Wednesday, August 29, 2007

Suara Belia: Faktor Pembangunan Belia

Oleh Wan Muhamad Bin Wan Junoh (A109986).


Perkembangan sahsiah merupakan satu proses yang berlaku ke atas diri dan jiwa seseorang individu. Perkembangan tersebut merangkumi konsep tingkahlaku, serta pemikiran. Perkembangan dan pembangunan ini di pengaruhi oleh pelbagai faktor. Antara faktor yang memainkan peranan penting adalah faktor persekitaran dan juga pembentukan diri oleh individu itu sendiri.

Keadaan persekitaran yang dikatakan boleh mempengaruhi perkembangan sahsiah ialah, faktor rakan sebaya. Di sini boleh kita lihat, individu pada peringkat tersebut sangat mementingkan perhubungan dengan rakan sebaya. Keadaan ini sebenarnya sangat mempengaruhi perkembangan sahsiah remaja itu sendiri. Bagi mengekalkan atau bergaul dengan kelompok rakan sebaya, remaja yang berada dalam proses pembentukan sahsiah ini akan terpengaruh dengan tingkahlaku rakan sebaya. Kebanyakkan tingkahlaku akan diikuti tanpa dipersoalkan di sebalik kandungan perbuatan itu sama ada positif atau negatif.
Seterusnya, tahap penerapan nilai moral dalam diri seseorang remaja atau belia juga memberikan pengaruh yang besar terhadap proses pembangunan sahsiah. Ini kerana, pengetahuan asas tentang nilai adalah merupakan satu pegangan yang kuat dalam menghadapi segala pengaruh yang cuba mempengaruhi seseorang individu tersebut. Melalui ilmu pengetahuan serta pegangan yang kuat, segala pengaruh dari persekitaran dapat ditapis serta segala bentuk perkara yang cuba mempengaruhi diri akan dinilai dengan nilai baik dan buruk. Perkara yang baik akan dijadikan tauladan, manakala perkara buruk dijadikan sempadan.

Selain itu juga, pengaruh dari bentuk proses globalisasi yang melanda dunia pada hari ini telah banyak merubah proses perkembangan sahsiah belia. Ini dapat dilihat secara langsung dan tidak langsung. Pemantapan jarak, masa dan ruang serta inovasi dalam pemikiran hari ini telah memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sahsiah diri belia. Pendedahan tanpa penapisan yang sewajarnya telah menyebabkan pengaruh yang kuat terhadap diri belia. Ini kerana, pada waktu pertumbuhan remaja, golongan ini sangat mudah dipengaruhi oleh pelbagai perkara termasuk perkara negatif dan juga positif. Keadaan ini juga boleh dilihat dari segi perkembangan dalam bidang teknologi dan perdagangan. Perkembangan dalam bidang ini telah menyebabkan segara perkara akan sampai kepada minda remaja atau belia hari ini. Jika ia tidak dipantau dengan baik, minda mereka akan dipengaruhi dan seterusnya mempengaruhi perkembangan sahsiah golongan tersebut.
Keseluruhan idea yang dikemukakan adalah sangat memberi kesan ke atas pengaruh perkembangan sahsiah belia. Oleh itu, jika dibiarkan tanpa pengawasan, perkembangan sahsiah belia tidak akan sempurna dan seterusnya akan membawa masalah kepada diri mereka serta terus membawa masalah kepada masyarakat dan negara.

No comments: