Karya MPR Apa yang dicari penulis muda?
Oleh: AZMAN ISMAIL
Oleh: AZMAN ISMAIL
SASTERA lahir dari kekinian dan kurun waktu yang kongkrit walaupun sastera itu sendiri merupakan sebuah dunia imaginasi. Namun, tidak ada sastera yang paling imaginer yang sanggup memiliki wilayah outonomi yang mutlak, subjektif dan tidak ada sangkut paut dengan individu - Adolfo Sanchez Vasquez
APA sebenarnya makna di sebalik ungkapan Vasquez tersebut? Memang beliau menulis pendapatnya tentang seni (khususnya sastera) dari perspektif Marxisme.
Namun ada satu hal yang mewakili pandangan manapun; sesebuah karya sastera tidak mungkin lahir dari ruang kosong, tanpa alasan dan sebab akibatnya.
Vasquez mengutarakan pendapat yang sangat ekstrem dalam hal ini iaitu tidak mungkin sesebuah teks sastera atau drama dihasilkan berdasarkan imaginasi pengarang semata-mata.
Novel Salina karya A. Samad Said, Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad atau Anugerah, nukilan Zaharah Nawawi misalnya lahir dari sebuah ruang persoalan yang kuat.
Ia mengungkapkan tentang isu kemanusiaan, kemiskinan, kepayahan selepas perang dan halangan alam sekitar (dalam sektor pertanian) dan sebagainya.
Begitu juga dalam karya asing. Novel terbaik Charles Michael Palahniuk iaitu Fight Club misalnya merupakan imbasan daripada sisi gelap penghuni kota di tengah-tengah generasi yang terjerumus dalam arus modernisme.
Majlis Diskusi Karya Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) baru-baru ini secara tidak langsung menyinggung polemik berkaitan makna sesebuah teks sastera yang berhubungan dengan masyarakat.
Perlu diakui, para alumni MPR tersebut mempunyai bakat besar dalam berkarya. Sebut sahaja genre puisi, drama pentas, novel atau cerpen, mereka mempunyai ‘wakil’.
Namun, apa sebenarnya yang dicari atau cuba ditonjolkan oleh pengarang-pengarang muda tersebut jika pendapat Vasquez tentang erti sesebuah teks sastera itu diambil kira.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Kamariah Kamarudin melihat banyak aspek yang cuba diketengahkan selain kematangan para penulis alumni MPR itu cukup menyerlah.
Mereka mampu menggali tema, konsep dan pendekatan baru dalam berkarya dengan berkesan termasuk menekuni sumber berdasarkan al-Quran dan Hadis.
Beliau yang membicarakan novel remaja Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar berpendapat karya tersebut sarat dengan nilai-nilai moral, keagamaan dan akhlak.
Menerusi watak Syahir, pemuda tersebut menjadi simbol kekuatan jiwa anak muda walaupun menghadapi tekanan dan cabaran daripada sistem sosial yang menaunginya.
“Saya melihat ada unsur maruah dan ketinggian nilai sahsiah yang cuba di bawa oleh pengarang (Zaid Akthar) menerusi watak Syahir yang berakhlak mulia serta disenangi banyak orang,” katanya.
Pada satu sisi, tema yang dibawa oleh Zaid bukanlah sesuatu yang baru. Puluhan novel atau cerpen yang bertemakan demikian hadir dalam kesusasteraan Malaysia.
Isu moral, akhlak dan kepincangan dalam masyarakat akibat krisis identiti serta sikap membelakangi agama merupakan isu biasa. Tidak ada sebarang tarikan besar untuk diperkatakan.
Namun, Zaid melontarkan pendekatan baru. Watak Syahir bukanlah seorang pemuda ortodoks yang semata-mata memahami agama secara membuta-tuli. Sebaliknya, dia masih meminati sukan.
Di sinilah kelainan yang cuba ditonjolkan iaitu pergelutan di kancah riadah yang dapat dikaitkan dengan nilai-nilai etika, kemurnian serta kebaikan Islam itu sendiri.
Dalam pada itu, pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Amida Abdulhamid yang membicarakan novel Ladang Hati Mustika karya Ummu Hani Abu Hassan berpendapat, tidak ada perubahan besar dalam tema.
Ia hanya merupakan sebuah karya yang mengangkat persoalan dakwah dan penulisan dengan gaya Islamik. Keupayaan menggarap dan menyelami dengan baik tema tersebut membolehkan Ladang Hati Mustika memaparkan sedikit kelainan.
“Paparan tema oleh Ummu Hani dapat dijadikan medium kepada pergerakan dakwah untuk mereka yang jahil agama dan memerlukan petunjuk serta bimbingan ke jalan Allah.
“Pengarang berjaya meletakkan satu konsep pengajaran Islam yang baik serta berhemah secara tidak langsung untuk golongan ini,” katanya.
Selain itu, pengarang turut memaparkan erti kasih sayang dan nilai keharmonian sejagat dalam konsep horizontal dan vertikal.
Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Misran Rokimin yang membicarakan novel Misi Piramid, karya Ida Munira Abu Bakar pula berpendapat karya tersebut juga tidak banyak menonjolkan sesuatu yang baru.
Cuma ia digarap dalam bentuk alegori yang mengajak khalayak untuk merenung dan menilai erti sebuah kekemerdekaan dalam konteks pembangunan serta pengorbanan.
Karya ini dibina daripada unsur imaginasi pengarang tetapi mengikatnya dalam tema kemerdekaan serta kebebasan. Ia digambarkan menerusi watak Zek yang mengembara dalam mimpinya ke Negara Mian.
Negara tersebut dikatakan mempunyai sistem pertahanan yang canggih dan kuat. Pada masa yang sama Zek berusaha menyelamatkan sekumpulan manusia tawanan negara tersebut yang dilayan dengan kejam.
Menerusi watak Zek, pengarang memasukkan falsafah tentang kebebasan dan hak seseorang manusia untuk merdeka dan hidup dalam keadaan tenteram serta harmoni.
Di sebalik paparan tema dan gaya penulisan yang diketengahkan tersebut, kita tetap menemukan sesuatu yang ‘usang’ dalam pelbagai aspek. Kisah pengembaraan dan wacana yang statik.
Begitu juga gaya bahasa, plot, latar atau konflik dramatik yang cuba diketengahkan oleh ketiga-tiga pengarang tersebut. Tidak ada sesuatu yang memukau.
Oleh itu, mungkin boleh dipertanyakan ke mana sebenarnya hala tuju penulis-penulis alumni MPR. Adakah mereka sekadar mewarisi gaya penulisan sebelumnya dengan membuat sedikit perubahan?
Atau, ada persoalan-persoalan lain yang masih bergerak di sekitar pengarangan mereka. Antara lain masalah sumber atau kekurangan waktu untuk menelaah teks-teks penulis yang lebih berwibawa.
Namun, kita akui ada pengarang alumni MPR yang dianggap ‘terpisah’ daripada kelompok tersebut misalnya Faizal Tehrani yang mengutarakan pendekatan-pendekatan baru dalam berkarya.
Karya Faizal seperti 1515 misalnya mengutarakan pandangan new-historism yang mentafsir kembali fakta-fakta sejarah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 1511 di tangan Portugis ke dalam wacana fiktif.
Malah, tidak sedikit Faizal menerapkan wacana realisme magis, suatu aliran yang berkembang pesat dalam gaya penulisan pengarang-pengarang tersohor Amerika Latin.
**
Utusan Malaysia/13 September 2007
No comments:
Post a Comment