Monday, August 13, 2007

Lakonan Pelajar Cemerlang 10 A1 Terbongkar




Oleh UMAVATHI RAMAYAH dalam Utusan malaysia, 13 Ogos 2007

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Tiga tahun lalu, Leong Whye Hung merupakan pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh keputusan 10 A1.

Dia kemudian mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi dengan biasiswa penuh dalam program Diploma Kejuruteraan Elektrik di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) di sini.

Sejak hari pendaftaran pada awal Januari 2005, yang mana dia ditemani bapanya Leong Kok Beng, Whye Hung dikatakan tidak pernah ponteng kuliah di KTAR walaupun sehari.

“Setiap hari saya melihat dia keluar rumah menuju ke kolej untuk mengikuti kuliah. Saya fikir Whye Hung tentu bertekad mahu mengulangi kecemerlangan dalam akademik di KTAR,” kata bapanya, Kok Beng pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, Kok Beng menceritakan, semua rutin harian anaknya itu rupa-rupanya satu sandiwara semata-mata.

Katanya, lakonan Whye Hung, kini berusia 20 tahun, terbongkar pada hari dia sepatutnya menerima diploma pada konvokesyen KTAR 28 Julai lalu.
Pada hari itu, dia yang diiringi bapanya untuk mengambil diploma pada hari konvokesyen tiba-tiba menghilangkan diri sejurus memasuki dewan konvokesyen KTAR.

Kok Beng dari Taman Sri Rampai, Setapak di sini memberitahu, dalam kejadian 28 Julai lalu dia dan Whye Hung sama-sama menghadiri majlis konvokesyen di KTAR.

“Sejurus kami sampai, dia tiba-tiba hilang. Pada mulanya saya ingat dia ke tandas tapi saya mula risau apabila dia tidak kembali sejam kemudian,” katanya.

Setelah puas mencari, Kok Beng menyemak nama anaknya dalam senarai penerima diploma pada hari konvokesyen tersebut.

Pihak pentadbiran KTAR memaklumkan, Whye Hung sudah pun berhenti daripada pengajian ketika dalam semester dua pada Disember 2005.


Kok Beng berkata: “Selama ini setiap hari dia (Whye Hung) keluar rumah pukul 8 pagi dan berpakaian seolah-olah dia pergi ke kuliah.
“Saya hanya hantar dia ke kolej pada hari pendaftaran semester pertama. Selepas itu dia pergi ke kolej dengan rakan-rakannya.”

Sementara itu, Michael meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Whye Hung supaya segera menghubunginya di talian 03-2161 8044.
Laporan mengenai kehilangan pemuda itu telah pun dilaporkan di Balai Polis Wangsa Maju di sini. Sejak kehilangannya, Whye Hung tidak lagi dapat dihubungi melalui telefon bimbitnya.

No comments: