Showing posts with label Tutorial IV. Show all posts
Showing posts with label Tutorial IV. Show all posts

Wednesday, August 29, 2007

Suara Belia: Faktor Pembangunan Belia

Oleh Wong Yao Bin (A105875)
Apabila seseorang manusia dalam lingkungan umur yang dipanggil belia, maka pembangunan sahsiahnya akan dipengaruhi oleh pelbagai faktor iaitu faktor mikro dan makro. Kedua-dua faktor ini sangat berkesan untuk membentuk sahsiah seseorang belia, tetapi jika melihat asas unsur manusia, faktor mikro lebih berkesan mempengaruhi seseorang. Antara faktor mikro seperti diri dalaman, pengalaman kehidupan, dan pembacaan. Faktor makro seperti pendidikan, ajaran agama, dan lain-lain digelar proses sosialisasi yang dibentuk oleh masyarakat.

Faktor diri dalaman merujuk kepada kuasa dan keinginan seseorang. Faktor ini melihat sama ada seseorang belia mempunyai keinginan untuk membangunkan sahsiahnya sendiri. Seseorang belia akan sentiasa memerhati dan meninjau sahsiah diri supaya terdapat perkembangan. Faktor ini akan lebih cenderung membangun dan mengembang sahsiah seseorang belia ke arah yang lebih unik sebab ia tidak bergantung kepada persekitaran. Contohnya seseorang belia telah melakukan kesalahan, maka dengan dorongan diri dalaman akan menyebabkan belia itu membentuk sahsiah yang lebih baik supaya tidak melakukan kesalahan lagi.

Faktor pengalaman kehidupan melihat sama ada seseorang belia itu terdapat unsur kesusahan dan cabaran untuk mempercepatkan pembangunan dan perkembangan sahsiah. Semakin banyak kesusahan dan cabaran hidup, maka pembangunan sahsiah seseorang belia akan lebih baik dan cepat berbanding keadaan sebaliknya. Contoh cabaran seperti kemalangan, kemiskinan, masalah keluarga dan kegagalan akan mendorong seseorang belia supaya lebih matang pemikiran supaya dapat menyelesaikan masalah dan pengalaman ini akan membangunkan belia seseorang.

Faktor pembacaan merujuk kepada jenis-jenis pembacaan dan berapa banyak pembacaan yang dibaca oleh seseorang belia. Faktor pembacaan ini melihat jika seseorang belia mempunyai bacaan yang luas dan berguna, maka secara langsung linkungan penyelesaian masalah akan banyak dan terdapat pelbagai pembelajaran sikap daripada penulis. Bacaan yang baik akan mempengaruhi seseorang dari pelbagai aspek termasuk sahsiah dan pemikiran. Contoh bacaan yang dapat mempengaruhi seseorang belia adalah seperti motivasi, psikologi, pengalaman hidup, kejayaan dan lain-lain.

Agama merupakan merupakan faktor yang penting dalam pembangunan dan perkembangan sahsiah seseorang belia sebab agama mempunyai pelbagai ajaran yang mengajar manusia supaya membentuk akhlak, pemikiran, rohani dan tingkahlaku yang ke arah baik dan intergriti. Maka agama akan mempengaruhi belia supaya tidak melakukan perkara dan tingkah laku yang tidak betul, maka agama lebih membangunkan sahsiah dari segi nilai dan kebenaran hidup.

Faktor pendidikan melihat segala proses pembelajaran di sekolah akan membolehkan seseorang belia mempelajari pelbagai disiplin ilmu. Seseorang yang mungkin tidak dapat membentuk sahsiah yang lebih berdisiplin dan bijak berkomunikasi. Ini kerana, sekolah merupakan tempat yang sentiasa mengamalkan displin yang baik dan membentuk ilmu pengetahuan dan nilai seseorang belia secara bersepadu melalui aktiviti kokurikulum, sukan, rakan sebaya, guru dan mata pelajaran yang diajar.

Suara Belia: Faktor Pembangunan Belia

Oleh Wan Muhamad Bin Wan Junoh (A109986).


Perkembangan sahsiah merupakan satu proses yang berlaku ke atas diri dan jiwa seseorang individu. Perkembangan tersebut merangkumi konsep tingkahlaku, serta pemikiran. Perkembangan dan pembangunan ini di pengaruhi oleh pelbagai faktor. Antara faktor yang memainkan peranan penting adalah faktor persekitaran dan juga pembentukan diri oleh individu itu sendiri.

Keadaan persekitaran yang dikatakan boleh mempengaruhi perkembangan sahsiah ialah, faktor rakan sebaya. Di sini boleh kita lihat, individu pada peringkat tersebut sangat mementingkan perhubungan dengan rakan sebaya. Keadaan ini sebenarnya sangat mempengaruhi perkembangan sahsiah remaja itu sendiri. Bagi mengekalkan atau bergaul dengan kelompok rakan sebaya, remaja yang berada dalam proses pembentukan sahsiah ini akan terpengaruh dengan tingkahlaku rakan sebaya. Kebanyakkan tingkahlaku akan diikuti tanpa dipersoalkan di sebalik kandungan perbuatan itu sama ada positif atau negatif.
Seterusnya, tahap penerapan nilai moral dalam diri seseorang remaja atau belia juga memberikan pengaruh yang besar terhadap proses pembangunan sahsiah. Ini kerana, pengetahuan asas tentang nilai adalah merupakan satu pegangan yang kuat dalam menghadapi segala pengaruh yang cuba mempengaruhi seseorang individu tersebut. Melalui ilmu pengetahuan serta pegangan yang kuat, segala pengaruh dari persekitaran dapat ditapis serta segala bentuk perkara yang cuba mempengaruhi diri akan dinilai dengan nilai baik dan buruk. Perkara yang baik akan dijadikan tauladan, manakala perkara buruk dijadikan sempadan.

Selain itu juga, pengaruh dari bentuk proses globalisasi yang melanda dunia pada hari ini telah banyak merubah proses perkembangan sahsiah belia. Ini dapat dilihat secara langsung dan tidak langsung. Pemantapan jarak, masa dan ruang serta inovasi dalam pemikiran hari ini telah memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sahsiah diri belia. Pendedahan tanpa penapisan yang sewajarnya telah menyebabkan pengaruh yang kuat terhadap diri belia. Ini kerana, pada waktu pertumbuhan remaja, golongan ini sangat mudah dipengaruhi oleh pelbagai perkara termasuk perkara negatif dan juga positif. Keadaan ini juga boleh dilihat dari segi perkembangan dalam bidang teknologi dan perdagangan. Perkembangan dalam bidang ini telah menyebabkan segara perkara akan sampai kepada minda remaja atau belia hari ini. Jika ia tidak dipantau dengan baik, minda mereka akan dipengaruhi dan seterusnya mempengaruhi perkembangan sahsiah golongan tersebut.
Keseluruhan idea yang dikemukakan adalah sangat memberi kesan ke atas pengaruh perkembangan sahsiah belia. Oleh itu, jika dibiarkan tanpa pengawasan, perkembangan sahsiah belia tidak akan sempurna dan seterusnya akan membawa masalah kepada diri mereka serta terus membawa masalah kepada masyarakat dan negara.

Suara Belia: Faktor Pembangunan Belia

Oleh Fareza Othman (105970)
Belia boleh didefinisikan sebagai mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun. Golongan belia di Malaysia mewakili 40 peratus penduduknya. Belia dikatakan sebagai stakeholder kepada pemacu dan pemangkin kemajuan negara. Dalam perkembangan pembangunan belia, mereka sebenarnya mengikut pola perkembangan yang boleh diramal; setiapa indvidu berkembang mengikut cara gaya yang tersendiri. Ini bermakna setiap belia adalah berbeza semenjak dilahirkan dan perbezaan ini adalah wujud sepanjang masa. Ini bermakna, perkembangan pembangunan sahsiah belia amat bergantung kepada 2 keadaan iaitu baka dan persekitaran. Oleh yang demikian, perkembangan pembangunan sahsiah belia harus dipandang serius dan tidak menjadikannya suatu yang bersifat anomie.

Apabila berbicara berkenaan pengaruh perkembangan pembangunan belia, faktor baka tidak dapat tidak amat berkait dan mempengaruhi perkembangan pembangunan belia. Menurut ahli sosiologi, faktor warisan secara biologi yang merangkumi faktor-faktor keturunan biologi dan genetik merupakan faktor-faktor yang amat berkait dengan perkembangan pembangunan sahsiah belia. Belia akan mewarisi genes daripada ibu dan bapa mereka. Maka dengan itu, pewarisan seperti emosi, keberanian, kejujuran, dan sebagainya yang berkaitan akan membentuk peribadi belia. Secara langsung, ianya mempengaruhi sahsiah belia tersebut. Ini menunjukkan bahawa faktor baka memainkan peranan yang paling utama dalam perkembangan pembangunan sahsiah belia. Perkembangan sahsiah belia pada epistemologinya merupakan tajalli-Nya yang perlu di adaptasi sama ada secara langsung atau tidak langsung. Pengadaptasian yang mencapai matlamat sebenar akan menbentuk sahsiah belia itu menjadi khalifah sempurna.

Selain itu,perkembangan pembangunan sahsiah belia juga berkaitan dengan persekitaran iaitu peranan keluarga yang menjadi agen sosialisasi kepada perkembangan pembangunan belia. Keluarga merupakan agen asas terpenting sebagai agen sosialisasi. Belia banyak dipengaruhi oleh norma dan nilai budaya yang yang diadaptasi daripada asuhan keluarga. Ini bermakna ianya berkaitan dengan dimensi kritis tentang konsep kendiri seperti sikap, minat, kepercayaan, dan prejudis adalah diperoleh daripada ibu bapa dan keluarga. Asuhan keluarga memainkan peranan penting ke atas pembentukan sahsiah belia yang sempurna. Dalam mendidik belia, asuhan yang menggunakan kaedah sederhana atau demokrasi adalah cara terbaik untuk membentuk sahsiah belia yang sempurna. Ini bermakna, ibu bapa bersikap lembut tetapi tegas dalam mendidik belia. Disiplin memainkan peranan penting dan pentaakulan diseiringkan dalam mendidik belia. Dengan peneguhan dan muhasabah secara menyeluruh ke atas diri, maka belia akan terbangun dengan mendasari hakikat mutlak kehidupan ini. Maka belia yang terhasil adalah lebih bersopan santun, berinisiatif, berkebolehan dan memiliki banyak sifat-sifat positif.

Faktor persekitaran yang seterusnya yang mempengaruhi perkembangan pembangunan belia adalah faktor rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan mereka yang hampir seusia dengan belia itu sendiri. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan terhadap kehidupan belia. Mereka dikatakan lebih berjiwa senada dengan belia. Ini kerana banyak masa yang dihabiskan bersama rakan sebaya berbanding keluarga. Apa yang dikatakan oleh rakan sebaya lebih mengambil tempat dalam diri belia berbanding keluarga. Ini secara tidak langsung, mengurangkan pengaruh keluarga. Rakan sebaya juga akan mempengaruhi konsep kendiri belia. Maka, pembentukan personaliti belia amat dipengaruhi oleh rakan sebaya. Pemilihan rakan sebaya yang tepat amat penting agar sahsiah belia yang terbentuk tidak terpesong dari landasan yang sepatutnya. Rakan yang baik adalah mereka yang memberikan nilai kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat. Maka, pemilihan rakan yang tepat dan betul adalah amat penting dalam pembentukan sahsiah belia.

Media massa juga menyumbangkan pengaruh kepada pembangunan sahsiah belia. Penularan budaya barat pada hakikatnya tercetus daripada media sama ada media massa atau media elektronik. Penghawaran yang berterusan ini hasil daripada pengaruh media sebenarnya banyak memberi impak negatif kepada pembangunan sahsiah belia berbanding kesan positif. Secara alaminya, kehidupan belia kini banyak mengadaptasi trend atau gaya hidup dari barat berbanding berpegang pada jati diri mereka sendiri. Sebenarnya, belia yang bijaksana akan dapat mengekalkan identiti hakiki mereka dan dapat mengadaptasi pengaruh yang terbaik yang harus dicambah dalam diri mereka. Oleh yang demikian, perkembangan sahsiah belia yang mantap akan terbentuk apabila seseorang belia itu dapat membuat penilaian yang terbaik tentang nilai yang perlu diikuti. Maka, pencambahan nilai yang mendasari hakikat insan akan membentuk sahsiah belia yang berintegriti.
Kesimpulannya, perkembangan pembangunan sahsiah belia adalah dipengaruhi oleh aspek baka dan persekitaran. Pengaruh-pengaruh ini akan meresap ke dalam diri belia secara rohani atau alami. Oleh yang demikian, pembentukan sahsiah belia yang menjadi idaman harus memandang erti sebenar sebuah pengadaptasian dan penerimaan pencambahan nilai-nilai yang baik dalam diri secara menyeluruh haruslah diberi penekanan. Belia yang bijaksana akan dapat membentuk jati diri berintegriti walaupun pengaruh-pengaruh di atas menggugat dan menghawar dalam kehidupan masa kini. Kekentalan jiwa yang mendasari hakikat kehidupan belia harus dijadikan perisai utama dalam mendepani cabaran mendatang yang memerlukan seribu pendakian dan pengorbanan. Maka dengan demikian, belia yang terbangun dan terbentuk bukan calang-calang belia tetapi merupakan belia yang bisa menggoncang dunia, belia yang kental meredah persada, berani menjulang intifada dan jitu menongkah arus kehidupan seorang hamba dan khalifah.

Suara Belia: Faktor Pembangunan Belia

Oleh Hatta Hashom (A105901)


Dalam membincangkan soal sahsiah, masyarakat sebenarnya bercakap mengenai pengaruh yang dihadapi oleh belia dalam pelbagai aspek. Aspek-aspek yang mempengaruhi belia masa kini sebenarnya mencakupi hal-hal yang bukan sahaja terdiri daripada faktor-faktor internal, malah eksternal yang mana ia bergantung kepada situasi dan pengalaman-pengalaman yang didapati oleh para belia.

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan dan pembangunan sahsiah belia pada masa kini iaitu faktor rakan sebaya misalnya. Mengikut kajian seorang pengkaji sahsiah dan pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, 70% dari sifat dan sikap remaja dipengaruhi oleh rakan sebaya. Hal ini terjadi dek kerana masa dan ruang kontak semuka diantara remaja belia dan rakan-rakan sebayanya adalah lebih panjang jika dibandingkan dengan masa yang dihabiskan bersama keluarga atau lain-lain perkara. Justeru, peranan dan pengaruh rakan sebaya merupakan antara medium perubahan dalam perkembangan mereka.

Selain itu, melalui pembacaan yang melibatkan media massa sama ada bahan-bahan picisan atau ilmiah sekalipun, dilihat mampu untuk mempengaruhi perkembangan dan pembangunan sahsiah belia secara tidak langsung. Media massa juga bertindak dalam memberi informasi-informasi dan pelbagai interaksi sosial yang lain, yang sememangnya memberikan kesan langsung ke atas proses kognitif belia. Oleh yang demikian, media massa juga berupaya dalam menyemai ide-ide sifat dan sikap yang membentuk corak sahsiah remaja individu belia.

Di samping faktor-faktor tadi, pengaruh kepada sahsiah remaja juga dilihat terjadi melalui aspek asuhan dan didikan agama. Peranan agama boleh memberi impak yang positif kepada seseorang individu dalam masyarakat. Agama dilihat sebagai satu entiti sanjungan yang murni dan hal ini amatlah bersesuaian dengan tuntutan akhlak remaja yang diidam-idamkan oleh semua orang. Apa yang pasti, pengaruh agama juga mampu untuk mengacuankan akhlak dan sahsiah dalam menyemai budaya positif di kalangan belia.

Faktor lain yang dapat membantu dalam perkembangan dan pembangunan sahsiah bagi seseorang belia adalah persekitaran yang melingkungi tingkah laku dan judual harian seseorang individu. Sememangnya, belia terdedah kepada pelbagai situasi dan fenomena yang terjadi dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, sahsiah dalaman dan luaran yang dipunyai oleh seseorang individu itu boleh atau cenderung untuk bertingkah laku seperti apa yang dilihat dan didengar malah dipertuturkan oleh kelompok masyarakat sekeliling dalam mempengaruhi perkembangan, perbangunan dan pertumbuhan sahsiah belia.

Sebetulnya, budaya dan tradisi dalam masyarakat juga dapat mengolah seseorang individu itu dalam menampakkan sifat sahsiah belia. Hal ini kerana, budaya dan tradisi masyarakat memberikan kesan yang mendalam akibat peranan keluarga dalam memberikan penekanan ke atas tradisi sesebuah kelompok masyarakat. Akibat dari kebejatan nilai-nilai yang diterapkan, tidak kiralah sama ada negatif atau positi, ia akan diikuti sebagai amalan harian dan mempengaruhi segala tindak-tanduk individu belia itu. Tidak dapat tidak, budaya dan tradisi dilihat, dapat mencorak sahsiah individu belia dewasa ini.

Secara totalnya, nilai sahsiah yang baik amatlah diharapkan agar muncul sebagai satu norma kehidupan yang berkarisma. Justeru, terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk menilai yang mana baik atau yang mana buruk untuk diteladani dan seterusnya dijadikan acuan yang mempunyai etika yang tinggi dan berketrampilan pada zaman yang serba mencabar dan maju ini.

Suara Belia : Faktor Pembangunan Belia

Oleh Harnida Paturungi (A110110)



Menurut Kamus Dewan (1994) belia didefinisikan sebagai muda belia, sangat muda dan golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi. Sahsiah belia telah berkembang dari semasa ke semasa seiring dengan arus pemodenan. Perkembangan dan pembangunan sahsiah belia ini telah dipengaruhi oleh pelbagai faktor.

Salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan dan pembangunan sahsiah belia ialah institusi keluarga. Ibu bapa merupakan “role model” kepada anak-anak. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam setiap perkembangan anak mereka dari kecil sehingga dewasa. Dalam ikatan sosial keluarga, terdapat sifat kasih sayang, saling menghormati dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh setiap anggota keluarga. Corak hubungan dalam keluarga mempunyai kesan pada anak. Rumah yang mesra dan harmoni menggalakkan perkembangan sahsiah yang sihat. Keluarga yang retak dan ibu bapa yang bercerai mewujudkan suasana rumah yang dingin dan mengancam perkembangan sahsiah belia daripada segi emosi dan sosial. Ibu bapa yang bersikap demokratik dapat membantu belia apabila membuat keputusan. Hal ini dapat meningkatkan lagi konsep kendiri belia. Kasih sayang, layanan, asuhan dan perhatian yang diberikan oleh ibu bapa secara langsung membantu proses perkembangan sahsiah positif.

Selain itu, rakan sebaya juga turut menjadi faktor pendorong dalam perkembangan dan pembangunan sahsiah belia. Hal ini kerana rakan-rakan merupakan orang kedua yang rapat dengan belia selepas keluarga. Pemilihan rakan sebaya yang betul dapat membawa belia tersebut ke arah pembentukan imej yang positif. Golongan belia mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya kerana mereka terpengaruh dengan gaya kepimpinan dan kemampuan rakan mereka. Mereka ingin membuktikan kebolehan dan mendapatkan akuan dan dihargai oleh rakan. Sikap ini yang membawa belia ke arah gejala songsang.
Seterusnya ialah faktor media massa. Media massa memainkan peranan penting dalam perkembangan dan pembangunan sahsiah belia. Pendedahan kepada media massa yang sihat penting bagi perkembangan sahsiah yang sihat. Belia yang didedahkan dengan program agama dan infosains melalui televisyen dan radio dapat membantu proses mengembangkan intelek mereka. Sebaliknya, golongan belia yang terdedah kepada tayangan video dan filem yang memaparkan aksi ganas, bergaduh dan perbuatan zalim menyebabkan mereka cenderung bertingkah laku agresif. Pada hari ini, belia lebih terdedah kepada bahan-bahan media sama ada media cetak ataupun media elektronik. Bahan media seperti majalah, televisyen dan internet dan sebagainya sangat mempengaruhi gaya hidup belia. Sebagai contoh, majalah fesyen yang mempengaruhi bentuk personaliti atau imej pemakaian golongan belia masa kini.

Faktor yang terakhir ialah sekolah. Sekolah mempunyai struktur mentadbir yang mengurus program pembelajaran. Kuasa di sekolah terletak di tangan sesetengah pihak seperti pengetua, guru penolong kanan, guru disiplin dan lain-lain lagi. Oleh itu, jenis kepimpinan dan suasana sekolah mempengaruhi proses perkembangan sahsiah pelajar. Pengetua sekolah yang tegas melahirkan pelajar berdisiplin melaksanakan tugas. Sebaliknya, pengetua yang tidak tegas melahirkan pelajar pasif, kurang inovatif dan takut membuat sebarang perubahan. Proses mengembangkan sifat kepimpinan pelajar pula terbantut. Sifat guru yang adil, tidak pilih kasih dan kurang menghukum secara mendera mewujudkan suasana belajar dan mengajar yang sihat. Guru penyayang pula membentuk emosi pelajar yang stabil. Sifat yang baik ini menjamin sahsiah yang sihat. Sebaliknya, guru yang tidak adil, pilih kasih, suka mendera pelajar menjadi ikutan kepada pelajar-pelajarnya. Hal ini melahirkan sahsiah pelajar yang kurang baik. Kawasan sekitar sekolah yang baik dapat membantu proses pembentukan sahsiah yang sempurna. Melalui bimbingan guru dan persekitaran yang menyenangkan, situasi ini dapat mempengaruhi para pelajar agar menjalani hubungan sosial secara positif adalah lebih cerah.

Kesimpulannya, perkembangan dan pembangunan sahsiah belia kini lebih kepada budaya ala barat. Fenomena ini tidak dapat dinafikan kerana dunia kini sedang bergerak maju di era globalisasi iaitu di dalam skop dunia tanpa sempadan. Oleh itu, semua faktor yang mempengaruhi perkembangan dan pembangunan sahsiah belia perlu dikenal pasti bagi mengawal serta memupuk pembentukan sahsiah yang positif menjalani kehidupan pada masa hadapan.

Suara Belia: Faktor Pembangunan Belia

Oleh : Mohd Faidie Azuan bin Idris ( A105732)


Belia merupakan satu golongan yang aktif dalam mencari identiti diri untuk dipersembahkan kepada masyarakat sekelilingnya. Oleh itu, segala aspek positif mahupun negatif begitu mudah mempengaruhi golongan tersebut. Hal inilah yang membuatkan kita seringkali terdengar mengenai masalah keruntuhan akhlak dan moral para belia. Walaupun begitu, dari sudut positifnya masih terdapat segelintir golongan ini yang masih lagi tebal akan nilai-nilai moral dan akhlaknya. Persoalan yang ingin dilontarkan di sini ialah apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pembangunan dan perkembangan sahsiah belia. Sejajar dengan itu, pada hakikatnya pembentukkan dan perkembangan sahsiah diri golongan belia ini melibatkan multifaktor. Sahsiah secara umumnya merujuk kepada ciri-ciri peribadi yang dimiliki seseorang individu di mana ianya menerangkan mengenai kualiti dan nilai yang ada padanya.

Seseorang belia itu harus mengetahui mengenai kekuatan dan kelemahan yang ada padanya. Perkara ini berikutan, bagi menjamin perkembangan sahsiah yang unggul belia perlu mengaplikasikan kekuatan dan menyahkan segala kelemahan dirinya. Bukan itu sahaja, belia juga perlu tahu akan tujuan hidup dan tanggungjawab sebenar mereka sebagai kalifah Allah di muka bumi ini. Mereka yang selalu bermuhasabah dan menilai diri adalah golongan yang sangat beruntung. Dengan itu, belia itu sendiri sebenarnya yang berperanan terhadap perkembangan dan pembangunan sahsiah mereka. Setiap manusia di dunia ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing maka dengan sebab itu belia yang pandai menggilap kelebihannya akan mempunyai masa depan yang cerah manakala mereka yang gagal mengenalpasti kelebihannya akan kecundang.

Agen sosialisasi yang utama adalah ibu-bapa kerana mereka adalah golongan yang bertanggungjawab besar dalam mewarnai sahsiah anak-anak mereka. Ibu bapa berperanan dalam memberikan tunjuk ajar dan nasihat dalam hal-hal berkaitan agama, moral, nilai hidup dan sebagainya. Penerapan nilai-nilai murni dalam hidup anak-anak akan menjamin pembangunan dan perkembangan sahsiah. Keadaan persekitaran rumah juga amat penting di mana ibu bapa yang sentiasa menjaga keharmonian serta kemesraan dalam rumahtangganya akan membawa kepada pembentukan sahsiah yang sihat. Suasana rumahtangga yang tidak harmonis dan tidak terurus akan mengancam perkembangan fizikal, emosi dan sosial belia maka dengan sebab itu ianya boleh mewujudkan pelbagai gejala yang tidak sihat. Gaya kepimpinan ibu bapa juga penting dimana ibu bapa yang mengamalkan gaya kepimpinan demokratik boleh membantu para belia membentuk keyakinan diri terutama dalam membuat keputusan.

Selain daripada ibu bapa, rakan sebaya merupakan mereka yang paling hampir dengan para belia malah terdapat juga belia yang menjadikan rakan sebaya sebagai orang yang paling utama dalam hidup mereka. Rakan sebaya menjadi tempat seseorang belia itu dalam mendapatkan nasihat, mengadu masalah, meminta pandangan dan sebagainya. Belia yang sering bergaul dengan rakan sebaya yang memiliki sahsiah baik berkemungkinan besar akan turut mempunyai sahsiah yang baik juga. Oleh itu, belia harus pandai dalam memilih dan menilai rakan sebaya mereka serta mengelak daripada berkawan dengan mereka yang mempunyai tabiat buruk lagi menjelikkan.

Penyemaian prinsip JERI iaitu penekanan terhadap pembangunan dan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dilihat sangat sesuai serta penting terhadap sahsiah belia. Institusi pendidikan dan keagamaan harus terus menekankan penyemaian prinsip ini agar ianya hidup subur dalam diri belia. Sebagai tempat rujukan dan sumber ilmu yang utama, golongan belia banyak menghabiskan masa mereka di sini maka dengan sebab itu institusi pendidikan dan keagamaan berperanan besar dalam membangunkan sahsiah serta mencari jalan penyelesaian terhadap setiap masalah yang melibatkan para belia. Institusi pendidikan dan keagamaan selalu mengadakan program-program seperti program motivasi, kem pembangunan sahsiah, seminar atau ceramah, program keagamaan dan sebagainya yang bertujuan membina dan mengembangkan sahsiah belia.

Pemakanan juga menjadi faktor penting bagi perkembangan sahsiah belia. Pengamalan corak pemakanan yang seimbang akan membawa kepada kesihatan yang baik seterusnya membentuk sahsiah yang unggul. Hal ini berikutan, pengambilan zat makanan yang cukup akan memberi tenaga serta mengelakkan terkena penyakit. Secara tidak langsung, kesihatan yang baik membantu perkembangan jasmani dan emosi belia. Selain itu, pengaruh genetik juga berhubung kuat dengan perkembangan sahsiah belia. Mengikut kajian-kajian yang dijalankan oleh ahli psikologi, mendapati bahawa orang yang memiliki fizikal yang baik dari segi ketinggian, bentuk badan dan berat akan mempunyai nilai kendiri yang tinggi berbanding mereka yang mempunyai fizikal yang kurang memuaskan. Contohnya, orang-orang yang gemuk atau cacat kebanyakkannya selalu menarik diri daripada aktiviti sosial, bersikap pasif, pendiam, mempunyai estim diri rendah, kurang berkeyakinan dan sebagainya akibat malu dengan keadaan diri mereka. Walaupun begitu, ingin ditegaskan di sini bahawa tidak semestinya mereka yang mempunyai masalah dalam fizikal mahupun genetik harus terus tunduk dan berdiam diri. Perkara yang paling penting bagi mereka ialah buktikan kemampuan mereka juga adalah sama dengan orang lain malah lebih hebat lagi.

Konklusinya, faktor-faktor yang dikemukan hanyalah sebahagian daripada pelbagai lagi faktor lain namun apa yang pasti ialah golongan belia harus membangunkan seterusnya mengembangkan lagi sahsiah mereka tanpa goyah kepada halangan-halangan negatif yang datang. Pembangunan sahsiah yang positif akan dapat mengembangkan serta memajukan lagi potensi diri sejajar dengan kehendak negara yang memerlukan produk-produk pelapis yang sihat, kental dan berdaya saing bagi menerajui pentadbiran negara.

Tuesday, August 28, 2007

Suara Belia: Faktor Pembangunan Belia

Oleh: Tan Han Yen (A109966)
Belia pada masa kini berbeza dan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Perkembangan dan pembangunan sahsiah belia bergantung kepada beberapa faktor. Faktor-faktor yang akan dibincangkan ialah dari aspek sosial, ekonomi dan peranan media massa.

Sosial merujuk kepada pelbagai aspek seperti budaya, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan didikan ibubapa. Bagi perkembangan diri yang positif, belia perlulah dikelilingi oleh nilai-nilai yang boleh membantu mereka untuk meningkatkan taraf sahsiah mereka. Sebagai contohnya, budaya memainkan peranan yang penting. Budaya luar yang positif perlulah diterapkan di dalam diri remaja. Misalannya, budaya negara Jepun yang mementingkan nilai kesetiaan kepada negara boleh diambil sebagai panduan. Belia haruslah diterapkan rasa kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Walaupun demikian, terdapat budaya luar yang harus dihindari seperti budaya berparti yang melampau, pengambilan dadah dan minuman keras. Budaya tempatan seperti nilai-nilai kesenian negara haruslah dipelajari oleh belia agar mereka berpijak pada bumi.

Selain itu, faktor persekitaran adalah keadaan persekitaran tumbesaran belia berkenaan. Jikalau belia membesar di dalam persekitaran yang lengkap dan selesa maka perkembangan sahsiah dirinya adalah lebih positif. Persekitaran yang dimaksudkan ialah keluarga yang penyayang dan pengamalan gaya hidup yang sihat. Contohnya, belia yang membesar di dalam keluarga yang agresif iaitu ibu bapa yang kerap bergaduh dan memukul anak, maka kecenderungan untuk belia dipengaruhi adalah tinggi.

Ibubapa dan rakan sebaya mempunyai pengaruh yang sangat kuat ke atas pembentukan sahsiah diri belia. Pada ketika inilah, belia amat memerlukan sokongan daripada ibubapa mereka. Jikalau tidak, mereka berkecenderungan untuk terpesong daripada nilai-nilai yang positif. Belia pada ketika ini mengalami pencarian identiti diri maka mereka akan mencari idola-idola di persekitaran mereka untuk dijadikan panduan. Maka adalah penting untuk mereka mempunyai idola yang dapat membentuk sahsiah yang positif di dalam diri mereka.

Ekonomi juga memainkan beberapa peranan di dalam pembentukan sahsiah belia. Gaya hidup belia yang mewah contohnya, adalah tidak baik kepada pembentukan sahsiah mereka. Ini akan membentuk nilai boros dan membazir di dalam diri mereka. Mereka perlulah sedar akan kesusahan ibubapa mereka membanting tulang untuk mencari nafkhah bagi keluarga.

Media massa merupakan penyampai maklumat yang paling luas kepada belia. Media massa perlulah memaparkan isu-isu yang positif dan dapat menolong perkembangan sahsiah belia. Contohnya, media massa kini terlalu memaparkan isu-isu kecantikan luaran iaitu mempunyai bentuk badan yang ramping dan kurus. Ini mungkin menyebabkan belia taksub dengan kecantikan luaran. Mereka akan berusaha untuk mencapai kecantikan luaran dan melupakan kecantikan dalaman diri yang akan menyerlah sekiranya mereka mampu untuk mengembangkannya.

Faktor Pembangunan Belia

Insecta

Oleh: Siti Fatihah Ghazali (105677)
Golongan belia merupakan ahli kepada masyarakat. Oleh itu, perkembangan dan pembangunan sahsiah belia ini banyak dipengaruhi oleh proses sosialisasi yang berlaku dalam masyarakat. Dalam proses sosialisasi ini terdapat empat agen yang memainkan peranan yang penting dalam pembentukan persekitaran masyarakat khususnya ke atas perkembangan dan pembangunan sahsiah golongan belia. Empat agen atau faktor tersebut adalah:


a) Faktor Institusi keluarga


Keluarga disifatkan sebagai agen sosialisasi yang paling rapat dengan setiap individu. Keluarga juga merupakan masyarakat kecil yang memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi dan kelakuan seseorang. Kita sedia maklum bahawa, lahirnya seorang bayi dimuka bumi ini akan disambut dengan wajah keriangan kedua ibu bapa. Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan kehidupan bayi berkenaan. Keluarga juga adalah pengaruh yang paling kuat dalam perkembangan dan pembentukan sahsiah golongan belia. Ini kerana bagi golongan belia ini ibu bapa adalah role model yang paling baik buat mereka. Suasana dan persekitaran keluarga yang aman dan harmoni akan melahirkan golongan belia yang sentiasa berfikiran positif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Didikan yang baik yang diperolehi dari rumah akan membentuk sahsiah diri yang baik kepada golongan belia ini di luar rumah. Meraka lebih peka dan bijak dalam memilih corak kehidupan di luar rumah kerana mereka berpegang teguh kepada asas dan nilai-nilai murni yang diamalkan dalam keluarga. Hal ini berlainan bagi golongan belia yang berasal daripada keluarga yang bermasalah akibat penceraian ibu bapa, suasana keluarga yang tidak aman kerana ibu bapa sering bertengkar dan kurangnya perhatian daripada ahli keluarga khususnya daripada ibu bapa. Golongan belia ini dikatakan cenderung untuk terlibat dengan gejala sosial yang akan membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral mereka. Secara tidak langsung keadaan ini akan membawa kepada perkembangan dan pembentukan sahsiah diri yang negatif terhadap golongan belia ini.


b) Faktor Institusi Pendidikan.


Kehidupan seorang belia tidak boleh lari dengan institusi pendidikan. Sejak kecil lagi institusi pendidikan seperti tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi tidak lagi asing bagi golongan belia. Oleh yang demikian, kita juga tidak boleh mengenepikan peranan institusi pendidikan ini dalam perkembangan dan pembentukan sahsiah diri belia kerana banyak masa dihabiskan oleh golongan belia ini di kawasan institusi pendidikan. Seperti suasana persekitaran di rumah, suasana dan persekitaran institusi pendidikan ini juga harus berada dalam keadaan yang selamat dan selesa untuk proses pembelajaran dan pengajaran. Golongan belia akan lebih berminat untuk menimba ilmu sekiranya kawasan persekitaran berada dalam keadaan yang harmoni. Kewibawaan para pendidik dan keprihatinan pekerja sokongan akan melahirkan golongan pelajar yang berketrampilan dan berwawasan. Namun begitu, bagi persekitaran institusi pendidikan yang tidak selamat dan selesa,akan menyebabkan golongan belia ini tidak berminat untuk belajar. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong golongan belia ini untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.


c) Faktor Rakan Sebaya


Konflik yang timbul di dalam diri golongan belia akibat daripada suasana keluarga yang tidak harmoni mendorong mereka mendekati rakan-rakan sebaya yang dianggap sebagai tempat rujukan dan boleh menghilangkan ketegangan. Keadaan akan bertambah buruk sekiranya ibu bapa tidak dapat memenuhi keperluan golongan belia ini apatah lagi sekiranya mereka ini sering diabaikan oleh kedua ibu bapa akibat daripada kesibukan masing-masing. Kerenggangan hubungan di antara ahli keluarga akan menyebabkan golongan belia ini lebih mempercayai rakan-rakan sebaya berbanding dengan kedua ibu bapa sendiri sebagai tempat untuk meluahkan masalah atau melepaskan tekanan. Kehidupan golongan belia yang banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan golongan belia ini begitu mudah terdedah dengan risiko-risiko yang dI luar jangkaan. Oleh yang demikian, rakan sebaya mempunyai rangsangan yang sangat kuat kepada perkembangan dan pembentukan sahsiah diri seorang belia. Doronganyang positif akan menghasilkan bentuk perlakuan dan peribadi yang baik manakala yang bersifat negatif akan mendorong golongan belia ini berkelakuan agresif sehingga ke tahap mampu melakukan jenayah.


d) Faktor Media Massa


Peranan media massa juga dianggap penting kepada perkembangan dan pembentukan sahsiah diri belia. Ini kerana saban hari masyarakat terdedah dengan medium-medium media massa seperti media cetak dan media elektronik. Lambakan bahan-bahan picisan seperti majalah hiburan yang tidak ditapis isi kandungannya membuatkan ramai golongan masyarakat khususnya golongan belia terdedah dengan budaya-budaya barat yang tidak sesuai dengan budaya orang timur. Tayangan video dan drama yang keterlaluan daripada negara luar hanya membawa kepada keruntuhan moral dikalangan golongan belia. Keadaan ini akan mendorong golongan belia ini memiliki tingkahlaku atau peribadi yang negatif. Namun begitu, tidak semua media massa ini memainkan peranan yang negatif terhadap masyarakat. Banyak sebenarnya tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh pihak media massa sebagai agen dalam proses sosialisasi khususnya dalam perkembangan dan pembentukan sahsiah diri belia. Bagi golongan belia yangcekap dan bijak merebut peluang, pastinya akan menggunakan medium-medium media massa ini untuk mengembangkan bakat dan potensi diri. Apa yang penting di sini,golongan belia itu sendiri harus bijak menggunakan segala medium media massa untuk kebaikan bersama. Tidak semestinya segala yang disogokkan oleh pihak media itu benar dan telus. Sebagai seorang belia yang rasional, baik buruk sesuatu perkara yang dibawa oleh pihak media harus diteliti terlebih dahulu agar tidak menimbulkan salah faham yang akan membawa kepada ketidakamanan Negara. Hal ini penting kerana golongan belia adalah tunggak kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah Negara. Oleh itu, perkembangan dan pembentukan sahsiah diri golongan belia ini juga harus bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan Negara.


Selain daripada keempat-empat faktor tersebut, antara faktor yang tidak kurang pentingnya dalam perkembangan dan pembentukan sahsiah diri belia ialah faktor agama. Pada pendapat saya secara peribadinya, seandainya pegangan seseorang belia itu kuat terhadap ajaran agamanya maka golongan belia tersebut akan mampu menangkis cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Ini kerana walau dalam apa jua keadaan sekalipun, seandainya seseorang belia itu tahu akan halal, haram dan dosa, pahala dalam agama maka dia akan sentiasa mengelakkan atau menjauhkan diri daripada kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral. Selagi seseorang belia itu menjadikan agama sebagai satu gaya hidup maka percayalah bahawa dia akan mampu membawa kehidupannya ke arah kejayaan. Hal ini berlaku kerana tidak ada agama di dunia ini yang menyuruh penganutnya melakukan kemungkaran dan kejahatan. Malah setiap agama menyuruh penganutnya sentiasa melakukan kebaikan untuk kesejahteraan bersama. Kepercayaan yang kuat kepadapegangan agama akan menjadi pendorong yang terbaik kepada seseorang belia. Ini kerana kita semua hanyalah insan biasa yang sempurna kejadiannya tetapi tidak sempurna tingkahlakunya. Ketidaksempurnaan tingkahlaku manusia inilah yang akan membawa golongan belia ini kembali kepada Pencipta. Apabila seseorang belia itu begitu positif dalam mempersepsikan kehidupannya, maka akan lahirlah golongan belia yang cemerlang sahsiahnya baik dari segi fizikal, mental, emosi mahupun rohani.