Monday, August 27, 2007

Berhemah tangani ‘kepupusan’ lelaki cerdik

STATISTIK Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan pelajar lelaki peringkat ijazah sarjana muda pada tahun lalu di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanya 36 peratus iaitu 80,231 orang berbanding 143,737 pelajar perempuan.

Jika mengikut bidang pengajian juga ‘kepupusan’ pelajar lelaki juga jelas ketara. Baik jurusan sastera mahupun sains, jumlah pelajar lelaki masing-masing cuma sekitar 28 dan 31 peratus sahaja.

Berbeza keadaannya dengan aliran teknikal yang masih dikuasai oleh 61 peratus pelajar lelaki bagi peringkat pengajian yang sama.
Kekurangan pelajar lelaki berkait rapat dengan pencapaian akademik semasa peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). ‘Tiket’ pencapaian SPM itulah yang akan menentukan hala tuju pendidikan selepas itu sama ada meneruskan pengajian ke tingkatan 6, matrikulasi, diploma atau yang berorientasikan kemahiran.

Oleh itu, transisi antara selepas meninggalkan bangku persekolahan dengan keputusan untuk melanjutkan pengajian tinggi perlu diberi perhatian apabila kita membincangkan kemerosotan jumlah pelajar lelaki di IPTA.

Adakah tempoh pendidikan semasa di sekolah rendah mahupun peringkat menengah benar-benar berupaya menyediakan persekitaran belajar yang kondusif bagi pelajar lelaki untuk rajin belajar?

Adakah suasana sekolah yang mutakhir ini diperhatikan semakin bersifat feminin dengan ada yang mengalahkan taman bunga, sedikit sebanyak menyumbang kepada jauhnya minat pelajar lelaki mendekati sekolah?

Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang kreatif serta keadaan sekolah yang tidak terlalu kewanitaan penting bagi menyediakan persekitaran yang menggalakkan minat pelajar lelaki untuk selesa dan berminat dengan pelajaran.

Jumlah mahasiswi yang semakin jauh mengatasi mahasiswa kini bukan satu perkembangan mutlak untuk dibanggakan oleh pejuang ‘hak’ wanita.
Usaha mengurangkan jurang antara jantina dalam sektor pendidikan tinggi negara ini perlu difikirkan secara rasional dengan tidak terlalu mengikutkan ektremisme sentimen gender.

Ini kerana ketidakseimbangan pelajar yang dibiarkan hanya akan mengundang padah terhadap kestabilan masyarakat termasuk wanita pada jangka panjang.
Tidakkah kita terfikir bahawa salah satu punca masalah disiplin pelajar yang semakin membimbangkan kini ada kaitan dengan bilangan guru lelaki yang sedikit?

Adakah kita lupa bahawa telah banyak kajian psikologi menunjukkan wanita yang mengetuai sesebuah organisasi sering dipengaruhi oleh emosi memandangkan faktor fisiologi gender itu sendiri?

Sumbangan dan kebolehan kaum wanita memang tidak dinafikan namun biarlah tindakan dan maklum balas kita berhubung isu ini berlandaskan fitrah kejadian manusia.

Adalah keterlaluan atas alasan kekurangan pelajar lelaki dalam lapangan akademik maka sewenang-wenangnya lelaki direndahkan tarafnya sehingga dikatakan layak menjadi suri rumah.

Segala kekangan yang menjadi punca hilangnya minat pelajar lelaki untuk berada di sekolah apatah lagi menelaah pelajaran perlu ditangani.

– MOHD. ARIF ATAN
Universiti Malaya.
Rencana, Utusan Malaysia

No comments: