Saturday, August 18, 2007

Generasi muda usah pandang mudah isu sensitif

Oleh Rasid Rahaman,
Kata Saya,
Mingguan Malaysia


SEMALAM saya mengambil kesempatan membaca luahan perasaan Wee Meng Chee atau Namewee, 21, pelajar Universiti Ming Chuan di Taiwan menerusi blognya bertajuk ‘Hello, semua orang Melayu sila tengok sini’, Kepada Semua Pihak Media – menunjukkan kesilapan tentang laporan berita pihak media Metro. Menerusi luahan perasaannya itu, Wee dilihat cuba mempertahankan diri selepas ‘dibelasah’ akibat tindakan memperlekehkan negara, kerajaan, orang Melayu dan penganut agama Islam menerusi lagu Negarakuku yang digubah mengikut rentak rap dalam versi dialek Hokkien. Pelajar itu menyalahkan Harian Metro dengan mendakwa laporan akhbar itu mempunyai kesilapan serius. Pemberita akhbar itu dakwanya menggunakan cara yang agak subjektif ketika melaporkan berita itu sehingga menyebabkan masyarakat salah faham mengenai hasil karya yang diciptanya.Wee tidak bersetuju dengan dakwaan Harian Metro yang mengatakan lagu gubahannya itu menghina negara, bangsa, agama dan kerajaan tanpa memahami maksud tersirat lirik berkenaan. Dakwanya Harian Metro tidak menterjemahkan lirik Cina ke bahasa Melayu bagi memudahkan orang ramai memahami lirik berkenaan dan menilai maksud disampaikan sama ada ia menghina negara, bangsa, agama atau kerajaan.



Oleh itu, tuduhan dibuat ke atasnya tidak adil kerana orang Melayu tidak dapat memahami maksud sebenar hendak disampaikan, sebaliknya hanya mengetahui maksud lirik menerusi laporan akhbar. Wee menjelaskan dia mengubah lagu itu sempena Hari Kemerdekaan yang akan datang dan tidak berniat menghina negara tercinta – Malaysia. Bagi penulis, apa juga alasan diberi Wee, penjelasan yang dibuat itu turut memerangkap dirinya. Dia secara tidak langsung mengakui kesilapannya. Contohnya, biarpun idea kreatif menerusi lagu rap dapat menggalakkan anak muda mendengar muzik, tetapi tindakannya menggubah lagu rap berasaskan lagu kebangsaan, terutama menjelang sambutan kemerdekaan ke-50 negara adalah perbuatan biadab dan tidak mengenang budi. Tindakannya itu bukan saja mempersendakan tanah air, malah kedaulatan negara. Sepatutnya pelajar itu bangga menjadi warga negara dan sanggup mempertahankan bumi tercinta daripada propaganda asing. Ini tidak, dia seolah-oleh menyokong apa yang dilakukan orang asing kepada negaranya.


‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’. Itulah akibat apabila kita melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan kesannya. Selain itu, tahukah dia bahawa tindakannya mempersoalkan cara orang Islam melafazkan (membaca) al-Quran itu satu penghinaan dan mengguris hati orang Melayu. Siapa dia mempersoalkan sebahagian Muslim melafazkan al-Quran ‘out of tune’, ada pecah nada dan ada macam kokokan ayam? Siapa dia hendak menentukan tajwid dan idgham dan lain-lain lagi? Bagi penulis, sebagai seorang yang bukan beragama Islam, Wee tidak ada hak untuk mempersoalkan cara orang Islam membaca al-Quran.




Penulis juga berpendapat sama ada tindakan Wee ini mengapi-apikan masyarakat atau sebaliknya, yang pasti ia sudah menyentuh perasaan orang Melayu dan juga bangsa lain beragama Islam. Untuk makluman Wee, dia boleh memberi pelbagai alasan mempertahankan dirinya. Dia boleh kata Harian Metro salah lapor, dia boleh kata tujuannya untuk menunjukkan kebenaran dan pelbagai lagi, tetapi yang pasti nasi sudah menjadi bubur. Usahlah mempertahankan diri, akuilah kesilapan.Jadikan apa yang berlaku ini sebagai pengajaran berguna bukan saja untuk diri anda, malah anak muda lain di negara ini. Sebagai rakyat Malaysia, mereka hendaklah memahami dan arif meletakkan lagu kebangsaan sebagai lambang kemegahan negara. Mereka juga hendaklah sensitif dengan agama kaum lain, lebih-lebih kaum berkenaan banyak toleransi semata-mata mengekalkan perpaduan kaum di negara ini.

No comments: