Wednesday, August 16, 2006

Isu Belia: Tabiat Merokok


Setiap hari 50 remaja mulakan tabiat merokok 16 Oktober 2003

KEMPEN 'Nafas Baru Mulai Ramadan' yang disasarkan kepada perokok Muslimin dan Muslimat agar meninggalkan tabiat itu secara beramai-ramai mulai Ramadan ini, akan menyingkap punca mereka merokok. Kementerian Kesihatan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Pusat Racun Negara dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan menjalankan pelbagai strategi dan kegiatan untuk membantu perokok Muslim di negara ini supaya berhenti merokok.

Ketagihan rokok menjadi masalah global yang sukar ditangani di banyak negara. Sudah banyak program dilancarkan membabitkan pelbagai peringkat untuk mengatasi masalah penagihan rokok.

Mereka yang merokok, walaupun menyedari kesan buruknya, terus meningkat bilangannya setiap tahun. Antara punca utama ketagihan merokok ialah tindakan syarikat gergasi yang membelanjakan beratus juta ringgit setiap tahun di Malaysia bagi mempromosikan rokok kepada orang awam. Ini dilakukan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi, menyebabkan ramai yang termakan propaganda itu tanpa disedari.

Yang lebih menyedihkan ialah penggunaan teknologi tinggi syarikat rokok berjaya memujuk, merayu dan memutar belit dengan pelbagai muslihat untuk mempromosikan rokok tanpa disedari oleh masyarakat. Peruntukan yang sangat besar, sekurang-kurangnya RM300 juta setahun, digunakan untuk mempromosi tabiat merokok di Malaysia.

Masyarakat diajak supaya mengubah pemikiran agar mempercayai bahawa pilihan merokok adalah hak asasi seseorang dan merokok adalah gaya serta pilihan seseorang. Walhal, rokok adalah dadah yang membawa kepada ketagihan kuat dan lazimnya seorang perokok itu mempunyai kesukaran untuk berhenti.

Malaysia sedang menghadapi wabak merokok dan kita sebenarnya menentang syarikat tembakau dalam perjuangan yang sangat mencabar.

Statistik menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang pada 1998.

Penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini, yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun.

Statistik menunjukkan 49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok dan melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus). Kesedaran di negara ini menurunkan kadar merokok sejak beberapa tahun lalu.
Perangkaan juga menunjukkan Melayu Muslim meliputi 35 peratus daripada keseluruhan perokok iaitu kira-kira satu juta orang, berbanding Cina (23 peratus) dan India (20 peratus). Kebanyakan perokok adalah penduduk luar bandar.

Sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000.

Satu fenomena membimbangkan ialah lebih ramai gadis mulai merokok. Malah remaja perempuan yang merokok, didapati bertambah daripada satu kepada lapan peratus, khususnya di bandar. Dianggarkan setiap hari 50 remaja memulakan tabiat buruk ini. Hasil kajian mendapati matlamat iklan rokok hampir semuanya ditujukan kepada remaja untuk dapatkan pelapis perokok baru. Setiap remaja yang mula merokok berkemungkinan akan merokok purata selama 30 tahun akan datang.

Seorang remaja ada kalanya boleh ketagih pada rokok walaupun hanya mengambil satu sedutan. Ini disebabkan otak yang masih dalam proses pertumbuhan dan belum matang. Ketagihan ini disebabkan kandungan dadah nikotin dalam rokok. Dalam kata lain, perniagaan rokok diibaratkan satu perniagaan dadah yang membawa keuntungan besar.

Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok. Antara kandungan asap rokok yang memudaratkan ialah tar, nikotin dan karbon monoksida.

Tar mengandungi pelbagai bahan kimia yang boleh menyebabkan barah. Antara bahan utama dalam tar ialah PAH (hidrokarbon polinuklear aromatik). Bahan ini boleh mencacatkan sel baka. Justeru, tar juga dikenal pasti sebagai karsinogen, yakni bahan yang boleh mengubah sifat sel jinak menjadi ganas hingga menjadi barah.

Nikotin pula, selain menjadi dadah yang menyebabkan ketagihan yang tinggi, menyebabkan denyutan nadi dan tekanan darah bertambah, di samping memekatkan cairan darah dalam tubuh. Ramai yang tidak tahu bahawa kepekatan darah seorang perokok dan bukan perokok adalah berbeza.

Karbon monoksida pula adalah gas yang menyebabkan bekalan oksigen ke tisu badan menjadi terencat. Ia boleh bergabung dengan sel darah merah dan mengurangkan keupayaan sel itu mengangkut oksigen ke seluruh tubuh, termasuk otak. Kajian sains menunjukkan kepayaan fizikal dan mental perokok terganggu akibat meningkatnya pengaruh karbon monoksida.

Satu salah faham popular yang berlaku ialah merokok dikaitkan dengan tingkah laku mencari idea atau mendapat ilham. Apa yang berlaku sebenarnya ialah, disebabkan ketagihan nikotin, fikiran mereka yang merokok akan lebih terganggu jika tiada rokok. Justeru, prestasi, idea, ilham dan fikiran yang bernas seseorang itu akan menjadi lebih baik selepas berhenti dan bebas pengaruh rokok.

Malah, prestasi seorang atlit atau pemain sukan juga akan meningkat selepas berhenti merokok. Ini kerana keupayaan fizikal dan mental kembali pulih kerana darah dapat bergabung dengan oksigen sepenuhnya, selain memperkayakan otak untuk berfikir dan otot lebih kuat tanpa pengaruh karbon monoksida.

Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.
Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Ini menyebabkan perokok sendiri perlu lebih berwaspada apabila menggunakan ubat-ubatan manakala pesakit atau individu yang mengambil ubat-ubatan, hendaklah berwaspada termasuk tidak mendekati orang merokok.

Perokok walaupun sedar risiko kesihatan yang dihadapi, sukar berhenti kerana sifat ketagihan nikotin, sama seperti penagih yang ketagihan heroin. Sebab itulah kita memerlukan suatu kekuatan yang dapat mengatasi masalah ketagihan ini dengan menggunakan Ramadan.

Pelbagai strategi dan aktiviti sedang disusun bagi membantu dan memudahkan perokok Muslim untuk berhenti merokok menjelang Ramadan yang mulia ini. Kempen intensif melalui media massa dan kaedah kreatif lain bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya rokok hingga ke akhir Ramadan 1424 Hijrah, diharapkan boleh membantu perokok mengetahui betapa pentingnya menangani masalah ini.

Ramadan bulan yang mulia, menyediakan suatu suasana yang sangat baik untuk berhenti merokok. Suasana di tempat kerja, pejabat, rumah pada waktu siang dan malam sangat berbeza berbanding bulan lain.

Lebih 95 peratus perokok Muslim menyatakan mudah berhenti merokok pada Ramadan. Marilah kita sama-sama memanfaatkan sepenuhnya keberkatan yang dibawa bersama Ramadan al-Mubarak untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat. Semoga dengan kekuatan iman dan keyakinan, kita dapat melaksanakan ibadat dengan ikhlas selain mendapat kurniaan Allah agar membebaskan kita daripada bergantung kepada rokok, seterusnya menjaga kesejahteraan diri dan keluarga. Semoga Allah akan sentiasa memberi kita hidayah, bimbingan serta kejayaan di dunia dan juga akhirat.

1 comment:

Anonymous said...

Adakah anda ahli saintis yg mengadakan kajian saintifik terhadap kesan rokok? adakah anda doktor? adakah anda pkar kesihatan dn sebagainya? Bulan ramadan TIDAK DAPAT mengurangkan ketagihan merokok. Cuma perokok hanya tidak merokok kerana tuntutan tuhan agar tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Bagi seseorang yang tidak merokok anda amat bagus dalam berbicara seperti seorang pakar. Anda perlu lebih memahami sesuatu keadaan sebelum berbual. Adalah lebih baik anda mencuba terlebih dahulu merokok dan kemudian menulis kerana sekurang2 nya anda akan tahu apa yang anda bualkan sekian terima kasih