Saturday, August 18, 2007

Gejala Sosial Remaja Berpunca dari Pengaruh Luar

Oleh Mohd Nizam Sahad

GELAGAT, kelakuan, tatalaku remaja Melayu semakin hari semakin membimbangkan semua pihak. Pelbagai istilah baru yang negatif dipalitkan kepada remaja kita.

Kalau dulu istilah bohjan dan bohsia pernah kita dengar. Sekarang kita dengar pula istilah mat rempit dan minah rempit. Sudah tentu perlakuan terdahulu belum sempat diatasi, muncul pula gelagat baru. Remaja lelaki dan perempuan sama sahaja, masing-masing terlibat dalam aksi gila-gila remaja. Budaya Barat menjadi pilihan mereka. Hip-hop, punk, hippies, black metal, pink metal, one night stand, free sex adalah antara gaya hidup yang menjadi pilihan sebahagian remaja. Budaya Timur semakin dilupakan. Berpeleseran, merewang, melepak di malam minggu menjadi trend remaja.

Mat-mat rempit akan membonceng minah-minah rempit ke kota-kota besar. Remaja di peringkat awal pula berkayuh basikal beramai-ramai dalam keadaan yang membahayakan di jalan raya. Lebih berat lagi ada remaja yang sanggup meracuni badan dengan dadah termasuk syabu dan pil ekstasi. Merokok, bagaikan kebiasaan bagi mereka. Pelajar-pelajar sekolah tidak gentar lagi merokok di hadapan orang dewasa. Orang dewasa bagaikan tak kisah untuk menegur. Mungkin dalam hati berkata, bukannya anak aku.

Apakah punca berlakunya perangai gila-gila remaja ini? Secara umumnya, punca tersebut boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu punca luaran dan dalaman. Punca luaran kita boleh kaitkan dengan kesan globalisasi atau dunia tanpa sempadan. Pengaruh budaya kuning Barat melalui media massa tidak mampu kita sekat sepenuhnya. Ledakan maklumat begitu besar. Sebahagian maklumat yang disogokkan bersifat negatif dan meruntuhkan jati diri.

Dipetik dari Utusan Malaysia/150906

No comments: