahawa prosedur conditioning dengan latih tubi appetite behaviour ini sangat berkesan dalam menentukan kejayaan proses pembelajaran sasaran (dalam erti kata lain pembinaan jati diri) .
*
Media justeru menjadi medium pengajaran sosial yang efektif kepada kanak-kanak dan remaja dan proses ini dinamai socialization atau proses bagaimana mempelajari menyertai dan menjadi dewasa dalam masyarakat. Orang dewasa yang mempelajari mengenai jati diri lain dari yang dikenalinya akan melalui proses yang kita namakan acculturation.
*
Masyarakat yang telah dilatih tubi oleh (E) dalam hal ini, media elektronik dan cetak, akan mengutip dan menyerap terlalu banyak pesan media. Oleh kerana ia merupakan satu proses conditioning, masyarakat akan akhirnya mengikut, taat, patuh dan meniru apa yang disogokkan oleh media elektronik mahupun cetak.Instrumen-instrumen sosial yang membantu perkembangan jati diri bangsa seperti ibu-bapa, generasi tua, madrasah, pondok dan tuan guru, seni persembahan tradisional dan karya sastera sebagai contoh telah diambil alih oleh institusi media baik elektronik mahupun media cetak.
*
Penumpuan terhadap media elektronik telah memberi kesan kepada hubungan kemanusiaan secara tradisional. Salah seorang pemikir Faith Popcorn telah menamakan trend ini sebagai cocooning iaitu ahli masyarakat memenggap di dalam rumah. Manusia kini boleh bekerja dan berhubung menerusi ahli masyarakat yang lain menerusi telefon, faks, sms, internet malahan televisyen dan tidak perlu berhubung secara fizikal dengan anggota masyarakat yang lain. Hubungan fizikal telah berganti dengan hubungan parasosial iaitu hubungan yang diasaskan oleh dan kepada manusia yang mereka lihat atau dengar menerusi media seolah-olah kenalan-kenalan yang ditemui menerusi media ini adalah manusia dalam dunia nyata. Cocooning juga menyebabkan manusia lebih mengenali, mendalami dan rapat dengan bintang telenovela, idola dan artis berbanding jiran sebelah rumah, atau lebih mengetahui plot drama televisyen berbanding masalah asasi yang menimpa masyarakat . Fenomena ini jadi lebih sengit saat majlis aidilfitri berlangsung, anggota masyarakat lebih rela duduk menghadap televisyen daripada ziarah menziarahi kerana hidangan program televisyen yang menarik.
*
Kewujudan televisyen menyebabkan fenomena sindrom couch potato di mana kita duduk di hadapan televisyen dan dunia di datangkan kepada kita bukan kita yang pergi mendapatkan dunia .Oleh kerana conditioning process berlaku secara giat dan masyarakat telah terjerumus ke dalam dunia binaan media termasuk televisyen (cocooning), proses pembinaan jati diri bangsa telah bergantung sepenuhnya kepada media dan peranan instrumen sosial tradisional beralih kepada institusi media.
**
Apa yang dibina oleh televisyen?
Adalah penting untuk difahami bahawa kini media telah menjadi satu makhluk yang dipatuhi, dikasihi bahkan dilindungi. Sebarang cacian ke atas media misalnya akan membibitkan respon yang kritikal semula. Ini berlaku kerana media amat rapat dengan manusa, menjadi teman setia, memberi rasa tenteram dan senang, memberikan berita terkini dan hiburan yang sensasi. Proses perorangan ke atas media ini khususnya media elektronik telah diakui oleh ramai tokoh futuris dalam karya-karya mereka.
*
Kajian Byron Reeves dan Clifford Nass dari Stanford University membuktikan menerusi satu set kajian dan penyelidikan bahawa manusia kini melayani peti televisyen dan komputer sebagai entiti sosial dan ini dilakukan penuh natural. Kini ramai bercakap dengan televisyen, bersahabat dan percaya hanya televisyen memahami mereka .John Naisbitt mengakui trend ini dan mngatakan inilah prinsip asas kemajuan teknologi iaitu high tech=high touch. di mana kesan kejayaan teknologi telah mempengaruhi hubungan manusiawi .
Apakah yang dilatih tubikan oleh televisyen hari ini? Apakah yang disogokkan oleh media elektronik mahupun cetak kepada masyarakat sebagai pusingan appetite behaviour? Dan bagaimana masyarakat menerima dan terlazim malah terasuh serta terbina jati diri dan keperibadian mereka dengan apa yang disalurkan oleh televisyen itu?
*
Terdapat sekurang-kurangnya tiga implikasi buruk ke atas manusia oleh kemunculan institusi media yang berkuasa ini:
Buta budaya.
Buta budaya bermaksud keterasingan dari artifak budaya bangsa. Kemunculan media elektronik khususnya menjauhkan masyarakat dari budaya besar bangsa . Masyarakat misalnya tidak lagi mengenali karya sastera klasik. Atau mereka tidak memahami atau tidak berusaha memahami seni persembahan tradisional bangsa. Buta budaya langsung menghasilkan fragmentasi yang memisahkan individu dari masyarakat kerana kurangnya hubungan dua hala (hubungan yang dikemukakan oleh media adalah hubungan sehala dan jika adapun dua hala adalah hubungan tanpa jiwa yang tidak real) .
*
Kitsch
Istilah kitsch dipelopori oleh tokoh sosiologis Dwight Macdonald yang menggambarkan kelahiran budaya popular (produk media elektronik dan cetak) sebagai produk sampah . Secara mudahnya kitsch adalah budaya pop yang tidak berjejak oleh satu peradaban dan jati diri yang berwibawa. Kehadiran program realiti tv atau rancangan telenovela sebagai contoh adalah hasil kitsch. Dalam industri buku, kitsch menyebabkan kelahiran ‘chapbooks’ atau buku untuk kesenangan pembaca. Karya dengan nilai sastera dan estetika tidak lagi dibaca sebaliknya tumpuan diberikan kepada buku masakan, buku ramalan astrologi termasuklah bahan lucah.
*
Kehadiran majalah yang memainkan persoalan tahyul, lucah dan misteri adalah sebahagian dari kitsch. Ini malah boleh dihadirkan menerusi media elektronik. Di sini jugalah muncul karya picisan yang hanya mementingkan selera rendah pembaca.Kelewahan kepenggunaan atau perbelanjaan.Kelahiran media sebagai institusi juga melahirkan budaya kelewahan kepenggunaan atau perbelanjaan.
*
Thorstein Veblen mendebatkan budaya conspicuous consumption, atau kelewahan perbelanjaan untuk mencapai prestij sosial. Budaya ini telah menjadi nilai yang dominan dalam masyarakat moden . Antara muatan media ialah ragam pengiklanan moden. Para pengiklan ini mengenalpasti ahli masyarakat sebagai individu dan memainkan kehendak dan kepuasan pengguna dengan penerimaan sosial. Pertumbuhan budaya materialisme (meraikan kebendaan), hedonisme (pengejaran kepada keseronokan) dan narcissism (penurutan hawa nafsu)
*
Fenomena kelewahan dan pembaziran ini menjadi lebih sengit dengan kemunculan saluran membeli-belah dan latih tubi iklan yang mengasak dengan nilai-nilai yang ditentukan oleh pengiklan dengan perintah kapitalis.Terdapat banyak lagi implikasi buruk yang dibibitkan oleh keperkasaan media sebagai pembina jati diri tetapi tiga dikira memadai untuk diturunkan di sini.
**
Apakah ideologi media?
Apakah ideologi media? Media sosiologis yang tersohor Herbert J.Gans menekankan bahawa terdapatnya kecenderungan bias dalam berita-berita yang dipaparkan di media. Ideologi media ini antara lain ialah lima kunci penting yang disebutkan olehnya sebagai ‘nilai-nilai bertahan’ yang telah meresapi media dan disampaikan secara halus tanpa memikirkan keadilannya untuk khayalak.
*
Lima noktah penting ideologi ini sudah memadai untuk menunjukkan bahawa pembinaan jati diri bangsa atau nilai patriotisme sedang dikawal media secara rakus.
Demokrasi altruistik - Ia adalah satu kepercayaan bahawa politik harus berdasarkan kepentingan awam dan servis.
Individualisme - Penekanan terhadap kebebasan individu mengatasi kepentingan dan keperluan masyarakat umum yang lebih besar.
Moderatisme – Penekanan diberikan supaya bersederhana dalam berpolitik, menetapkan nilai-nilai dan juga pemerkasaan budaya.
Kawalan – Penekanan ke atas ketenteraman sosial, mengelakkan konflik, menghormati autoriti politik dan sosial.
Kepimpinan – Pemaparan bahawa kepimpinan yang baik ialah kepimpinan yang dapat mengatasi apa jua persoalan menerusi visi, stamina dan keberanian .
**
Kucuplah televisyen anda.Hari ini, seeloknya kita memulakan pagi dengan mengucup televisyen kita sebagai tanda sayang yang tidak berbelah bahagi. Setiap hari lebih dari lima puluh peratus rancangan televisyen (lihat lampiran) menumpu kepada kategori hiburan (meskipun tidak dapat dinafikan definisi hiburan sangat tricky memandangkan satu rancangan mungkin dapat menghiburkan seseorang tetapi tidak dapat menghiburkan yang lainnya). Pecahan untuk sukan misalnya tidak sampai sepuluh peratus dalam seminggu, pecahan untuk agama pula jauh lebih rendah dengan mengenepikan segmen bacaan al-Quran dan azan.
*
Pengisian pendidikan dengan mengenepikan segmen berita juga tidak diberi peruntukan yang besar. Perhatikan juga setiap hari hampir atau lebih enam jam diperuntukkan untuk telenovela asing, ini bermakna lebih satu perempat dari rancangan televisyen kita dipenuhi dengan jati diri asing atau nilai patriotisme yang tidak dapat langsung dihubungkan dengan Malaysia. Ini belum ditolak campur atau perhitungan dilakukan dengan rancangan bukan dalam bahasa kebangsaan.
*
Haruslah diingat penekanan terhadap pendidikan dan agama (sekiranya ada) misalnya tidak disiarkan pada waktu perdana (yakni waktu ramai penonton: kebiasaannya waktu perdana merujuk dari jam 8 malam ke jam 10 atau 11 malam tetapi kita juga harus mengambil kira waktu perdana kedua yakni dari jam 2 ke 6 petang).Rasa sayang terhadap media elektronik ataupun cetak (khususnya elektronik ini) berkait rapat dengan fenomena panopticon.
*
Michel Foucault menggunakan metafora panopticon untuk menggambari bagamaina sesebuah organisasi besar mengawasi manusia, langsung mengawal dan menentukan kehidupan awam. Panopticon adalah adalah sejenis alat kawalan di penjara yang berpusat dan membolehkan pihak penguasa melihat dan memerhatikan banduan. Tujuan panopticon bukanlah untuk mengawasi semata-mata tetapi lebih untuk mewujudkan satu keadaan yang dirasai dan disedari kewujudannya dengan itu sekaligus menjamin kewujudan semacam satu kuasa sedang menentukan gerak laku banduan.
*
Meskipun Foucault tidak secara terang merujuk media sebagai satu jenis panopticon tetapi media hari ini telah mendapat tempat dan kedudukan di menara kawalan tersebut. Lebih aneh, media disayangi sebagai fungsi panopticonnya itu. Sesuatu yang perlu diingat tentang panopticon ialah sifatnya di mana sedikit menentukan yang banyak. Minoriti menguasai majoriti melalui satu kawalan yang dimomok-momokkan, bukanlah satu kawalan yang sebenar .Tidak dapat dielakkan dan dikesali media arus perdana hari ini telah menjadi ejen pembudayaan jati diri asing.
*
Perleluasaan penggunaan bahasa Inggeris dalam rancangan televisyen seperti yang terlihat pada stesen televisyen 8tv menunjukkan adanya ejen comprador yang menjadi musuh utama kepada pembinaan jati diri bangsa mahupun pemupukan nilai patriotisme. Golongan comprador ini adalah musuh sebenar negara. Comprador bermaksud, golongan pewaris idea Barat.Penjajah Inggeris sebelum meninggalkan India untuk memberi kemerdekaan kepada orang-orang India telah meninggalkan segolongan manusia, yang tidak ramai, taasub kepada Inggeris, mentah-mentah menerima Inggeris, berkulit hitam bertopeng putih dan ini telah dirancang secara sistematik. Satu proses pembinaan jati diri jahat untuk mengancam jati diri sejati orang India. Malah ini terakam dalam dokumen sejarah Thomas Macaulay (lihat Minute on Indian Education, 1835) bahawa kelompok yang berpegang kepada budaya Inggeris, berminda Inggeris, percayakan supremacy Inggeris harus dilahirkan oleh sistem pendidikan supaya meskipun Inggeris keluar dari India, golongan comprador ini wujud dan meneruskan kelangsungan penjajahan Inggeris. Golongan Comprador ini sangat bijak menunjukkan seolah-olah merekalah golongan yang bertindak demi kepentingan masyarakat, untuk membangunkan maruah bangsa dan bermacam alasan lagi bila mencipta satu-satu dasar yang merugikan bangsa tetapi melebihkan dan mendaulatkan bangsa Inggeris. Istilah comprador ini diperkenalkan oleh orang-orang Inggeris sendiri. Rujuk Post-Colonial Studies: The Key Concept, 2000, tulisan dan susunan bersama Bill Ashcroft, Gareth Griffiths dan Helen Tiffin.Ejen comprador dalam media dengan mudahnya meruntuhkan apa sahaja hasrat pembinaan jati diri bangsa. Sebagai misalan di salah satu saluran televisyen sedang berlangsung program pemupukan pendidikan atau dokumentari yang bernas, di saluran lain rancangan nyanyian atau konsert Britney Spears menggoda penonton muda.
*
Sebahagian generasi muda akan menonton rancangan nyanyian kerana kemeriahan budaya popular (ingat peranan kitsch) dan tidak mempedulikan saluran yang bersungguh menerapkan pembinaan jati diri bangsa. Dengan sendirinya media telah menjadi ejen comprador yang jahat dan anti jati diri sejati atau nilai patriotisme.
*
Sesuai dengan fungsi media sebagai penentu ideologi, ejen jati diri, panopticon, dan mempunyai kuasa untuk memberikan pelbagai kesan kepada masyarakat, sekali lagi ditekankan di sini media telah mengambil alih peranan instrumen sosial tradisional dalam membina jati diri manusia. Media telah mengambil alih peranan ibu-bapa, guru dan madrasah, kawan-kawan, malah media telah menjadi satu kuasa, satu pemimpin yang dipercayai dan dapat menentukan jalan serta arah.
*
Jika merujuk lampiran yang disediakan adalah jelas pengisian jati diri bangsa dan nilai patriotisme dalam keadaan genting. Satu dasar penyiaran perlu digubal oleh kabinet dengan menetapkan jumlah tertentu jam (pada waktu perdana) diserahkan kepada rancangan tempatan dan satu dasar sekatan terhadap produk drama asing segera digubal. Ini akan membolehkan juga pertumbuhan produk drama tempatan yang harus disyaratkan mengenengahkan elemen jati diri bangsa dan nilai patriotisme .
*
Jati diri menurut surah LuqmanSurah Luqman adalah surah ke 31 dan terdiri dari 34 ayat. Surah ini termasuk dalam kategori ayat-ayat Makkiyah . Ini bermakna surah ini memberi penekanan kepada persoalan akidah, keimanan kepada Allah, ingatan kepada hari pembalasan selain menyeru akhlak yang mulia dan melakukan kebaikan.Surah Luqman amat sesuai digunakan sebagai satu pendekatan dalam membina rangka atau program jati diri bangsa khususnya generasi muda. Ini memandangkan di dalam surah Luqman ditekankan perihal disiplin anak-anak meliputi hubungan penuh adab dan akhlak dengan ibu-bapa, guru, jiran dan sahabat.
*
Persoalan sistem hidup kekeluargaan yang murni dan penuh tatasusila menunjukkan surah ini memiliki asas-asas ta’dib yang sesuai untuk diterapkan pada peribadi remaja.Terdapat lapan ayat yang menyebut mengenai Luqman dan anaknya secara khusus iaitu ayat 12 hingga 19. Ayat-ayat ini menampung nasihat-nasihat Luqman setelah Allah berfirman memperkenalkan Luqman dalam ayat 12:
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Luqman hikmah kebijaksanaan (serta Kami perintahkan kepadanya): ‘Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepada-mu), dan sesiapa yang bersyukur, maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Amat Terpuji.’
**
Terdapat tiga tunjang pendidikan yang dikemukakan oleh Allah menerusi Luqman untuk dijadikan pegangan.
(A) Tunjang pertama ialah dasar akidah yang disentuh menerusi ayat ke-13:Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya,
‘Wahai anak kesayanganku. Janganlah engkau menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar!’
*
Ayat ini memberi isyarat supaya remaja diberikan pengukuhan pada doktrin tauhid. Inilah asas pembinaan jati diri. Remaja pada hari ini wajib disedarkan bahawa Allah adalah segala sumber dan bukan yang lain. Oleh itu apa sahaja datangnya daripada Allah, dan pada ketikanya, akan perlu kembali kepada Allah. Tidak ada yang kekal di muka bumi ini dan hanya Allah tempat bergantung.Doktrin ini amat penting dipantakkan dan diasuhkan kepada remaja. Doktrin tauhid ini menjadi perkara paling dasar dalam merangka program membina jati diri. Hal tauhid ini menjadi sangat genting untuk disuguh memandangkan remaja hari ini telah menjadi generasi tanpa jati diri. Budaya hedonisme misalnya telah menjadikan remaja muslim leka, lemah dan khayal, serta memuja makhluk ciptaan Allah. Perhambaan secara halus ini adalah jelas satu kesyirikan yang harus dibanteras segera.
*
Remaja kita harus disedarkan dengan hakikat penciptaan seperti yang telah diakui kepada Allah di hari penciptaan dan hari termeterai perjanjian. Hari di mana manusia bersedia memohon jawatan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Hakikat kejadian khalifah Allah itu misalnya terpancar pada firman-Nya, surah al-A’raf, ayat 172:
Dan ingatlah wahai Muhammad ketika Tuhan-mu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam turun-temurun – daripada tulang belakang mereka, dan Ia menjadikan mereka itu saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu (yang mengasuh serta menjaga kamu)? – mereka semua menjawab: Benar (Tuan hamba adalah Tuhan kami) kami menjadi saksi (yang demikian ini) supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
*
Inilah huwiyyah atau jati diri sebenar manusia, yang membezakannya dengan ciptaan-ciptaan Allah yang lain (al-imtiyaz ‘an al-aghyar). Jika manusia dapat memahami dan mengimani hakikat ini maka soal pembinaan jati diri tidak lagi timbul kerana apa juga gugahan luar akan membawa semula mereka kepada hakikat di atas. Apabila aspek internal dan fundamental kukuh maka aspek luaran hanya akan menjadi satu pinggiran.
*
(B) Tunjang kedua ialah dasar ibadah yang disentuh antara lain pada ayat ke-17, surah Luqman:‘Wahai anak kesayanganku. Dirikanlah solat dan serulah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar.’Ayat ini secara terang menyebutkan tuntutan menunaikan solat. Solat adalah tiang agama. Solat juga adalah pagar manusia dari tipu daya syaitan. Dalam solat terdapat banyak khasiat khususnya untuk perkembangan psikologi remaja (seperti yang kita maklumi pembinaan jati diri sangat rapat dengan aspek psikologi). Juga yang lebih penting solat mengandungi satu falsafah yang luar biasa untuk keamanan dunia dan akhirat. Bukan sahaja pada solat tetapi secara keseluruhannya setiap ibadah yang dianjurkan Islam punya falsafah dalam pembinaan jati diri. Di dalam solat kita memulakan ibadah tersebut dengan takbir iaitu pengakuan kepada Allah yang Maha Esa akan kebesarannya. Di dalam solat kita menghiasinya dengan doa-doa. Di dalam solat juga kita berjanji bahawa hidup dan mati hanya untuk Rabb, pemilik sekalian alam. Di luar solat kita tidak boleh mengingkarinya. Dan kita mengakhiri solat dengan salam, memalingkan wajah ke kiri dan kanan menandakan kesejahteraan untuk seluruh umat manusia.
**
Inilah yang wajar dihayati dan difahami dalam solat, bukan sekadar menyempurnakan rukun-rukunnya sahaja.Ayat ini juga menuntut penjelmaan hizmet atau pun melakukan kebajikan. Tiang jati diri pada batang tubuh manusia adalah segala yang makruf. Namun begitu penyuburan makruf iaitu hal-hal kebaikan, tidak dapat berjalan dengan sempurna andainya nahi mungkar tidak berjalan serentak.
*
Ketika mengemukakan program membina jati diri aspek menanamkan kefahaman dalam beribadah dan menyeru kepada kebaikan dianjurkan serentak dengan ketegasan dalam melaksanakan fiqhul inkar (fikah nahi mungkar). Dalam dunia yang penuh kelalaian, kemungkaran, noda dan maksiat, pengarang harus teguh, cekal dan bertanggungjawab membaiki kerosakan-kerosakan ini. Kita harus menyedari bahawa penampilan amar makruf sahaja belum memadai kerana kebaikan tidak dapat tertegak di sisi kejahatan. Jati diri yang telah dibina dengan dorongan makruf boleh sahaja runtuh oleh satu aksi kecil mungkar.
*
(C) Tunjang ketiga ialah dasar akhlak dan komunikasi yang disentuh dalam banyak ayat dari surah Luqman:
Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu-bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun: (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-ku dan kepada kedua-dua ibu-bapamu: (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (surah Luqman ayat 14)Firman Allah seterusnya:Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan-Ku dengan sesuatu yang engkau -dengan fikiran sihat - engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka: Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutilah jalan orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh) kemudian pada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan. (surah Luqman ayat 15)
*
Firman Allah lagi:
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata), ‘Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) seberat biji sawi sekalipun, serta ia tersembunyi di dalam batu besar ataupun di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dibicarakan dan dibalas-Nya) kerana sesungguhya Allah amat luas pengetahuan-Nya, lagi amat meliputi segala yang tersembunyi.’ (surah Luqman ayat 16)Firman Allah yang lain:Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu…(surah Luqman ayat 17)
*
Atau dalam firman Allah pada ayat ke 18:
Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membangga diri. (surah Luqman ayat 18)
Tidak ketinggalan juga pada ayat:
Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata). Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (surah Luqman ayat 19).
*
Ayat-ayat ini menunjukkan pemugaran prinsip akhlak, adab dan moral amat signifikan dalam pembesaran dan perkembangan remaja. Apakah lagi yang paling penting dalam membina jati diri bangsa sekiranya bukan kembali kepada nilai-nlai akhlak, moral dan adab yang senonoh. Isu hubungan dengan ibu bapa menunjukkan peri pentingnya nilai-nilai kekeluargaan dihayati semula dan disuburkan di dalam setiap program jati diri termasuklah di kalangan media. Hubungan dengan ibu-bapa itu pula mestilah berasaskan akidah. Institusi media yang akan menganjurkan program jatri diri itu juga memahami bahawa dasar mereka adalah tauhid seperti yang dikemukakan di awal tadi.Salah satu keruntuhan yang dibawa oleh penjajah dengan fahaman sekularisme ialah menggangu nilai kekeluargaan malah kemasyarakatan Islam.
Media boleh membantu kita menyekat hal ini dari terus berlaku dan berleluasa. Masih belum terlambat meski remaja hari ini terlupa setiap tindakan dan apa sahaja yang diperolehinya di dunia ini hanyalah satu kenderaan untuk menuju Allah taala. Media punya tanggungjawab besar kerana setiap amal perbuatan meskipun sebesar zarah diperhatikan oleh Allah, bahkan Allah Yang Maha Mengetahui sentiasa dapat mengecam apa yang terselindung dalam hati. Ini adalah prinsip yang harus ditekankan dalam program jati diri bahawa manusia tidak terlepas dari pandangan Allah.
*
Justeru remaja yang ingin atau terliur dengan noda akan segera terhalang oleh pemahaman bahawa Allah sedang memerhati. Satu konsep muqarabah (pengawasan diri) yang telah dihancurkan oleh fahaman sekularisme.
Selain itu ayat-ayat ini mengajarkan hubungan sesama manusia dan kritikan Allah terhadap golongan yang takbur dan lupa daratan. Bercakap mengenai akhlak mereka yang ditugaskan untuk membina jati diri bangsa termasuk remaja tadi juga dituntut menjadi qudwah salihah seperti yang tercermin pada peribadi Rasulullah SAW, suri teladan yang wajar dicontohi. Ini bermakna institusi media adalah satu institusi qudwah hasanah bukan suri teladan yang hodoh dan buruk.
**
Memahami asas akhlak yang dihadapkan menerusi surah Luqman ini juga memahamkan kita betapa tugas media itu meliputi fungsi untuk menjaga darurat khams, lima aspek yang wajib dipelihara menurut ajaran Islam iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda.Penekanan terhadap tunjang akidah, ibadah dan akhlak tidak bermakna media hanya menyiarkan rancangan agama atau berunsur agama sahaja tetapi tertakluk dalam rangka tiga tiang besar tersebut.
**
Kekuatan jati diri bangsa Melayu misalnya tertanam pada pandangan sarwanya (world view), epistemologinya (falsafah keilmuan) dan aksiologinya (sistem nilai). Dan semua ini kembali kepada ajaran Islam. Pendekatan surah Luqman hanyalah satu pedoman bukan bermakna televisyen atau media cetak semata-mata mengenengahkan program agama sahaja. Program yang tidak membangunkan akhlak misalnya dan hanya meruntuhkan adalah jelas tidak sejajar dengan tunjang akidah mahupun akhlak dan bukan pula satu ibadah maka wajarlah dielakkan atau diketepikan langsung.
**
Karya sastera sebagai pedoman
Salah satu kaedah lain dalam membangunkan jati diri bangsa ialah dengan memperbanyakkan program yang memaparkan keagungan sastera dan budaya bangsa. Atau dengan menjadikan karya-karya sastera agung sebagai panduan dalam merencanakan susunan dan intisari rancangan. Karya-karya sastera agung kita sangat baik digunakan untuk pembangunan jati diri. Di sini akan dikemukakan dua misal.Dalam tahun 1857 Raja Ali Haji, pendekar, ulama dan ahli falsafah Melayu telah menulis kitab Tsamarat al Muhimmah. Semasa perlantikan Sultan Badrul Alam Syah sebagai Sultan Lingga dan Riau, Raja Ali Haji menekankan dari awal supaya baginda Sultan ‘mengikuti titah Allah dan Rasulnya’. Ini juga terlihat misalnya dalam Tuhfat al Nafis.Di dalam kitab Tsamarat al Muhimmah, ulama terkemuka itu mengingatkan kedudukan Sultan sebagai khalifah dan imam yang bertanggungjawab memelihara Islam dan undang-undangnya.
*
Menurut pengarang pengabaian Islam dan syariat menandakan permulaan kerosakan pentadbiran negara, kekacauan kestabilan sosial dan tanda nifaq menolak kesejahteraan akhirat.Di dalam kitab tersebut, Raja Ali Haji terang-terang menyebutkan hukum-hakam negeri mestilah berasaskan al-Quran, hadis Nabi Muhammad SAW dan kias. Selain mengiktiraf sumber hukum dari konsep maslahah dan uruf atau adat. Hal ini misalnya boleh rujuk di dalam kitab tersebut .
*
Satu panduan yang dapat dipegang dari intipati khazanah kita tersebut ialah peranan pemerintah dalam memelihara kesejahteraan umat Islam dan bangsa Melayu tentunya. Jati diri bangsa Melayu amat bergantung dengan Islam., jati diri bangsa Melayu hanya dapat ditambat dengan Islam dan tidak boleh diapungkan dan ditambat dengan nilai-nilai lain. Pemerintah harus mengakui hal ini dan apa kala pemerintah menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam karya klasik ini dengan mudah pula aplikasi Islam dapat diterapkan kepada masyarakat.Dalam konteks hari ini, media telah mengambil alih peranan pemimpin (seperti yang telah dijelaskan media telah menjadi sangat dominan dalam hidup seharian dan mengambil alih banyak fungsi sosial instrumen yang sedia ada), justeru media harus kembali bertindak sebagai pemimpin tradisional yang memelihara agama dan sentiasa bergerak dalam panduan al-Quran dan hadis selain meraikan nilai-nilai lokal atau setempat.Contoh kedua dari karya sastera yang dapat dijadikan pedoman media ialah Kitab Nasihat Raja-raja. Syeikh Duyung menulis:
Raja yang sejahat-jahat raja itu iaitulah raja yang menukarkan agamanya dengan dunia dirinya .
*
Ingatan keras lain datangnya daripada penulis kitab Safinat al Hukkam:
Bermula seyogianya bahawa diketahui pohon segala adab memerintahkan rakyat oleh segala raja-raja dan gantinya itu iaitu dua kaedah. Maka kaedah yang pertama itu ilmu akan hukum Islam dan akan hukum syariat Rasul Allah sallallahu alaihi wasallam seperti yang lagi akan datang. Insya-Allah Taala. Kerana jikalau tiada ilmu serta perintah maka binasa yang diperintahkan itu terlebih banyak daripada baiknya. Dari kerana tatkala itu mengaranglah hawa nafsu kepada segala kehendaknya seperti mengarang gajah liar dalam hutan.Dan kaedah yang kedua itu mengambil hawa nafsu kerana betul bicara dan tersalahnya daripadanya jua datangnya. Maka apabila kuat cita fikirnya, maka adalah alamat keras sultan bicara dalamnya dan hinalah hawa itu. Dan apabila daif cita fikirnya, maka alamatnya mengeras hawa itu atas nafsu, maka tertutuplah akal dalamnya dan tersalahlah bicaranya. Dan tatkala itu tiadalah ia dapat menghukumkan orang yang lainnya .
*
Apakah yang dapat dimanfaatkan oleh pemimpin dan pengamal media supaya dapat dijadikan pedoman berguna merangka intisari rancangan media elektronik atau muatan media cetak? Secara permukaan dapat diingatkan supaya media (sebagai pemimpin atau raja) jangan sampai jadi seperti gajah liar di hutan. Kebijaksanaan sebagai pemimpin diperlukan. Rancangan tv yang menerjah kepada kelalaian dan pemugaran hawa nafsu tidak boleh ditolak ansur. Dalam konteks hari ini rancangan hiburan rendah tidak dapat diterima sebagai satu program pembinaan jati diri. Rancangan telenovela asing sebagai contoh tidak dapat mendorong kepada kebijaksanaan fikiran malahan menyuburkan hawa nafsu dengan adengan-adengan berahi, dengan sendirinya menjadi sesuatu yang amat batil dalam usaha menerapkan jati diri bangsa (yang berakar kuat dengan Islam) apatah lagi tidak jelas caranya untuk mengukuhkan nilai patriotisme.
**
Media elektronik mahupun cetak tidak boleh mengutamakan keuntungan kantung semata-mata. Sebaliknya penerapan rancangan yang mengutamakan ilmu harus dirimbuni.Mengambil kira kekuatan media untuk menentukan jati diri bangsa dan memupuk nilai patriotisme, malah kuasa media yang sudah melebihi pemimpin, sekiranya media dapat menerapkan dua pendekatan dari sub tajuk di atas dalam sukatan atau muatannya dan merubah sifatnya dari panopticon yang bersifat memomok-momokkan kepada panopticon bersifat mengasuh, mengingatkan dan mengawasi dari jatuh ke dalam jurang noda, maka media dikira dapat membantu membina jati diri manusia. Membina jati diri manusia sesuai dengan ukuran langit akan membantu menjadikan jati diri manusia sesuai dan sempurna di bumi.
**
Pemupukan media alternatif
Setelah menyediakan pedoman, tunjang dan kayu ukur untuk media berdasarkan al-Quran dan hemah bangsa, harus disebutkan di sini bahawa kewujudan media sebagai kuasa baru ini boleh disaingi. Oleh siapa? Tentunya oleh media juga sendiri.Galakan terhadap media elektronik dan cetak alternatif harus disuburkan dan disemarakkan supaya media alternatif ini dapat berperanan sebagai pengimbang kepada media arus perdana. Media cetak yang bebas dari ideologi sempit media seperti yang diutarakan oleh Herbert J.Gans perlu ada. Media ini akan berfungsi untuk menampung kekurangan dan lompong kosong yang ditinggalkan oleh media arus perdana kerana mengejar keuntungan. Media alternatif tidak berminat dengan kuasa dan persaingan pasaran tetapi mementingkan kebenaran (meskipun kebenaran tersebut terhad dalam rangka yang difahami mereka).Media alternatif sangat sesuai ditegakkan dan diperkasakan kerana media ini mampu menawarkan jurnalisme sivik. Apakah yang dimaksudkan dengan jurnalisme sivik? Ia adalah jurnalisme yang membebaskan diri dari kongkongan ideologi lapuk media.
*
Metodologi yang dapat diambil oleh media alternatif ialah dengan mendekati masyarakat awam dan mendapatkan daripada mereka apakah isu yang mereka prihatin dan pandangan mereka tentang isu tersebut. Jurnalisme sivik ini dapat memerdekakan diri dari sumber rasmi, dan dapat menjadi media yang terbuka, tidak elitis, dan lebih mendekati egalitarian .Media alternatif ini dengan itu lebih berani, lebih bersedia dan lebih fleksibel dalam merencanakan pengisian pembinaan jati diri bangsa atau pemupukan nilai patriotisme (dengan mengambil kira fleksibeliti di sini akan diisi dengan muatan yang baik tentunya).KesimpulanAspek jati diri dan nilai patriotisme sangat rapat.
*
Meskipun kertas kelihatan menekankan aspek jati diri sahaja tetapi persoalan sebenar bukanlah apa itu jati diri atau apa itu patriotisme tetapi ialah bagaimana media dapat mempengaruhi manusia dalam pembinaan jati dirinya. Adalah jelas media telah menjadi satu institusi yang amat berpengaruh dalam masyarakat untuk membangunkan jati diri. Persoalannya hari ini ialah pembinaan jati diri (yang kita harapkan) yang ditonjolkan oleh media khususnya elektronik ditahap amat rendah. Pengamal media adalah juga dhaei dan tidak terlepas dari pertanyaan Allah di hari pembalasan kelak.
Pendekatan surah Luqman dapat dijadikan asas pembinaan jati diri secara berperingkat selain menjadikan karya sastera agung sebagai panduan merangka program dan kayu ukur pegangan media. Adalah satu kemestian program dan pembinaan jati diri bangsa di pelbagai media disemak semula, sesuai dengan tuntutan dan desakan ahli politik semasa. Percambahan media alternatif untuk menyemarakkan jati diri bangsa dan nilai patriotisme pula harus digalakkan sekiranya media perdana terkekang oleh faktor memenuhi kehendak pengiklan dan mahu kekal sebagai panopticon.
**
Rujukan
Michael Schudson, The Power of News, hlm: 24-25. Cambridge, MA: Harvard U. Press, 1995.
Shapiro M.M, Journal of Comparative and Physiological Psychology, 1962, 55, hlm: 567-571.
Kintsch W. dan Witte. R.S, dalam jurnal yang sama di hlm: 963-968.Faith Popcorn, The Popcorn Report. Faith Popcorn on the Future of YourCompany, Your Life, 3rd ed. New York: Doubleday, 1991. Juga rujuk FaithPopcorn dan Lys Marigold, Clicking. 16 Trends to Future Fit Your Life, YourWork and Your Business. New York: HarperCollins, 1996.Jerry Mander, Four Arguments for the Elimination of Television. New York:Morrow Quill, 1978.
Byron Reeves dan Clifford Nass, The Media Equation: How People TreatComputers, Television and New Media Like Real People and Places. NewYork: Cambridge U. Press, 1996.
John Naisbitt, Megatrends. New York: Warner Books, 1982.
William J. Donnelly, The Confetti Generation: How the New CommunicationsTechnology is Fragmenting America, New York: Holt, 1986.Richard Saul Wurman. Information Anxiety. New York: Doubleday, 1988.
Dwight Macdonald, "Masscult and Midcult," 1960. Juga diterbitkan semula dalam Against the American Grain. New York: Random House, 1962.
James B. Twitchell, Carnival Culture: The Trashing of Taste in America. New York: Columbia University Press, 1992.Thorstein Veblen, The Theory of the Leisure Class. An Economic Study ofInstitutions. New York: Macmillan, 1912. Terbitan pertama 1899.
Richard Wrightman Fox dan T. J. Jackson Lears., eds. The Culture of Consumption. New York: Pantheon, 1983. Lihat juga Jackson Lears, Fables of Abundance, A Cultural History of Advertising in America. New York: Harper Collins, 1994; dan William Leiss, Stephen Kline dan Sut Jhally, Social Communication and Advertising. London: Metheun, 1986.Herbert J. Gans, Deciding What's News. A Study of CBS Evening News,NBC Nightly News, Newsweek and Time. New York: Pantheon Books, 1979, hlm: 39-69.
Michel Foucault, Discipline and Punish: The Birth of the Prison. Trans. AlanSheridan. New York: Vintage Books, 1979.Seruan ini adalah satu seruan tulen dan padu suara Melayunya kerana kedua-dua parti terbesar orang Melayu, Pas dan Umno sama-sama menyuarakan kebimbangan terhadap natijah buruk media elektronik ini. Lihat Harakah 16-31 Julai 2005 di hlm 30 dengan judul: Kerajaan tiada kuasa pantau rancangan ASTRO. Juga lihat perbahasan perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno 2005, Berita Harian 24 Julai 2005 di hlm 19 dengan judul: Isu penularan budaya di TV jadi tumpuan.
Berdasarkan pandangan yang masyhur, Makkiyah ialah ayat-ayat yang diturunkan sebelum Rasulullah berhijrah. Ayat kategori kedua pula ialah ayat-ayat Madaniyyah iaitu ayat-ayat al-Quran yang diturunkan selepas hijrah Rasulullah ke Madinah.
Raja Ali Haji, Tsamarat al Muhimmah Diyafat li al Umara wa al Kubara li Ahl al Mahkamah, Rumah Cap Kerajaan, Lingga, 1304H, hlm: 29.
Syeikh Duyung, Kitab Nasihat Raja-raja, MS ANM/SD 8 Arkib Negara Cawangan Trengganu, hlm: 9.Safinat al Hukkam, Pustaka A. Hasjmy, Banda Acheh, hlm: 20-21.
Rujuk Rob Anderson, Robert Dardene dan George M. Killenberg, The Conversation of Journalism. Communication, Community and News. Westport, CT: Praeger, 1994. Atau, Davis "Buzz" Merritt, Public Journalism & Public Life. Why Telling the News is Not Enough. Hillsdale, NJ: Lawrence Erlbaum, 1995; Jay Black, ed., Mixed News. The Public/Civic/Communitarian Journalism Debate. Mahwah, NJ: Lawrence Erlbaum, 1997.
*
No comments:
Post a Comment