Saturday, August 11, 2007

Mohd Na'im Mokhtar


Mohd. Na’im Hakim Mahkamah Syariah pertama peroleh PhD

Oleh: FERZALFIE FAUZI dalam Utusan Malaysia


BANGI 11 Ogos – Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, (gambar) 39, menjadi Hakim Mahkamah Syariah pertama mempunyai kelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) apabila menerima ijazah itu hari ini.


Beliau yang menerima ijazah itu pada konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-35 di sini hari ini berharap kejayaan tersebut dapat mendorong semua hakim meningkatkan tahap penguasaan mereka dalam bidang akademik.


‘‘Saya berasa sungguh gembira dengan penerimaan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Islam ini kerana penat lelah saya selama tiga tahun menemui kejayaan,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Menurut beliau, kerajinan dan kesungguhan bagi mencapai matlamat yang dihajati merupakan kunci utama kejayaannya.


“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa saya kerana berkat doa dan restu mereka, perjuangan saya dalam bidang akademik berhasil.


“Doa mereka menjadi bekalan kepada saya untuk belajar dengan lebih tekun dan berusaha dengan lebih gigih untuk tidak menghampakan harapan mereka,’’ katanya.


Mohd. Na’im yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, beliau juga banyak berbincang dan bertukar-tukar pendapat dengan isteri, Nik Roslini Raja Ismail, 34, dalam menyiapkan kajiannya.


Anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur itu merupakan bekas pensyarah Fakulti Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1990 hingga 1997 dan pernah menjadi peguam sivil di firma guaman Zulkifli, Yong, Azmi & Co. pada 1998.


Kariernya sebagai Hakim Mahkamah Syariah bermula pada 1998 di Mahkamah Syariah Petaling Jaya sebelum ditukar ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 2001 hingga sekarang.


Beliau juga mempunyai tugasan sambilan antaranya Penasihat Syariah CIMB Islamic Bank, Ahli Panel Perunding Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pensyarah jemputan di UKM dan UIAM.

No comments: