Wednesday, August 15, 2007

Tan Ai Po @ Nur A’thiroh Masyaa’il Tan

Tan Ai Po @ Nur A’thiroh Masyaa’il Tan dari program Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja dalam Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pemilihan untuk Anugerah Pelajaran Diraja ini adalah berdasarkan kepada kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik dan aktif menyertai kegiatan ko-kurikulum, menyumbangkan bakti kepada masyarakat dalam bentuk sukarela selain mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan berkeperibadian yang mulia.
Tan Ai Po @ Nur A’thiroh Masyaa’il Tan, graduan Fakulti Pengajian Islam sepanjang pengajian beliau di fakulti tersebut telah menunjukkan ciri-ciri ketokohan dan kepimpinan yang wajar memjadi ikutan para pelajar UKM yang lain.
Nur A’thiroh yang dilahirkan di Mata Ayer, Perlis pada 7 April 1975 adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, ko-kurikulum, sukan serta aktif menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslimah dalam menyebarkan dakwah Islamiah.Beliau juga aktif membantu para saudara baru di UKM dalam menghadapi kehidupan sebagai Muslim.
Nur A’thiroh banyak terlibat dalam aktiviti keagamaan sepanjang pengajiannya di UKM. Beliau telah beberapa kali muncul sebagai Tokoh Saudara Baru dalam majalah dan akhbar tempatan.Nur A’thiroh menjadi ikon kepada saudara-saudara baru dengan memberi contoh terbaik sebagai mahasiswi yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Dalam aktiviti sukarela, Nur A’thiroh sangat aktif dengan beberapa badan sukarela NGO seperti PERKIM, MERCY Malaysia, Yayasan Salam dan YADIM. Penglibatan sukarela ini dianggap sebagai pengorbanan yang beliau mampu berikan kepada mereka yang lebih memerlukan, di samping menjalankan tanggungjawab sosial sebagai seorang insan.
***
Sumber: Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments: