Tuesday, August 22, 2006

Ketrampilan Temu Duga



Penampilan diri ketika temu duga mesti sesuai


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


Ketrampilan adalah aset utama untuk mendapat tempat pada peringkat pertama berhadapan majikan

MENJELANG hujung tahun, beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah pun mengadakan majlis konvokesyen masing-masing dan dianggap acara 'kemuncak' bagi pelajar, kerana ia adalah 'petanda' kejayaan menggenggam segulung ijazah.



Bagaimanapun majlis tidak bernokhtah di situ kerana bagi graduan yang bercita-cita makan gaji, mereka perlu pula bersaing dalam dunia pekerjaan. Perkara pertama perlu dihadapi ialah berhadapan dengan sesi temu duga oleh majikan dalam usaha mencari pekerja sesuai.

Tidak dinafikan selain kelulusan, penampilan diri adalah aset utama ?memasarkan diri? dalam dunia pekerjaan. seperti pemakaian, komunikasi dan keyakinan adalah perkara pertama dilihat majikan sebelum mengambil keputusan memilih seseorang sebagai pekerja.

Pengarah Sumber Manusia Philips (Malaysia) Sdn Bhd, Azlena Abdul Hamid yang bertanggungjawab secara langsung dalam pengambilan pekerj, berkata antara kelulusan dan penampilan, kedua elemen itu sebenarnya dilihat sama pentingnya dalam memainkan peranan masing-masing.

Beliau berkata, kelulusan memainkan peranan penting pada peringkat senarai pendek, atas keperluan memastikan pekerja sepadan dengan spesifikasi jawatan dipohon, sementara personaliti atau penampilan dinilai pula ketika proses temu duga berlangsung.

Ketika itu, katanya, perkara paling utama dilihat ialah aspek komunikasi yang mana seharusnya calon mampu berinteraksi dengan baik, tidak kira dari segi idea atau pengalamannya. Dalam kata lain, beliau seharusnya berkemampuan berhubung dengan penemu duga.

"Banyak perkara khususnya berkaitan kemahiran dan teknik dapat dikesan oleh penemu duga menerusi proses temu duga yang dilihat antara aspek paling penting sebelum seseorang itu diterima kerja di sesebuah organisasi.

"Seandainya penemu duga mampu memadankan calon dengan keperluan sesuatu pekerjaan dan mencungkil kekuatan calon, saya boleh katakan proses temu duga itu adalah efektif dalam mencari pekerja sesuai untuk sesebuah syarikat," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Tegasnya penampilan diri seharusnya diselaraskan dengan syarikat yang ingin seseorang ceburi. Telahan seperti berpakaian formal untuk sektor korporat atau bertudung untuk syarikat yang menjurus kepada keislaman, ada juga kebenarannya.

Ini berikutan ia dikatakan amat berkait rapat dengan sesebuah organisasi itu sendiri yang mana menjurus kepada sesuatu bidang, kehendak majikan, aspirasi tugasan yang dipohon serta bentuk pekerjaan ditawarkan kelak.

"Selalunya penampilan luaran seperti solekan atau bergaya sakan, bukanlah keutamaan bagi pekerja yang bergiat dalam sektor dalaman atau teknikal, berbanding pekerja yang perlu berhadapan orang ramai seperti dalam bidang pemasaran yang mana anda perlu 'memasarkan' nama syarikat.

"Ia sebetulnya banyak mengikut kesesuaian. Tiada yang terlalu spesifik. Sebagai contoh, pekerja dalam dunia pengiklanan mungkin memerlukan pekerja yang berbeza personalitinya daripada pekerja dalam sektor jualan dalam industri teknikal," katanya.

Nasihatnya, bagi pekerja yang pertama kali memohon pekerjaan, pemohon seharusnya jelas mengenai kerjaya yang dipohon dan berkerja keras untuk mendapatkannya, malah harus realistik bahawa kita perlu bermula daripada bawah untuk menimba pengalaman.

"Bukan semua kerja menyediakan pejabat yang cantik serta berhawa dingin, hanya minat boleh mengatasinya," katanya.

Walaupun dunia pekerjaan dikatakan terlalu sedikit berbanding peluang kerjaya ditawarkan, realitinya setiap calon harus bersedia menghadapi cabaran pertama memohon pekerjaan pada sesi temu duga. Sesiapa saja boleh mengatakan dalam masa sesingkat itu tidak mudah mengenal 'realiti' seseorang pekerja, namun menerusi tempoh 'percubaan' yang disyaratkan majikan, adalah tempoh penyesuaian sebenar sama ada anda sesuai dengan kerjaya dipohon serta sejauh mana anda selesa dengan dunia baru bergelar pekerja.

INFO

Panduan menghadiri temu duga:


Perlu bersedia, yakin, selain berpenampilan mesra seperti berjabat tangan dengan penemuduga.


Calon juga seharusnya tahu teknik berkomunikasi dengan betul, seperti memandang tepat ke arah mata penemuduga ketika menjawab soalan.


Mampu menyampaikan pemikiran atau idea dengan baik antara kriteria dilihat penemuduga seseorang itu berperwatakan yakin atau bijak.


Seseorang calon amat digalakkan untuk mendapatkan maklumat mengenai sesebuah syarikat sebelum menghadiri temuduga untuk menunjukkan bahawa anda benar-benar berminat untuk bekerja di situ.


Dalam hal penampilan seharusnya seseorang itu tampil kemas, sopan dan tidak terlalu santai. Bagi wanita, bersolek juga dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana ada pendapat mengatakan bersolek mampu meningkatkan keyakinan dan menutup warna pucat kerana gentar pada sesi temu duga.


Jadilah profesional dengan membawa sijil serta testimoni di dalam fail yang elok seperti tidak comot atau terkoyak. Jangan lupa senyum dan gembira sepanjang proses temu duga itu berlangsung.

No comments: