Tuesday, July 31, 2007

Pemulihan Atasi Hukuman


Oleh FARAH NINI DUSUKI, Utusan Malaysia, 30 Julai 2007


PADA Rabu lalu, Mahkamah Rayuan telah membebaskan seorang kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun di atas kesalahan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada 2002 sewaktu beliau sendiri berusia 12 tahun 9 bulan.


Secara ringkas, mahkamah berpendapat bahawa walaupun kesalahannya sah terbukti tetapi penahanannya di Penjara Kajang sejak 2002 di bawah perkenan raja adalah tidak sah kerana bertentangan dengan prinsip pemisahan bidang kuasa di antara institusi eksekutif dan kehakiman.


Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 merupakan peruntukan yang dimaksudkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas mewujudkan pemisahan bidang kuasa tersebut. Walaupun Mahkamah Rayuan merasakan bahawa tidak adil melepaskan kanak-kanak itu begitu sahaja seolah-olah memaafkan beliau di atas kesalahan membunuh, namun pihak mahkamah tidak mempunyai pilihan lain lalu memerintahkan kanak-kanak itu dibebaskan sambil menyarankan bahawa Seksyen 97(2) perlu dipinda serta-merta bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa hadapan.


Pelbagai reaksi timbul daripada kes ini. Pihak Peguam Negara bertegas mahu merayu ke peringkat tertinggi menyangkal keputusan ini manakala pihak pembela walaupun gembira dengan pembebasan anak guamnya tetap mengatakan bahawa Seksyen 97(2) perlu dipinda serta-merta dan ini disokong oleh menteri berkenaan.


Kes ini adalah yang pertama diputuskan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 semenjak ia diwartakan bagi pelaksanaan pada 1 Ogos 2002. Kanak-kanak ditakrifkan sebagai sesiapa yang berusia di bawah 18 tahun. Sebelum ini, sebarang kes melibatkan kanak-kanak sebagai pesalah akan diputuskan di bawah Akta Mahkamah Juvana 1947 yang secara automatiknya termansuh dengan pelaksanaan Akta Kanak-Kanak 2001.


Di bawah Akta 1947, sekiranya seorang kanak-kanak didapati bersalah di atas sebarang kesalahan yang membawa hukuman mati, beliau tidak boleh dihukum dengan hukuman mati yang lazim dipakai kepada pesalah dewasa. Sebaliknya, beliau mesti ditahan selama perkenan raja.


Perbezaan antara peruntukan lama di bawah Akta 1947 dan yang baru di bawah Akta 2001 adalah penambahan frasa “di penjara” selepas frasa “ditahan”. Ini menyebabkan kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun 9 bulan sewaktu kejadian itu dihantar ke Penjara Kajang dan bukannya ke Sekolah Tunas Bakti atau Sekolah Henry Gurney seperti mana sebelum Akta 2001 dilaksanakan kerana pihak pendakwa raya berhujah dan diterima oleh Mahkamah Tinggi bahawa perkataan ‘penjara’ membawa maksud penjara dalam erti kata sebenarnya dan bukan institusi pemulihan.


Malang bagi kanak-kanak tersebut kerana walaupun dia dipisahkan daripada pesalah-pesalah dewasa dengan diletakkan di dalam penjara berasingan mengikut tahap umur (bawah 18 / 18 -21 tahun / 21 tahun ke atas) tetapi hakikatnya ia masih sebuah penjara yang menekankan ciri-ciri asas sebuah tempat penahanan untuk menghukum dan bukan untuk memulih.


Perjumpaan mingguan dengan keluarganya pun terbatas kepada perbualan singkat melalui telefon di sebalik cermin kaca penjara. Suasana juga agak sunyi kerana tiada rakan-rakan sebaya sehinggalah kemasukan lapan orang kanak-kanak pada 2004 yang dihukum di atas kesalahan membunuh arwah Muhammad Farid di sebuah sekolah agama di Seremban sewaktu usia mereka lebih kurang 17 tahun.


Persoalan utama yang timbul daripada peristiwa ini adalah benarkah peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 tidak sah seperti yang diputuskan dan jika benar, apakah resolusi yang terbaik yang dapat diguna pakai bagi kes-kes seumpama ini agar keadilan tercapai bagi kedua-dua pihak, pesalah dan mangsa jenayah?


Peruntukan yang menetapkan hukuman gantian kepada pesalah kanak-kanak yang disabitkan di atas kesalahan yang membawa hukuman mati (bunuh adalah yang paling biasa tetapi ia termasuk juga kesalahan seperti mengedar dadah dan yang berkaitan dengan senjata api) agar kanak-kanak tersebut ditahan di bawah perkenan raja (bergantung kepada di mana kesalahan itu berlaku. Bagi negeri-negeri di bawah pemerintahan sultan maka sultanlah yang mempunyai mandat tersebut dan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan pula kuasa terletak pada Yang di-Pertuan Agong).


Dari segi praktikalnya, raja akan membuat keputusan berdasarkan nasihat oleh Lembaga Pengampun yang berkewajipan memantau perkembangan kanak-kanak yang ditahan itu. Dari segi perundangannya, hukuman di bawah perkenan raja itu dipandang sebagai suatu hukuman alternatif yang bersifat indeterminate atau ‘ketidaktentuan’ mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan dan pada waktu yang sama tidak menghukum kanak-kanak seperti seorang dewasa kerana mengambil kira juga ketidakmatangan akal fikirannya.


Keadilan
Hukuman bersifat indeterminate ini sebenarnya tidak juga menyokong prinsip keadilan terhadap kanak-kanak secara mutlak kerana ia bersifat tidak nyata dan meletakkan seseorang itu dalam keadaan yang tidak ketentuan tentang arah tuju dan matlamat hidupnya. Oleh kerana itulah Perkara 37 dan 40 Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak secara nyata melarang sebarang bentuk hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah dan hukuman mati termasuk tempoh ketidaktentuan penahanan bagi pesalah kanak-kanak.


Konvensyen ini telah ditandatangani Malaysia sejak tahun 1995 dan pada 25 Januari 2007 yang lalu Malaysia telah menyerahkan laporan pertama mengenai tahap perlaksanaan kepada perkara-perkara di bawah konvensyen tersebut. Setakat ini Malaysia masih mengekalkan reservasi terhadap Perkara 37 atas dasar Malaysia masih mempunyai undang-undang yang tidak selaras dengan inti pati perkara tersebut.


Bagaimanapun Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Konvensyen Hak Kanak-Kanak telah menyarankan bahawa langkah-langkah yang sesuai patut diambil bagi mengetepikan reservasi-reservasi yang dibuat supaya kebajikan kanak-kanak terlibat akan lebih terpelihara.


Sifat ketidaktentuan ini dirangka bagi membolehkan sebarang kemajuan sikap dan perangai pesalah dinilaikan mengikut jumlah waktu tahanan yang sesuai. Penilaian semula secara berkala perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi menilai perkembangan pesalah bagi menentukan tempoh penahanan.


Status ketidaktentuan dalam tahanan ini kemudiannya dikembangkan dengan memperkenalkan satu tempoh tarif minimum yang akan ditentukan pada peringkat awal lagi. Ia menekankan keperluan untuk penghukuman, cegah rintang dan pembalasan, dengan tidak mengambil kira perkembangan kanak-kanak tersebut.


Jangka waktu itu diikuti suatu tempoh dipanggil tempoh pascatarif di mana penilaian secara berkala mula dibuat bagi menentukan sama ada pesalah masih berkeupayaan untuk menjadi ancaman kepada masyarakat. Jangka masa bagi kedua-dua tempoh tarif ini ditentukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan bukannya mahkamah mahupun Badan Pengampun.


Sehingga ke hari ini terdapat pelbagai perkembangan dan pembaharuan yang telah dilaksanakan di England dan Wales dalam aspek penghukuman sebegini.
Jika dinilai Seksyen 97(2) secara halus berkemungkinan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan adalah benar, iaitu memang terdapat pertindihan bidang kuasa antara institusi kehakiman dan eksekutif apabila mahkamah diberi kuasa untuk menghukum seseorang pesalah kanak-kanak di atas kesalahannya namun demikian tempoh tahanannya terletak di bawah perkenan raja.


Jika dinilai dari segi semangat peruntukan itu diwujudkan, yakni memberi kuasa penilaian berkala yang pada hakikatnya dijalankan oleh mereka yang arif dalam hal tersebut sebelum dipersembahkan kepada raja untuk pengesahan mungkin pertindihan bidang kuasa tersebut ada justifikasinya. Atas dasar inilah maka di kebanyakan negara lain yang mempunyai peruntukan yang sama, pertindihan bidang kuasa tersebut tidak dipersoalkan kecuali di Jamaica.


Jika kita mahu menuruti langkah Jamaica maka peruntukan tersebut perlu dipinda bagi menggantikan frasa “atas perkenan raja” kepada “atas budi bicara mahkamah”. Walaupun begitu persoalan lain mungkin timbul iaitu mampukah mahkamah, terutamanya dari segi masa dan kepakaran dalam aspek psikologi dan psikiatri kanak-kanak mengambil alih tanggungjawab membuat penilaian ini?


Dalam membahas kes-kes melibatkan pembunuh kanak-kanak, kita tidak menafikan keperluan bagi menegakkan hak keluarga mangsa yang menginginkan pembalasan sewajarnya di atas jenayah yang telah dilakukan. Ibu kepada mangsa pembunuhan dalam kes ini yang mengeluh betapa tidak adilnya kanak-kanak 17 tahun itu lepas bebas begitu sahaja manakala dia kehilangan seorang anak perempuan.


Begitu juga keluarga arwah Muhammad Farid yang meninggal dunia akibat ‘penderaan’ oleh lapan orang pelajar sekolah agama lebih kurang empat tahun yang lalu. Persoalan yang harus dirungkai ialah dalam keinginan kita untuk melihat keadilan di mana yang bersalah itu mesti dihukum, apakah manfaatnya sekiranya hukuman yang diberi tidak langsung berpaksikan prinsip-prinsip pemulihan dan reformasi, dua prinsip asas yang termaktub dalam penghukuman pesalah kanak-kanak?


Walaupun dua nyawa muda telah tergadai begitu sahaja, wajarkah kita menggadai sembilan lagi nyawa muda yang masih ada hanya kerana ingin menghukum?


Jenayah secara amnya boleh diklasifikasikan kepada dua jenis dari sudut niat melakukannya. Satu dikatakan ‘crime of passion’ di mana ia berlaku tanpa dirancang lebih awal manakala sejenis lagi adalah ‘premeditated crime’ yakni jenayah terancang seperti kes-kes samun lazimnya. Kes-kes melibatkan kanak-kanak sebagai pembunuh lazimnya berlaku dalam situasi yang pertama iaitu tanpa perancangan teliti dan berlaku atas desakan keadaan pada waktu itu.


Walaupun ini tidak menghalalkan perbuatan jenayah tersebut tetapi situasi ini patut diambil kira dengan teliti, terutama sekali apabila pelakunya, dari segi undang-undang tidak mempunyai kematangan akal yang secukupnya untuk mengawal tindakannya. Di atas dasar inilah maka undang-undang patut menilai keadaan ini dari sudut yang berbeza daripada biasa.


Ketidakwajaran


Justeru Konvensyen Hak Kanak-Kanak menekankan tentang ketidakwajaran kanak-kanak dikenakan hukuman yang keras tanpa mengambil nilai ketidakupayaan mentalnya untuk bertindak dengan kewarasan yang sama dengan golongan dewasa.


Oleh itu sebarang hukuman yang dikenakan patut menekankan aspek-aspek pemulihan dan reformasi, seperti pendekatan Sekolah Henry Gurney contohnya di mana pesalah kanak-kanak, walaupun dikurung seperti di penjara tetapi masih diberikan kemudahan pembelajaran formal dan tidak formal dan juga pengisian kerohanian bagi memulihkan semangat mereka yang sudah tercalar dan tercemar dek kesalahan yang dilakukan dan hukuman yang dijatuhkan.


Sudah sampai masanya undang-undang juga, selain menetapkan hukuman yang khusus, ia perlu menekankan juga aspek pemulihan secara khusus seperti mewajibkan rawatan psikologi dan kaunseling yang berterusan agar kanak-kanak ini apabila keluar kelak tidak akan terdorong untuk melakukan jenayah lagi. Setakat ini tidak diperuntukkan dalam mana-mana akta tentang perintah menjalankan rawatan tersebut sedangkan banyak kajian membuktikan bahawa dengan rawatan yang berkesan, penjenayah-penjenayah dapat berubah sikap dan laku, apatah lagi sekiranya mereka masih kanak-kanak.


Sebagai contoh, walaupun dengan kemudahan pembelajaran minimum di penjara, beberapa orang pesalah muda di dalam kes pembunuhan Muhammad Farid telah memperoleh keputusan SPM yang memuaskan dan sekarang mereka sedang sibuk membuat persediaan untuk peperiksaan STPM pula di dalam penjara. Persoalannya, dengan potensi yang mereka ada, wajarkah mereka ditempatkan bersama-sama pesalah jenayah tegar apabila umur mereka mencapai 21 tahun tidak lama lagi sedangkan mereka berpotensi untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna sekiranya nilai-nilai positif dalam diri mereka terus dipupuk dan dibimbing?


Kesimpulannya, jika Akta Kanak-Kanak 2001 akan dipinda dalam jangka masa terdekat, adalah diharapkan penekanan terhadap aspek-aspek pemulihan dan reformasi pesalah-pesalah muda turut diambil kira seperti mana kata-kata pendahuluan di dalam akta yang sama yang memperakui bahawa perlindungan kepada semua golongan kanak-kanak adalah wajar diberikan oleh golongan dewasa mengambil kira ketidakmatangan akal fikiran dan fizikal mereka sebagai kanak-kanak.


* FARAH NINI DUSUKI ialah Timbalan Presiden, Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia.

No comments: