Sunday, August 13, 2006

Graduan Pakar R&D

USAHA BERHASIL: Graduan UniKL meraikan kejayaan selepasMajlis Konvokesyen Ketiga, di Kuala Lumpur, semalam.


Graduan wajar miliki kepakaran bidang R&D

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

Canselor UniKL saran pilih kursus selaras keperluan negara

KUALA LUMPUR: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu graduan universiti tempatan memiliki kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar produk terkemuka.

Sehubungan itu, baginda menyarankan penuntut universiti membuat pemilihan kursus yang tepat selaras keperluan negara untuk memastikan golongan itu mampu menembusi pasaran kerja selepas tamat pengajian.Baginda yang juga Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bertitah, universiti perlu menyediakan modul pelajaran berkualiti mencakupi bidang R&D yang sekali gus membuka peluang graduan tempatan berjinak-jinak dengan industri penghasilan produk.“
Bagi melahirkan graduan bertaraf dunia yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang, mentaliti kita juga harus bertaraf dunia. Prasarana, tenaga pengajar dan keseluruhan sistem pembelajaran juga perlu setanding dengan negara maju.“Tiada guna jika prasarana kelas pertama tetapi mentaliti masih di kelas ketiga. Justeru, bagi mencapai hasrat itu kita tidak seharusnya gentar untuk meletakkan impian besar, kerana ia akan menjadi pemangkin untuk mencapai kejayaan yang gemilang,” titahnya.
Baginda bertitah demikian sempena Majlis Konvokesyen Ketiga UniKL, di sini semalam. Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Brig Jen (B) Datuk Seri Hamid Zainal Abidin. Pada majlis itu seramai 1,750 pelajar dari tujuh kampus cawangan dan dua institut universiti berkenaan menerima Ijazah Sarjana Muda dan Diploma masing-masing. Penganugerahan itu juga mengukir sejarah manis kepada UniKL apabila kumpulan pertama seramai 721 pelajar daripada 10 program Ijazah Sarjana Muda dan Lapan program diploma menamatkan pengajian mereka. Sementara itu, pasangan kembar Norlaila dan Norlaili Mohamad Anuar, 22, yang memperoleh Diploma Animasi, berkata akhirnya hasrat untuk menggenggam segulung diploma bersama tercapai.Mereka turut berhasrat melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda tahun depan.“
Saya tidak mahu berpisah dengan kakak, kalau boleh saya ingin bersama dengannya sehinggalah masing-masing mendirikan rumah tangga. Kami mahu menjadi pasangan kembar yang berjaya di dunia, itulah impian kami berdua,” kata Norlaili sambil diperhatikan kakaknya Norlaila.
Sumber: Berita Harian, 170806

No comments: