Wednesday, August 16, 2006

Isu Belia: Buang Sekolah


7,000 pelajar dibuang sekolah


PUTRAJAYA 16 Ogos – Sejumlah 7,000 pelajar dibuang sekolah sementara kira-kira 15,000 yang lain digantung persekolahan pada tahun lepas kerana terlibat dalam pelbagai perbuatan salah laku termasuk ponteng, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar.

Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa situasi itu bertambah baik tahun ini.

“Pada tahun ini setakat hari ini saya tengok ada penurunan sebanyak lebih kurang separuh (daripada kedua-dua jumlah itu),” katanya kepada pemberita pada majlis Malam Anugerah Buku Teks 2006, di sini malam tadi.

Sehubungan itu, Noh mencadangkan supaya Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menganggotai Jawatankuasa Permuafakatan Menangani Masalah Salah Laku Pelajar di peringkat daerah masing-masing.

Beliau berkata, penglibatan mereka dalam jawatankuasa itu penting supaya dapat bekerjasama dengan pihak pegawai pelajaran dan polis menangani masalah pelajar ponteng sekolah.

Katanya, kerjasama daripada YDP perlu bagi mengawal serta mencegah pusat-pusat hiburan yang dilesenkannya dari dikunjungi pelajar.

“Masalah (mengenai pelajar) yang berlaku di luar (sekolah) misalnya ponteng tidak ada undang-undang yang boleh diambil tindakan kepada pelajar melainkan dia ponteng di pusat-pusat hiburan.

“Sebab itu kita nak kena bawa Yang Dipertua masuk (menganggotai Jawatankuasa Permuafakatan),” katanya.

Jawatankuasa Permuafakatan yang ditubuhkan di peringkat Pusat dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar.

No comments: