Showing posts with label Belia Cemerlang. Show all posts
Showing posts with label Belia Cemerlang. Show all posts

Friday, June 20, 2008

Fakhrul juara Akademi al-Quran


Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED


PUTRAJAYA 19 Jun - Peserta dari Kedah, Mohd. Fakhrul Radhi Khamaruddin, 22, muncul juara pertandingan akhir program realiti terbitan TV9, Akademi al-Quran (AQ) musim ketiga yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.


Kemenangan itu membolehkan beliau menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 beserta sebuah kereta Proton Saga dan piala kristal berbentuk al-Quran.
Naib johan pula dimenangi Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzaman, 25, berasal dari Perak. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.


Sementara itu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, 25, memenangi tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.


Hadiah para pemenang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.


Turut hadir Pengerusi Media Prima Bhd., Datuk Abdul Mutalib Mohd. Razak dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.


Seorang lagi finalis yang bertanding pada peringkat akhir AQ dan memenangi tempat keempat ialah Syamsul Abu Hassan Alshaari, 24.


AQ merupakan program realiti TV tempatan pertama yang memerlukan peserta memperdengarkan bacaan al-Quran mengikut kaedah tertentu.

Sunday, November 11, 2007

Nicol David


Mudah buat Nicol ungguli Terbuka Hong Kong

NICOL David menutup tirai 2007 dengan penuh bergaya apabila menjuarai gelaran kelapannya di kejohanan bernilai AS$89,000 (RM311,500) Terbuka Hong Kong semalam untuk terus mengungguli status pemain nombor satu dunia selama 12 bulan penuh, tahun ini. Dan dia melakukannya dengan begitu mudah, apabila hanya memerlukan tiga set untuk menundukkan musuh ketatnya, Natalie Grinham dari Australia, 9-3, 9-5, 10-8 di Plaza Hollywood. Tidak seperti pertemuan sebelumnya dengan pemain nombor dua dunia itu yang sering kali mengheret permainan hampir dua jam seperti di final Terbuka Dunia tahun lalu dan penentuan Terbuka KL, Mac lalu, pertembungan kali ke-19 mereka pada pentas profesional ditentukan selepas 58 minit.


Begitupun, Nicol tidak melihat keputusan itu sebagai gambaran sebenar pertarungan sengit mereka berdua dalam perjalanannya merangkul hatrik mahkota ini. "3-0 tidak menunjukkan betapa sengitnya perlawanan ini. Natalie berjuang habis-habisan, anda perlu terus berusaha dan berharap dapat meraih kemenangan. "Ia sesuatu perasaan yang hebat untuk meraih keputusan yang diingini. Saya berasa seronok sepanjang minggu ini dan sebelumnya, dan saya menghadapi perlawanan ini dengan azam untuk melakukan yang terbaik


"Ini adalah kejohanan yang terakhir tahun ini, jadi saya memasuki perlawanan final ini dengan harapan dapat menamatkan musim dengan baik, terutama selepas menang di Qatar minggu lalu," katanya. Kemenangan ini menyaksikan Nicol melanjutkan penguasaannya ke atas Natalie dalam senarai Jelajah Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) kepada 13-6. Natalie hanya sekali saja menewaskan Nicol tahun ini iaitu pada final Terbuka Seoul yang menamatkan rentetan 51 kemenangan berturut-turut pemain kelahiran Pulau Pinang itu. Secara keseluruhan, hanya dua pemain lain merasai pengalaman menundukkan Nicol sepanjang 2007 iaitu kakak Natalie, Rachael pada final Terbuka Dunia dan Shelley Kitchen dari New Zealand pada pusingan kedua Terbuka Dunia.

Pemain negara berusia 24 tahun itu sebelum ini menjuarai Terbuka KL (Mac), Terbuka Kuwait (April), Qatar Klasik (April, edisi 2006 yang ditunda ke tahun ini), Terbuka Malaysia (Julai), Terbuka Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar (November). Sementara itu, dalam acara final lelaki, pilihan pertama, Amr Shabana dari Mesir juga meraih gelaran hatrik apabila mengenepikan pilihan kedua, Gregory Gaultier dari Perancis, 11-13, 11-3, 11-6, 13-11 dalam tempoh 61 minit.


Berita Harian, 12 November 2007.

Wednesday, August 15, 2007

Mohd Ariff Mohamed Ali

Mohamed Ariff bin Mohamed Ali dari program Perhubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja dalam Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pemilihan untuk Anugerah Pelajaran Diraja ini adalah berdasarkan kepada kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik dan aktif menyertai kegiatan ko-kurikulum, menyumbangkan bakti kepada masyarakat dalam bentuk sukarela selain mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan berkeperibadian yang mulia.


Mohamed Ariff bin Mohamed Ali, dilahirkan di Pulau Pinang pada 20 Disember 1984 dan sangat meminati bidang perhubungan dan komunikasi. Beliau juga gemar mempelajari dan mendalami bahasa dan kebudayaan asing.


Sepanjang pengajiannya di UKM, Mohamed Ariff sangat aktif menyertai aktiviti akademik, persatuan dan kebajikan. Penerima Anugerah Dekan FSSk ini juga pernah mewakili UKM ke Universiti Thammasat di Bangkok untuk Program Pengajian Pertukaran Pelajar Wilayah Asia Tenggara (SEASREP).


Beliau juga menerima biasiswa Japanese Airlines (JAL) dan mengikuti Program Biasiswa JAL di Tokyo dan Kanazawa di Jepun, mewakili Malaysia di 9th ASEAN University Network (AUN) Educational Forum and Young Speakers Contest di Laos. Mohamed Ariff turut aktif dalam bidang sukan.


Sebagai Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja, Mohamed Ariff dan Nur A’thiroh Masyaa’il masing-masing menerima pingat emas, wang tunai RM2,500 serta sijil penghargaan.
Sumber: Universiti Kebangsaan Malaysia