Wednesday, July 11, 2007

334 remaja maut kemalangan sehingga Mei

KUALA LUMPUR 10 Julai – Seramai 334 remaja berusia 16 hingga 20 tahun terbunuh dalam kemalangan melibatkan motosikal bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Golongan penunggang serta pembonceng pada usia itu mencatatkan kematian tertinggi iaitu kira-kira 22.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan di negara ini.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar berkata, punca utama peningkatan jumlah kemalangan dan kematian melibatkan golongan muda itu adalah sikap pemandu yang negatif, cuai dan suka memandu laju.

‘‘Golongan ini gemar menunggang secara berbahaya dengan menunjukkan pelbagai aksi termasuk menunggang sambil mengangkat tayar hadapan motosikal dan terus memecut walaupun sewaktu lampu isyarat berwarna merah bagi menarik perhatian orang ramai.

“Mereka lebih mementingkan keseronokan tanpa mempedulikan keselamatan diri mahupun pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas akan dilakukan bagi menangani masalah kemalangan motosikal terutama ke atas golongan remaja.
“Saya mahu penunggang motosikal yang memandu secara liar gentar untuk ‘bermaharajalela’ di jalan raya,” katanya.

Nooryah memberitahu, sehingga Mei lalu, seramai 1,502 penunggang dan pembonceng motosikal terbunuh.

Walaupun kadar kematian melibatkan motosikal secara keseluruhan menurun sebanyak 11 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu, namun beliau berkata, pasukannya akan mengadakan operasi besar-besaran secara berterusan bagi menangani masalah itu.

Sementara itu, beliau memberitahu, polis trafik telah mengeluarkan sebanyak 51,243 saman ke atas penunggang motosikal yang memandu tanpa lesen dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, golongan remaja sekali lagi berada di tangga teratas dengan jumlah 22,384 saman dikeluarkan kepada mereka.

“Ia mewakili 44 peratus daripada jumlah keseluruhan,” ujarnya.Sepanjang tempoh enam bulan ini juga, kata Nooryah, polis telah menahan ramai penunggang tanpa lesen.

Katanya, ia bukan berniat menyusahkan mereka tetapi untuk keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Beliau menasihatkan para pemandu supaya mempunyai lesen memandu yang sah dan mengikis sikap ghairah untuk menunggang motosikal baru sedangkan tiada lesen memandu.

Beliau berkata, selain itu, satu lagi kesalahan yang sering dilakukan penunggang motosikal ialah kenderaan tidak mempunyai cukai jalan atau pun cukai jalan sudah tamat tempoh.

No comments: