Saturday, August 11, 2007

Akhlak Rakyat Selepas 50 tahun



Oleh Johan Jaaffar dalam Di Luar Lingkaran, Berita Harian


DI TENGAH kita merayakan ulang tahun kemerdekaan tanah air yang ke-50, elok juga kita melihat hal-hal di luar daripada kerangka kejayaan ekonomi atau pembangunan. Jangan sampai tumpuan terlalu banyak diberikan pada kejayaan kita meletakkan Malaysia sebagai negara industri dan perdagangan. Memang tidak dapat dinafikan bukti daripada kejayaan ekonomi itu – bangunan pencakar langit, prasarana Dunia Pertama, kemewahan rakyat, kesesakan lalu lintas dan macam-macam lagi. Semua ini menunjukkan bagaimana pemimpin kita meletakkan landasan yang kukuh untuk negara. Malah sasaran kita untuk menjadikan Malaysia negara maju pada 2020 nampaknya bukan lagi impian pada siang hari.


Globalisasi sedang melanda kita. Dunia semakin hilang sempadannya. Dasar langit terbuka yang kita amalkan mengundang pelbagai ancaman. Anak-anak kita terdedah kepada pelbagai cabaran baru – termasuk budaya asing yang boleh menjajah minda. Internet menjadi sungai besar yang mengalirkan sekian banyak kebaikan tetapi juga berisi kotoran dan najis. Hari ini, maklumat dan ilmu datang tanpa tapisan. Kita tidak ada pilihan melainkan mengikut tarian baru perubahan dalam dunia hari ini ekoran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Semua itu mulai menjejaskan cara kita berhubungan, berinteraksi, berkeluarga dan bermasyarakat, malah bernegara. Apa yang baiknya ialah semua ini adalah petanda kemajuan, yang buruknya ialah ia menjadi punca pada banyak masalah yang membabitkan, nilai, budaya, cara hidup dan lebih penting lagi kepercayaan beragama kita.


Saya ingin membawa perhatian pada satu aspek yang amat kurang dibincangkan apabila kita bercakap mengenai perayaan kemerdekaan – soal akhlak dan budi bahasa. Menurut Kamus Dewan, akhlak bermaksud budi pekerti, kelakuan (tingkah laku) manusia. Akhlak tentunya ada kaitannya dengan adab -yang menyentuh juga soal yang membabitkan tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa dan budi pekerti yang baik. Kunci katanya ialah kesopanan. Dalam kaitan yang sama, perkataan ‘budi’ dalam bahasa Melayu mempunyai makna yang cukup luas. Menurut Kamus Dewan lagi, budi ada kaitannya dengan akal, kebijaksanaan; perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan watak; sifat baik, perbuatan baik, kebajikan serta bicara dan daya upaya. Dalam konteks budaya Melayu ‘berbudi’ bukan saja dikaitkan dengan perlakuan baik hati dan pemurah, tetapi juga seseorang itu harus berakal dan bijaksana. Maka itu makna beradab dikaitkan dengan budi bahasa dan keadaan di mana telah maju tingkat kehidupan (jasmani dan rohani) serta bertamadun. Dalam cakerawala minda dan budaya Melayu, akhlak tidak berdiri hanya sebagai nilai yang menunjukkan kesantunan atau budi pekerti, tetapi juga lambang ketamadunan. Ertinya akhlak dan adab sopan ialah ciri penting sebuah tamadun. Mungkin ada alasannya mengapa tema ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sewaktu membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan tahun lalu ialah ‘Membina Tamadun Menjulang Martabat Bangsa.’ Dan ada tujuannya mengapa Teras Kedua rancangan itu menyebutkan mengenai penekanan pada ‘usaha untuk memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.’ Dalam ucapan itu beliau menyentuh mengenai perlunya rakyat berminda kelas pertama yang bermaksud mereka berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral.


Masyarakat itu harus tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan agama. Kata beliau lagi, “identiti nasionalnya kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi.” Tidak cukup dengan itu, penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) bertujuan memberikan penekanan pada soal memperkukuh budaya integriti dalam masyarakat. Benih integriti harus dicambah kerana masyarakat berintegriti tidak lahir dari awang-awangan. Untuk melahirkan masyarakat yang berintegriti, terasnya ialah pada keluarga. Untuk menyedarkan makna integriti dalam masyarakat, asasnya ialah nilai yang harus tertanam pada peringkat paling rendah – peranan institusi keluarga, sekolah dan persekitaran.


Anak-anak kita ibarat buluh yang harus dilenturkan dengan betul. Ada pendapat yang menyatakan akhlak patut dijadikan mata pelajaran wajib seperti dilakukan dalam sistem sekolah agama Johor. Sejak Tahun Satu lagi telah diajarkan mata pelajaran Akhlak. Akhlak salah satu daripada empat mata pelajaran utama pada peringkat itu – yang lain ialah Tauhid, Ibadat dan Pendidikan al-Quran. Secara mudah pelajar didedahkan pada konsep kerja dan disiplin dalam Islam, makna ketaatan kepada Allah dan Rasul, serta ketaatan pada ibu bapa. Ada pendapat lain yang mengatakan mata pelajaran Moral harus diajarkan pada semua. Kita dapat melihat di sekeliling kita bagaimana kesan daripada kemajuan, globalisasi dan teknologi telah mengubah nilai dalam masyarakat kita. Mahu tidak mahu kita harus mengakui bahawa kita berdepan dengan ‘backlash’ daripada kejayaan kita sendiri.


Perihal wujudnya pelbagai bentuk masalah sosial dalam masyarakat hari ini sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai negatif yang mula melanda. Lihatlah bagaimana amalan dan cara hidup zaman berzaman mula terjejas hari ini. Orang tidak lagi menghormati satu sama lain. Perhatikanlah cara kita memandu, bagaimana kita menghargai orang tua dan cara kita menghormati saudara mara. Naiklah LRT untuk melihat budi bahasa yang diperagakan. Kita boleh melihat dengan jelas lunturnya amalan budi bahasa di kalangan rakyat kita. Ada yang mengatakan semua ini korban daripada cara hidup yang begitu mencabar. Mungkin juga tumpuan terlalu banyak pada aspek kebendaan menjadikan kita lupa daratan. Kita mulai meletakkan kayu ukur kejayaan hanya pada taraf kemewahan. Maka itu kita tidak lagi menjunjung nilai murni yang mencorakkan budaya dan citra bangsa kita.


Kita kadangkala lupa bahawa ‘adat Timur’ atau ‘budaya Timur’ itu tidak terbina dalam seratus tahun, tetapi ribuan tahun. Budaya ini meletakkan rasa hormat dan budi bahasa pada kedudukan paling tinggi. Budaya ini memuliakan adat, menghormati orang tua, menyanjung kebijaksanaan dan lebih penting lagi dicorakkan oleh pegangan agama yang kuat. Mungkin bagi sesetengah orang, semua itu amalan lapuk yang tidak relevan lagi.


Adab sopan tidak ada nilai ekonominya. Senyum dan tunduk hormat budaya kuno yang melambangkan kelemahan. Ada pula yang menasihatkan, kita harus biadab untuk berjaya. Menghormati orang lain akan hanya menjadikan kita berjiwa kecil dan lemah. Untuk menjadi sebahagian keluarga global, kita diajak untuk menjadi lancang, biadab dan berani. Soal akhlak dan budi bahasa ini menjadi ancaman paling besar pada kerukunan dan harmoni di kalangan rakyat. Maka itu amat wajar Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa) melancarkan Kempen Budi Bahasa. Sekurang-kurangnya dengan manifestasi contoh budi bahasa yang baik dan kebiadaban yang jelas, maka rakyat mulai mengerti bahawa dalam mengejar kejayaan ada hukum-hakam bermasyarakat dan bernegara yang tidak kurang pentingnya – akhlak yang baik.


Tidak ada gunanya kita berjaya dalam pelbagai bidang atau mendabik dada bahawa kita maju dan hebat kalau rakyat kita biadab dan tidak berbudi bahasa. Kita sering mengatakan Barat menghadapi krisis nilai yang dahsyat. Kadangkala kita lupa peribahasa ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih.’ Ada kalanya tingkah laku kita lebih buruk daripada mereka yang di Barat. Jikalau kita melihat apa yang berlaku di tengah masyarakat hari ini, nampaknya petanda krisis moral, kerosakan nilai dan keruntuhan akhlak sudah mencapai tahap yang merunsingkan.


Inilah kesempatan yang terbaik untuk menanyakan komitmen kita dalam menentukan hala tuju negara kita – apakah kita mahu berjaya dengan apa cara sekalipun waima menjadikan rakyat kita rendah akhlak dan moral? Renunglah sebagai azimat perayaan kemerdekaan.


12 Julai 2007

No comments: