Kita mengakui bahawa krisis sosial membabitkan golongan belia/remaja memang wujud di negara ini dan kita sepatutnya perlu memandang masalah ini secara lebih serius lagi, dengan menjadikan program menangani isu ini sebagai agenda utama negara, seperti mana halnya dengan penumpuan khusus yang telah dilakukan untuk membangunkan semula sektor ekonomi negara yang terjejas teruk akibat daripada krisis kewangan tahun 1998 dahulu. Apa yang jelasnya, bersesuaian dengan gagasan pembangunan ala- Malaysia yang lebih mampan dan seimbang di antara elemen fizikal dan spiritual, bertentangan dengan konsep pembangunan ala- Barat, kita tidak boleh menganggap isu ini sebagai masalah kecil, berasaskan kepada dua asas yang utama; pertamanya, masalah ini timbul membabitkan golongan remaja yang merupakan penduduk terbesar di Malaysia dan dapat dikatakan sebagai pelapis yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara suatu masa nanti.
Keduanya, kegagalan membangunkan potensi golongan remaja ini bakal menjejaskan program pembangunan yang telah dijalankan, seperti halnya banyak wang negara yang terpaksa digunakan untuk memulihkan kalangan penagih dadah dan penghidap penyakit HIV/AIDS. Islam memandang semua pihak merangkumi pihak kerajaan, NGO, ibu bapa dan pelbagai pihak perlu bertanggungjawab dan bekerjasama bagi mengatasi perkara ini sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksudnya:
"Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan setiap apa yang kamu pimpin."(Riwayat at-Tirmizi)
ARUS KEHIDUPAN MASA KINI
Sejak kebelakangan ini, kita merasa gembira melihat semakin banyak program-program yang diadakan termasuklah oleh pihak berkuasa dan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan belia. Ia mencerminkan satu perkembangan yang positif dalam masyarakat kita yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah sosial. Ia juga memberikan isyarat yang jelas bahawa belia kita prihatin terhadap melengkapkan diri mereka dengan maklumat dan perkembangan semasa bagi memahami kedudukan dan keperluan masyarakat.
Dalam era persejagatan yang penuh cabaran ini, masyarakat Islam terutamanya golongan muda, terdedah kepada pelbagai unsur samada positif mahupun negatif. Ini mencabar keupayaan mereka membuat keputusan dan memilih jaluran kehidupan yang elok dilalui. Pada kita, jelas sekali anasir-anasir negatif bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah tidak sesuai dengan tata susila dan peradaban kita sebagai orang Timur. Oleh itu tidak salah seandainya kita merasa bimbang apabila golongan belia kita leka dan terikut-ikut dengan arus kehidupan yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Ini memandangkan sekiranya iman dan jati diri mereka kurang mantap, besar kemungkinan mereka akan hanyut bersama gelombang budaya kurang sihat.
Bersesuaian dengan teori yang mengatakan sesuatu masyarakat pasti akan terpengaruh dengan difusi budaya luar, teori ini dapat dianggap sebagai cukup relevan untuk konteks era globalisasi pada masa sekarang, yang menyaksikan bagaimana difusi pengaruh negatif daripada luar dapat dikesan dengan cukup meluas berkembang di dalam masyarakat Malaysia. Merujuk khusus kepada kalangan remaja yang dikatakan belum mempunyai kematangan diri dan emosi, beberapa kajian semasa telah menunjukkan golongan remaja Melayu ini mudah dipengaruhi dengan elemen budaya kuning yang dibawakan oleh arus
globalisasi. Hasil penelitian yang dibuat terhadap dapatan kajian semasa yang mempunyai kaitan langsung dengan perkembangan personaliti masyarakat Melayu, kita akan mendapati beberapa perkara sebagai berikut;
i Sebahagian masyarakat Melayu moden telah dikesan menghidap penyakit psikologi yang agak kronik, penyakit gelisah dan hilang pertimbangan akal yang kemudiannya telah menyebabkan berlaku pelbagai tindakan buruk seperti bunuh diri, menagih dadah dan arak, murtad, bohsia dan mengamalkan "free-sex". Kajian ini mendapati punca utama penyakit gelisah ini berlaku adalah akibat daripada kurang iman dan tidak menuruti kehendak agama.
ii Golongan remaja Melayu yang menjadi pengguna terbesar internet (cyber cafe) didapati menggunakan saluran internet bukannya untuk tujuan pendidikan, tetapi sebagai sumber untuk mendapatkan hiburan yang lebih bebas tanpa kongkongan keluarga, yang berupa permainan video games, pornografi, berkenalan (chit-chat) dan mengisi masa lapang dengan kegiatan yang tidak berfaedah.
iii Kajian yang mendapati bahawa ikatan dan fungsi keluarga Melayu moden sebagai penjaga dan pendidik emosi anak-anak telah mula terhakis yang kemudiannya menyebabkan pelbagai masalah sosial remaja yang cukup kronik. Berikutan dengan faktor asas ini, golongan remaja Melayu lebih terpengaruh dengan budaya di luar keluarga seperti media massa dan rakan sebaya. Akibatnya mereka lebih mudah terjerumus dengan hiburan yang mementingkan keseronokan yang melampaui batas, sensasi, glamour dan sindrom kurang daya tahan iman. Manakala pengaruh rakan sebaya pula menyebabkan mereka terlibat dengan budaya melepak dan pelbagai masalah sosial lain seperti ketagihan dadah, arak, berjudi, menonton video lucah, "free-sex", dijangkiti penyakit AIDS dan banyak lagi masalah lain.
iv Kajian yang mendapati bagaimana tabiat pembacaan remaja Melayu yang lemah, di mana mereka lebih mengutamakan bahan bacaan yang tidak membina minda dan daya intelektual, merangkumi hiburan, jenaka, sukan dan bahan lucah. Pendek kata, mereka telah terjerumus ke dalam budaya yang cukup meruncing akibat dari ketiadaan budaya ilmu yang sihat.
Dilihat kepada semua paparan yang telah diberikan ini, secara terang-terangan remaja Melayu telah dilanda dengan krisis sosial yang cukup meruncing membabitkan semua aspek yang terpenting (aspek kognitif, afektif dan psikomotor) di dalam pembentukan jiwa seseorang remaja Islam. Hal ini boleh dilihat dengan lemahnya pegangan iman, hilangnya pengaruh ibu-bapa, ketergantungan mereka kepada pengaruh rakan sebaya yang tidak mampu berfikir dengan waras dan terpaksa hidup di dalam suasana masyarakat yang penuh dengan budaya mungkar.
SIKAP KITA UNTUK MENANGANI MASALAH SOSIAL REMAJA
Pada dasarnya, berasaskan kepada pengamatan semasa, terdapat beberapa pendekatan yang telah diambil oleh kalangan masyarakat untuk menghadapi isu krisis sosial remaja ini. Antaranya, ialah sikap dan paradigma ala-intelektual yang mengabungkan pelbagai pendekatan yang utama. Sikap ini selaras dengan kehendak Islam, iaitu;
i Sikap prihatin dan menganggap masalah ini sebagai tanggungjawab bersama bagi semua lapisan masyarakat, memandangkan golongan remaja boleh dianggap sebagai masa depan sesebuah masyarakat.
ii Mementingkan pendekatan yang mencari punca dan mencadangkan jalan penyelesaian masalah secara mikro.
iii Perlu menghargai struktur, mekanisme dan sistem penyelesaian masalah yang sebelumnya telah dijalankan di dalam masyarakat (paradigma evolusi).
iv. Berusaha melakukan kajian dan mencuba model penyelesaian masalah yang difikirkan perlu.
v. Berusaha memantau keberkesanan cara penyelesaian masalah yang dikemukakan.
vi. Berusaha menjalin dan menghidupkan jalinan ummah Islam sedunia bagi mempelajari kaedah penyelesaian masalah yang lebih sesuai untuk konteks zaman moden.
Apa yang jelas, pendekatan yang dicadangkan ini bertepatan dengan idealisme perjuangan Islam yang mementingkan kesejahteraan agama, diri dan anggota masyarakat melebihi kepentingan lain. Kesemua kepentingan ini perlu diadun dengan cukup rapi sehingga menjadikannya lebih bersifat bersepadu di antara taktik dan matlamat yang mengaitkannya dengan kerangka pencarian kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Apa yang lebih penting lagi, sejarah telah membuktikan bagaimana penggunaan kaedah ini telah mampu membangun suatu bentuk tamadun Islam jitu di antara kepentingan kebendaan dunia yang bersifat sementara, tetapi perlu diutamakan untuk ketinggian agama Islam, dengan kepentingan akhirat yang lebih bersifat abadi. Semoga para belia/remaja kita dimasukkan ke dalam golongan pemuda Ashabul Kahfi yang digambarkan oleh Allah S.W.T. pada ayat 13 Surah al-Kahfi yang bermaksud:
"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk"
PENETAPAN VISI, MISI DAN WAWASAN
Penetapan ini difikirkan amat perlu demi untuk sentiasa mengingatkan sesebuah organisasi Islam tentang matlamat yang hendak dicapai. la boleh dikatakan sebagai asas utama sesuatu organisasi yang perlu diperhatikan dan dihayati oleh setiap anggota kumpulan terbabit. Proses penetapan visi, misi dan wawasan ini boleh dibuat dengan mengetahui dan mengambilkira beberapa prinsip asas Islam yang terpenting dan menerapkannya di dalam visi, misi dan wawasan ini. Antara prinsip-prinsip asas Islam yang dimaksudkan adalah:-
i. Pengetahuan tentang hakikat kejadian manusia - dengan menanyakan beberapa persoalan utama, (i) dari mana; (ii) untuk tujuan apa; dan (iii) ke mana akhir perjalanan hidup dan matlamat manusia. Apa yang jelasnya, semua persoalan penting ini boleh dijawab melalui pemahaman konsep khalifah Allah. Sabda Rasulullah S.A.W. yang mafhumnya:
"Tidak bergerak kaki seseorang anak Adam itu di hadapan Tuhannya pada hari akhirat kelak kecuali setelah ditanya tentang empat perkara, salah satu daripadanya ialah tentang umurnya, untuk apa ia dihabiskan dan tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan".
ii. Proses pembentukan seseorang remaja yang boleh bertindak sebagai intelektual ummah yang berjiwa tauhid dan mengamalkan konsep "amar makruf nahi mungkar". Akan tetapi, sebelum proses pembentukan individu intelektual ini dapat ditetapkan di dalam penetapan wawasan sesuatu organisasi, terlebih dahulu kita perlu mengetahui dengan lebih lanjut tentang semua perkara yang berkaitan dengan intelek, merangkumi, (i) siapa dan bagaimana sifat seseorang intelek Islam; (ii) apakah jenis-jenis intelek yang terdapat dalam realiti semasa; dan (iii) bagaimana cara untuk membentuk dan mengasah sifat intelek di dalam diri seseorang Muslim.
KESIMPULAN
Sebagai umat Islam yang berpegang kepada prinsip hablum minallah wa hablum minannas, kita tidak boleh mengenepikan semua hal dunia untuk menumpukan perhatian kepada akhirat semata-mata. Sebaliknya kita juga harus sedar bahawa mengejar kehidupan dunia semata-mata bukanlah matlamat kita dihidupkan Allah di dunia ini. Tugas membangun dan membimbing ummah ke arah kehidupan yang seimbang duniawi dan ukhrawi menjadi tanggungjawab kita. Amanah ini harus dipikul oleh golongan belia kerana mereka mempunyai kecergasan dan kecerdasan yang diharapkan dapat memperjuangkan dan mempertabatkan agama.
Bagaimanapun, pernahkah kita terfikir dan bertanya, belia yang bagaimanakah yang menjadi kebanggaan Islam? Kualiti rohani dan jasmani yang bagaimana pula yang perlu ada pada belia kita untuk menjadi pejuang agama? Tentunya iman, taqwa dan akhlak mulia adalah nilai utama untuk memenuhi misi ini. Di samping itu, mereka juga harus memiliki semangat waja untuk berkorban di jalan yang diredhai Allah S.W.T. Oleh itu, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud :
"Terdapat tujuh golongan manusia yang akan diberi naungan Allah pada hari terdapat tiada naungan melainkan naungan-Nya. Salah satu daripada golongan itu ialah pemuda yang seluruh hidupnya ditumpukan untuk tujuan beribadah untuk Tuhannya".
Pengajaran hadis ini jelaslah kepada kita bahawa ciri-ciri belia yang taat beribadah (dalam erti yang lebih luas-mencakupi seluruh aspek kehidupan dunia dan akhirat) adalah salah satu golongan yang mendapat tempat yang istimewa yang dijanjikan Allah di akhirat kelak.Kedudukan dan peranan belia diiktiraf penting oleh agama dan masyarakat. Di pundak mereka terletak tanggungjawab kepimpinan demi membentuk masa depan masyarakat yang beragama dan bermoral. Di tangan para belia kita, terletak kewibawaan untuk mencipta perwajahan cemerlang bangsa dan agama demi memandu kita semua ke jalan khaira ummah yang dirahmati Allah S.W.T.
Oleh itu, para belia-remaja pada hari ini perlu menghiasi diri dengan ilmu yang kukuh, keimanan yang ampuh dan misi yang utuh. Ketigatiga senjata ini amat perlu untuk kita merubah keadaan kita sekarang, daripada masyarakat yang dianggap tanggungan (liabilities), berganjak kepada kelompok yang tinggi aset sosialnya, baik kepada agama, bangsa dan negara. Kita harus menerima hakikat bahawa bekalan ilmu amat perlu untuk mengharungi hidup di zaman yang penuh cabaran ini.
No comments:
Post a Comment