Saturday, September 29, 2007

20 Tahun diganggu Saka




Oleh Nasron Sira Rahim mailto:Rahimnasron@bharian.com.my


'Saya dan adik beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling'


"SAYA menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa seseorang itu sanggup 'mengorbankan' keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan Islam."


Begitulah luahan seorang wanita selepas membaca rencana mengenai angkara Saka yang disiarkan dalam Dimensi, tiga minggu lalu. Wanita yang hanya mahu menggelar dirinya Alia, menghantar emel untuk berkongsi pengalamannya lebih 20 tahun dihantui Saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya. Berikutan itu, Alia menetap di luar negara untuk mengelak pelbagai gangguan mistik dan menyeramkan angkara saka itu. Ikuti luahannya:


Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum meninggal, datuk sebelah ayah lumpuh selama setahun. Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama paha ke bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain, kerap jatuh dan terlanggar. Ketika saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik beradik lain selalu terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di rumah kami. Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling.


Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak. Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang melihat kami. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya, saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam. Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti dicucuk jarum halus apabila ayah pulang. Dalam rumah pula, selalu muncul serangga seperti belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang, berwarna hijau keperang-perangan dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh kuat dan berdesing.


Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah, keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana setiap malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar. Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti paku mencucuk. Sebelum datang haid, saya ada lebam di paha dan kitaran haid juga tidak normal malah kadang-kadang tiada langsung. Sebelum muncul lebam, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk selain bau darah hanyir. Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada ayah sebaliknya dimarahi dan memberi pelbagai alasan.


Disebabkan terlalu kerap menghidap penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah bagaimanapun mengesahkan kami sihat. Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal perubatan mengatakan kami terkena sihir. Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah semakin teruk.


Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik berang tanpa sebab hingga kami ketakutan. Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami diberitahu masalah ibu dan saya berpunca daripada ‘belaan’ keluarga suami. Dia menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian menjaga harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah. Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat. Pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga ibu terbabit.


Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda musibah pelik-pelik. Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk - selalu demam, tidur malam terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar.


Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa, ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar: “Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai ‘wali’ ketika menuntut. Wali itu menghadiahkan ‘khadam’ untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat dan berasa gerun. “Selepas datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan.


Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain. “Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua keturunan keluarga ayah,” katanya.


Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kadangkala bermimpi melahirkan anak kecil. Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati, kemungkinan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah yang mati pada usia muda. Wallahualam.


Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan menyusukan bayi. Pernah sekali antara sedar dan tidak, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang ‘ia’ sudah mati dan hendak memeluk saya. Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi bau masih ada. Insiden pelik lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengah hari dan malam.


Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan sekeping bumbung (atap) rumah terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah berpinggan-pinggan. Ayah juga ada menyimpan keris kecil yang katanya, pusaka yang harus dijaga rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit. Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian yang baunya sungguh kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan. Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri dan ketika itu di luar rumah ada bunyi serangga seperti belalang yang berdesing kuat.


Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh meninggal dunia selagi ‘amalannya’ diturunkan kepada waris keturunannya menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu memutuskan hubungan dengan ayah dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan. Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu. Kini saya menetap di luar negara dan dalam proses membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada tetapi sudah tidak seteruk dulu. Buat masa ini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada.


Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini. Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka jika tidak dibendung membawa mudarat - perpecahan rumah tangga, perceraian suami isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang. Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan Nabi dan Rasul.


INFO: Saka



Saka adalah amalan mewarisi jin atau syaitan untuk membolehkan makhluk halus itu memberikan pemiliknya pelbagai kekuasaan ghaib seperti kekuatan luar biasa, kecantikan, pengaruh dalam masyarakat dan pelbagai lagi.


Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah syirik dan haram di dalam Islam.


Jin yang menjadi saka boleh memperdaya tuannya seperti menjelma di dalam mimpi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat. Akan tetapi ia bagi memastikan manusia itu terpedaya dengannya seterusnya sesat dari Islam.


Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah tetapi kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula pelbagai antaranya menerusi perbuatan seperti bersalaman, menerusi lafaz atau menyerahkan barang tertentu seperti keris, cincin, azimat termasuk kertas bertulis ayat al-Quran.

Thursday, September 13, 2007

Pencarian Penulis Muda








Karya MPR Apa yang dicari penulis muda?
Oleh: AZMAN ISMAIL



SASTERA lahir dari kekinian dan kurun waktu yang kongkrit walaupun sastera itu sendiri merupakan sebuah dunia imaginasi. Namun, tidak ada sastera yang paling imaginer yang sanggup memiliki wilayah outonomi yang mutlak, subjektif dan tidak ada sangkut paut dengan individu - Adolfo Sanchez Vasquez

APA sebenarnya makna di sebalik ungkapan Vasquez tersebut? Memang beliau menulis pendapatnya tentang seni (khususnya sastera) dari perspektif Marxisme.

Namun ada satu hal yang mewakili pandangan manapun; sesebuah karya sastera tidak mungkin lahir dari ruang kosong, tanpa alasan dan sebab akibatnya.

Vasquez mengutarakan pendapat yang sangat ekstrem dalam hal ini iaitu tidak mungkin sesebuah teks sastera atau drama dihasilkan berdasarkan imaginasi pengarang semata-mata.
Novel Salina karya A. Samad Said, Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad atau Anugerah, nukilan Zaharah Nawawi misalnya lahir dari sebuah ruang persoalan yang kuat.

Ia mengungkapkan tentang isu kemanusiaan, kemiskinan, kepayahan selepas perang dan halangan alam sekitar (dalam sektor pertanian) dan sebagainya.

Begitu juga dalam karya asing. Novel terbaik Charles Michael Palahniuk iaitu Fight Club misalnya merupakan imbasan daripada sisi gelap penghuni kota di tengah-tengah generasi yang terjerumus dalam arus modernisme.

Majlis Diskusi Karya Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) baru-baru ini secara tidak langsung menyinggung polemik berkaitan makna sesebuah teks sastera yang berhubungan dengan masyarakat.

Perlu diakui, para alumni MPR tersebut mempunyai bakat besar dalam berkarya. Sebut sahaja genre puisi, drama pentas, novel atau cerpen, mereka mempunyai ‘wakil’.

Namun, apa sebenarnya yang dicari atau cuba ditonjolkan oleh pengarang-pengarang muda tersebut jika pendapat Vasquez tentang erti sesebuah teks sastera itu diambil kira.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Kamariah Kamarudin melihat banyak aspek yang cuba diketengahkan selain kematangan para penulis alumni MPR itu cukup menyerlah.

Mereka mampu menggali tema, konsep dan pendekatan baru dalam berkarya dengan berkesan termasuk menekuni sumber berdasarkan al-Quran dan Hadis.

Beliau yang membicarakan novel remaja Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar berpendapat karya tersebut sarat dengan nilai-nilai moral, keagamaan dan akhlak.

Menerusi watak Syahir, pemuda tersebut menjadi simbol kekuatan jiwa anak muda walaupun menghadapi tekanan dan cabaran daripada sistem sosial yang menaunginya.

“Saya melihat ada unsur maruah dan ketinggian nilai sahsiah yang cuba di bawa oleh pengarang (Zaid Akthar) menerusi watak Syahir yang berakhlak mulia serta disenangi banyak orang,” katanya.

Pada satu sisi, tema yang dibawa oleh Zaid bukanlah sesuatu yang baru. Puluhan novel atau cerpen yang bertemakan demikian hadir dalam kesusasteraan Malaysia.

Isu moral, akhlak dan kepincangan dalam masyarakat akibat krisis identiti serta sikap membelakangi agama merupakan isu biasa. Tidak ada sebarang tarikan besar untuk diperkatakan.

Namun, Zaid melontarkan pendekatan baru. Watak Syahir bukanlah seorang pemuda ortodoks yang semata-mata memahami agama secara membuta-tuli. Sebaliknya, dia masih meminati sukan.

Di sinilah kelainan yang cuba ditonjolkan iaitu pergelutan di kancah riadah yang dapat dikaitkan dengan nilai-nilai etika, kemurnian serta kebaikan Islam itu sendiri.

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Amida Abdulhamid yang membicarakan novel Ladang Hati Mustika karya Ummu Hani Abu Hassan berpendapat, tidak ada perubahan besar dalam tema.

Ia hanya merupakan sebuah karya yang mengangkat persoalan dakwah dan penulisan dengan gaya Islamik. Keupayaan menggarap dan menyelami dengan baik tema tersebut membolehkan Ladang Hati Mustika memaparkan sedikit kelainan.

“Paparan tema oleh Ummu Hani dapat dijadikan medium kepada pergerakan dakwah untuk mereka yang jahil agama dan memerlukan petunjuk serta bimbingan ke jalan Allah.

“Pengarang berjaya meletakkan satu konsep pengajaran Islam yang baik serta berhemah secara tidak langsung untuk golongan ini,” katanya.

Selain itu, pengarang turut memaparkan erti kasih sayang dan nilai keharmonian sejagat dalam konsep horizontal dan vertikal.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Misran Rokimin yang membicarakan novel Misi Piramid, karya Ida Munira Abu Bakar pula berpendapat karya tersebut juga tidak banyak menonjolkan sesuatu yang baru.

Cuma ia digarap dalam bentuk alegori yang mengajak khalayak untuk merenung dan menilai erti sebuah kekemerdekaan dalam konteks pembangunan serta pengorbanan.

Karya ini dibina daripada unsur imaginasi pengarang tetapi mengikatnya dalam tema kemerdekaan serta kebebasan. Ia digambarkan menerusi watak Zek yang mengembara dalam mimpinya ke Negara Mian.

Negara tersebut dikatakan mempunyai sistem pertahanan yang canggih dan kuat. Pada masa yang sama Zek berusaha menyelamatkan sekumpulan manusia tawanan negara tersebut yang dilayan dengan kejam.

Menerusi watak Zek, pengarang memasukkan falsafah tentang kebebasan dan hak seseorang manusia untuk merdeka dan hidup dalam keadaan tenteram serta harmoni.

Di sebalik paparan tema dan gaya penulisan yang diketengahkan tersebut, kita tetap menemukan sesuatu yang ‘usang’ dalam pelbagai aspek. Kisah pengembaraan dan wacana yang statik.

Begitu juga gaya bahasa, plot, latar atau konflik dramatik yang cuba diketengahkan oleh ketiga-tiga pengarang tersebut. Tidak ada sesuatu yang memukau.

Oleh itu, mungkin boleh dipertanyakan ke mana sebenarnya hala tuju penulis-penulis alumni MPR. Adakah mereka sekadar mewarisi gaya penulisan sebelumnya dengan membuat sedikit perubahan?

Atau, ada persoalan-persoalan lain yang masih bergerak di sekitar pengarangan mereka. Antara lain masalah sumber atau kekurangan waktu untuk menelaah teks-teks penulis yang lebih berwibawa.

Namun, kita akui ada pengarang alumni MPR yang dianggap ‘terpisah’ daripada kelompok tersebut misalnya Faizal Tehrani yang mengutarakan pendekatan-pendekatan baru dalam berkarya.

Karya Faizal seperti 1515 misalnya mengutarakan pandangan new-historism yang mentafsir kembali fakta-fakta sejarah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 1511 di tangan Portugis ke dalam wacana fiktif.

Malah, tidak sedikit Faizal menerapkan wacana realisme magis, suatu aliran yang berkembang pesat dalam gaya penulisan pengarang-pengarang tersohor Amerika Latin.
**
Utusan Malaysia/13 September 2007