Monday, August 27, 2007

Melonjak Pendidikan Tinggi


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD (WARTAWAN UTUSAN)

Sejarah pendidikan tinggi di negara ini bermula apabila tertubuhnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama iaitu Universiti Malaya (UM) di Singapura pada Oktober 1949 sebelum kampusnya dipindahkan ke Kuala Lumpur pada Januari 1962.

Ia kemudian diikuti dengan penubuhan Universiti Sains Malaysia (USM) pada Mei 1969 di Minden, Pulau Pinang serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970.

Selepas kewujudan tiga universiti awam tersebut sektor pendidikan tinggi terus berkembang dan sehingga kini sebanyak 20 IPTA dan 521 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terdapat di negara ini.

Bagaimanapun timbul pula persoalan, adakah kewujudan sebegitu banyak IPTA dan IPTS itu memberi jaminan bahawa graduan yang dikeluarkan benar-benar berkualiti dan berdaya saing?

Adakah kewujudan kesemua institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit telah banyak memberi sumbangan kepada kemajuan bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) di negara ini?

Bagaimana pula dengan kedudukan pihak pengurusan kanan universiti serta barisan pensyarah, adakah mereka profesional ketika menjalankan tugas?

Setiap persoalan tersebut sebenarnya memerlukan satu bentuk penyelesaian kerana ia berkait rapat dengan status graduan yang bakal dilahirkan oleh sesebuah IPT.

Umum mengetahui sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara tiga tahun lalu, agenda utamanya ialah membangunkan modal insan dalam semua sektor termasuk bidang pendidikan tinggi.

Justeru, dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut dan pada masa yang sama meningkatkan kedudukan IPT di Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan satu rancangan jangka panjang yang dinamakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

Pelan yang merupakan manifestasi kerajaan untuk melihat kemajuan bidang pendidikan tinggi negara itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed pelan tersebut merupakan satu dokumen serta rangka kerja yang akan meletakkan asas bagi pembinaan modal insan yang berkualiti.

Katanya, ia memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan modal intelek bagi menjayakan aspirasi ke arah sebuah negara yang maju, makmur dan kompetitif.

“Dalam era globalisasi ini Malaysia sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mahu tidak mahu kita perlu bersedia. Untuk itu struktur, sistem dan strategi pengajian tinggi yang mantap adalah perkara pokok yang perlu diberi tumpuan.

“Oleh itu, pelan yang menggariskan tujuh teras strategik ini memberi fokus kepada peningkatan serta usaha memperkasakan kualiti pengajian tinggi ke tahap yang terbilang,” katanya.

Beliau berkata, antara tujuh teras yang terdapat di dalam pelan tersebut ialah:
Memperkenalkan ketelusan lebih tinggi dalam pemilihan pengurusan kanan di universiti awam supaya aspek kepimpinan mencapai kecemerlangan.

Pembangunan Dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat Negara menerusi pembentukan Jawatankuasa Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang bermatlamatkan peningkatan jumlah pelajar dewasa yang memiliki kelayakan tinggi adalah 27 peratus daripada jumlah tenaga kerja berbanding 20 peratus ketika ini.

Pelajar cemerlang akan diberi peluang untuk mengikuti sekurang-kurangnya satu semester di universiti terkemuka di luar negara.

Latihan industri di kalangan pensyarah bagi membolehkan mereka dipinjamkan ke sektor swasta sekali gus meningkatkan kerjasama antara sektor.

Melaksanakan program pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan MyBrain15 yang menyasarkan penghasilan 21,000 pemegang doktor falsafah (PhD) atau setaraf menjelang 2010, majoriti dalam bidang sains, teknologi dan perubatan.
Program pendidikan holistik bagi menghasilkan pelajar yang memiliki nilai keseimbangan.

Mustapa berkata, selain modal insan pelan itu turut meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.

“Pelan ini akan melalui tiga peringkat pelaksanaan iaitu peletakan asas (2007-2010), transformasi pengajian tinggi (2011-2020) serta kegemilangan dan kelestarian pengajian tinggi (melangkaui tahun 2020),” kata Mustapa.

Sementara itu Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi berkata usaha untuk mentransformasikan bidang pengajian tinggi di negara ini perlu dilakukan segera.

Beliau berkata, ini kerana perkembangan pendidikan tinggi di seluruh dunia ketika ini terlalu hebat dan kompetitif.

Ujarnya, Malaysia perlu berbuat sesuatu sekiranya mahu berada dalam kelompok negara yang mempunyai universiti-universiti terbaik. Oleh itu, langkah kementerian memperkenalkan pelan ini tepat pada masanya.

“Apa yang perlu diberikan perhatian ialah usaha untuk melaksanakannya perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh kerana ia akan menentukan survival dan masa depan pelan yang diperkenalkan ini,” tambah beliau.

No comments: