Tuesday, August 28, 2007

Faktor Pembangunan Belia

Insecta

Oleh: Siti Fatihah Ghazali (105677)
Golongan belia merupakan ahli kepada masyarakat. Oleh itu, perkembangan dan pembangunan sahsiah belia ini banyak dipengaruhi oleh proses sosialisasi yang berlaku dalam masyarakat. Dalam proses sosialisasi ini terdapat empat agen yang memainkan peranan yang penting dalam pembentukan persekitaran masyarakat khususnya ke atas perkembangan dan pembangunan sahsiah golongan belia. Empat agen atau faktor tersebut adalah:


a) Faktor Institusi keluarga


Keluarga disifatkan sebagai agen sosialisasi yang paling rapat dengan setiap individu. Keluarga juga merupakan masyarakat kecil yang memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi dan kelakuan seseorang. Kita sedia maklum bahawa, lahirnya seorang bayi dimuka bumi ini akan disambut dengan wajah keriangan kedua ibu bapa. Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan kehidupan bayi berkenaan. Keluarga juga adalah pengaruh yang paling kuat dalam perkembangan dan pembentukan sahsiah golongan belia. Ini kerana bagi golongan belia ini ibu bapa adalah role model yang paling baik buat mereka. Suasana dan persekitaran keluarga yang aman dan harmoni akan melahirkan golongan belia yang sentiasa berfikiran positif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Didikan yang baik yang diperolehi dari rumah akan membentuk sahsiah diri yang baik kepada golongan belia ini di luar rumah. Meraka lebih peka dan bijak dalam memilih corak kehidupan di luar rumah kerana mereka berpegang teguh kepada asas dan nilai-nilai murni yang diamalkan dalam keluarga. Hal ini berlainan bagi golongan belia yang berasal daripada keluarga yang bermasalah akibat penceraian ibu bapa, suasana keluarga yang tidak aman kerana ibu bapa sering bertengkar dan kurangnya perhatian daripada ahli keluarga khususnya daripada ibu bapa. Golongan belia ini dikatakan cenderung untuk terlibat dengan gejala sosial yang akan membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral mereka. Secara tidak langsung keadaan ini akan membawa kepada perkembangan dan pembentukan sahsiah diri yang negatif terhadap golongan belia ini.


b) Faktor Institusi Pendidikan.


Kehidupan seorang belia tidak boleh lari dengan institusi pendidikan. Sejak kecil lagi institusi pendidikan seperti tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi tidak lagi asing bagi golongan belia. Oleh yang demikian, kita juga tidak boleh mengenepikan peranan institusi pendidikan ini dalam perkembangan dan pembentukan sahsiah diri belia kerana banyak masa dihabiskan oleh golongan belia ini di kawasan institusi pendidikan. Seperti suasana persekitaran di rumah, suasana dan persekitaran institusi pendidikan ini juga harus berada dalam keadaan yang selamat dan selesa untuk proses pembelajaran dan pengajaran. Golongan belia akan lebih berminat untuk menimba ilmu sekiranya kawasan persekitaran berada dalam keadaan yang harmoni. Kewibawaan para pendidik dan keprihatinan pekerja sokongan akan melahirkan golongan pelajar yang berketrampilan dan berwawasan. Namun begitu, bagi persekitaran institusi pendidikan yang tidak selamat dan selesa,akan menyebabkan golongan belia ini tidak berminat untuk belajar. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong golongan belia ini untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.


c) Faktor Rakan Sebaya


Konflik yang timbul di dalam diri golongan belia akibat daripada suasana keluarga yang tidak harmoni mendorong mereka mendekati rakan-rakan sebaya yang dianggap sebagai tempat rujukan dan boleh menghilangkan ketegangan. Keadaan akan bertambah buruk sekiranya ibu bapa tidak dapat memenuhi keperluan golongan belia ini apatah lagi sekiranya mereka ini sering diabaikan oleh kedua ibu bapa akibat daripada kesibukan masing-masing. Kerenggangan hubungan di antara ahli keluarga akan menyebabkan golongan belia ini lebih mempercayai rakan-rakan sebaya berbanding dengan kedua ibu bapa sendiri sebagai tempat untuk meluahkan masalah atau melepaskan tekanan. Kehidupan golongan belia yang banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan golongan belia ini begitu mudah terdedah dengan risiko-risiko yang dI luar jangkaan. Oleh yang demikian, rakan sebaya mempunyai rangsangan yang sangat kuat kepada perkembangan dan pembentukan sahsiah diri seorang belia. Doronganyang positif akan menghasilkan bentuk perlakuan dan peribadi yang baik manakala yang bersifat negatif akan mendorong golongan belia ini berkelakuan agresif sehingga ke tahap mampu melakukan jenayah.


d) Faktor Media Massa


Peranan media massa juga dianggap penting kepada perkembangan dan pembentukan sahsiah diri belia. Ini kerana saban hari masyarakat terdedah dengan medium-medium media massa seperti media cetak dan media elektronik. Lambakan bahan-bahan picisan seperti majalah hiburan yang tidak ditapis isi kandungannya membuatkan ramai golongan masyarakat khususnya golongan belia terdedah dengan budaya-budaya barat yang tidak sesuai dengan budaya orang timur. Tayangan video dan drama yang keterlaluan daripada negara luar hanya membawa kepada keruntuhan moral dikalangan golongan belia. Keadaan ini akan mendorong golongan belia ini memiliki tingkahlaku atau peribadi yang negatif. Namun begitu, tidak semua media massa ini memainkan peranan yang negatif terhadap masyarakat. Banyak sebenarnya tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh pihak media massa sebagai agen dalam proses sosialisasi khususnya dalam perkembangan dan pembentukan sahsiah diri belia. Bagi golongan belia yangcekap dan bijak merebut peluang, pastinya akan menggunakan medium-medium media massa ini untuk mengembangkan bakat dan potensi diri. Apa yang penting di sini,golongan belia itu sendiri harus bijak menggunakan segala medium media massa untuk kebaikan bersama. Tidak semestinya segala yang disogokkan oleh pihak media itu benar dan telus. Sebagai seorang belia yang rasional, baik buruk sesuatu perkara yang dibawa oleh pihak media harus diteliti terlebih dahulu agar tidak menimbulkan salah faham yang akan membawa kepada ketidakamanan Negara. Hal ini penting kerana golongan belia adalah tunggak kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah Negara. Oleh itu, perkembangan dan pembentukan sahsiah diri golongan belia ini juga harus bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan Negara.


Selain daripada keempat-empat faktor tersebut, antara faktor yang tidak kurang pentingnya dalam perkembangan dan pembentukan sahsiah diri belia ialah faktor agama. Pada pendapat saya secara peribadinya, seandainya pegangan seseorang belia itu kuat terhadap ajaran agamanya maka golongan belia tersebut akan mampu menangkis cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Ini kerana walau dalam apa jua keadaan sekalipun, seandainya seseorang belia itu tahu akan halal, haram dan dosa, pahala dalam agama maka dia akan sentiasa mengelakkan atau menjauhkan diri daripada kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral. Selagi seseorang belia itu menjadikan agama sebagai satu gaya hidup maka percayalah bahawa dia akan mampu membawa kehidupannya ke arah kejayaan. Hal ini berlaku kerana tidak ada agama di dunia ini yang menyuruh penganutnya melakukan kemungkaran dan kejahatan. Malah setiap agama menyuruh penganutnya sentiasa melakukan kebaikan untuk kesejahteraan bersama. Kepercayaan yang kuat kepadapegangan agama akan menjadi pendorong yang terbaik kepada seseorang belia. Ini kerana kita semua hanyalah insan biasa yang sempurna kejadiannya tetapi tidak sempurna tingkahlakunya. Ketidaksempurnaan tingkahlaku manusia inilah yang akan membawa golongan belia ini kembali kepada Pencipta. Apabila seseorang belia itu begitu positif dalam mempersepsikan kehidupannya, maka akan lahirlah golongan belia yang cemerlang sahsiahnya baik dari segi fizikal, mental, emosi mahupun rohani.


No comments: