Thursday, June 19, 2008

Bosan Hidup


Susunan FUAD HADINATA YAACOB hadinata@hmetro.com.my

WALAU apapun andaian atau tanggapan mengenai lelaki bernama Tomohiro Kato, 25, kejadian amuk yang dilakukannya 8 Jun lalu sehingga mengorbankan tujuh nyawa dan mencederakan 10 lain meninggalkan misteri yang belum terjawab.Selain itu, persoalan mengapa bandar elektronik dan pusat siber di Jepun, Akihabara menjadi pilihannya serta motif serangan maut sehingga melumpuhkan operasi kawasan tumpuan ramai itu juga menimbulkan tanda tanya.

Begitupun, beberapa mesej yang didakwa diterima daripada lelaki berasal dari Shizuoka, Jepun itu sekurang-kurangnya dapat membantu menghuraikan persoalan berkenaan.Antara kandungan mesej yang dihantar Kato ialah, “Aku akan membunuh orang Akihabara”; “Masanya sudah tiba”; “Aku tidak berguna dan tiada masa depan, membunuh jalan penyelesaian” serta “Aku tidak dipedulikan kerana hodoh.”

Dalam pada itu, laporan media cetak dan elektronik mengaitkan tindakan Kato disebabkan faktor kesunyian dan bosan untuk meneruskan hidup. Dia digambarkan sebagai lelaki kecewa dan pendiam, malah mengibaratkan dirinya lebih hina daripada sampah serta tidak berguna atau membawa faedah.


Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Ahad lalu, Kato yang memandu trak dua tan jenis Isuzu Elf merempuh dua jalan utama Akihabara iaitu Chdri dan Kanda Myjindri.Ketika itu tempat berkenaan dipenuhi orang awam, terutama remaja, kerana ia terkenal sebagai pusat siber, permainan video dan komputer, selain gelaran bandar elektronik.Rempuhan itu mengakibatkan tiga terbunuh. Dia yang bagai diserang histeria turun dari trak lalu menjerit dan menikam orang ramai yang ketakutan dan berusaha menyelamatkan diri.Mereka yang menghulurkan bantuan serta menyaksikan kejadian tidak terkecuali apabila Kato menikam secara rambang sehingga menyebabkan empat nyawa lagi terkorban dan mencederakan 10 yang lain.


Siasatan awal menunjukkan Kato yang bekerja sementara di sebuah kilang pengeluar komponen kenderaan di Shizuoka merancang serangan itu beberapa hari sebelumnya, malah mengunjungi Akihabara bagi membuat ‘persiapan awal’.Dua hari sebelum pembunuhan, Kato membeli sebilah pisau berukuran 13 sentimeter di kedai menjual peralatan ketenteraan di Fukui.Pada hari kejadian jam 8.45 pagi, Kato dilaporkan menjual komputer peribadi dan beberapa perisian untuk mendapatkan wang bagi menyewa trak yang bakal digunakan dalam kejadian itu.Selepas menyewa trak, Kato memandu lebih 100 kilometer dari Susono ke Akihabara melalui kawasan Gunung Fuji yang mengambil masa tiga setengah jam.

Rempuhan dan tikaman membuta-tuli itu mengakibatkan tujuh mangsa (enam lelaki dan seorang wanita) berusia daripada 19 hingga 74 tahun maut di tempat kejadian.Mangsa, Katsuhiko Nakamura, 74, mati ketika menikmati makan tengah hari bersama isteri dan seorang anaknya di tepi jalan utama sementara jurujual telefon bimbit yang juga penuntut University of Tokyo, Mai Muto, 21, turut maut serta-merta.Seorang pengunjung berusia 40-an berkata, suspek melanggar tiga orang sebelum meluru keluar dari trak dan menikam orang ramai di tempat kejadian.Berikutan kejadian itu, 17 ambulans dihantar ke lokasi manakala pihak berkuasa menutup dan meningkatkan pengawasan di sekitar kawasan berkenaan.

Kato kini ditahan pihak berkuasa Jepun untuk membantu siasatan sebelum keputusan lanjut diambil. Berdasarkan laporan akhbar selepas Kato ditahan, jurucakap polis berkata, lelaki itu tenang menjawab soalan dan sesekali menangis.Menurutnya, Kato mendakwa dia sakit mental serta tidak mempunyai sesiapa di sampingnya ketika ini atau masa depan.

Melihatkan sejarah hidupnya, dia pelajar cemerlang selain aktif bersukan sehingga memegang jawatan Presiden Kelab Tenis di bekas sekolahnya, Aomori Prefectual High School. Begitupun, dia gagal dalam ujian untuk ke universiti, sekali gus meleburkan impian melanjutkan pelajaran ke menara gading.Berikutan itu, dia memohon kerja di kilang pengeluar komponen kenderaan untuk menyara kehidupan.

Eksekutif kilang itu, Osamu Namai, berkata Kato pekerja serius serta tidak memiliki ramai rakan, tetapi tidak menimbulkan masalah sepanjang bekerja.Begitupun, kata Osamu, tiga hari sebelum kejadian, Kato berang dan menjerit di kilang kerana pakaian seragam miliknya hilang, selain dia pulang lebih awal daripada biasa.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda melahirkan kebimbangan jenayah berkenaan berulang dan beliau mengadakan perbincangan bersama kabinet untuk mencari jalan mengelak ia berlaku lagi.Berdasarkan rekod National Police Agency Jepun, dari 1998 hingga 2007, sebanyak 67 kes seperti itu direkodkan dan pembunuhan beramai-ramai oleh Kato adalah paling kejam dalam sejarah Jepun, terutama membabitkan angka kematian yang besar.




Info

NAMA: Tomohiro Kato

USIA: 25 tahun

ASAL: Susono, Shizuoka, Jepun

KEJADIAN: Dalam kejadian 8 Jun 2008 di Chiyoda, Tokyo, Jepun, Kato memandu sebuah trak dan merempuh kesibukan manusia di Akihabara. Rempuhan itu mengakibatkan tiga terbunuh dan empat yang lain mati ditikam serta 10 awam cedera parah.

MANGSA TERKORBAN: Mai Muto (21); Katsuhiko Nakamura (74); Kazunori Fujino (19); Mitsuru Matsui (33); Kazuhiro Koiwa (47); Naoki Miyamoto (31) dan Takahiro Kawaguchi (19)HUKUMAN: Pihak berkuasa Jepun masih menahan Kato untuk menyiasat perbuatannya sebelum mengambil tindakan lanjut.


Sumber: Harian Metro


No comments: