Berikut merupakan jawapan saya terhadap isu-isu semasa tentang belia yang dilontarkan oleh presiden sebuah pertubuhan belia melalui e-mel.
Waalaikumussalam Wbt.
Tahniah. Saya gembira dengan keprihatinan saudara dan rakan seperjuangan terhadap generasi muda hari ini. Saudara mempunyai peluang dan ruang yang luas untuk merapatkan jurang antara realiti getir segelintir (bukan majoriti atau semua) generasi muda masa kini dengan nilai ideal yang didambakan.
Memang kita hari ini hidup dalam serba ketakutan, keranamelihatkan satu demi satu episod keruntuhan akhlak generasi muda hari ini.
Benar, kita perlu prihatin, namun usah takut. Fenomena yang berlaku hari ini sudah lama dinyatakan oleh baginda Rasul supaya kita selaku khalifah bersedia untuk menghadapinya dan menanganinya dengan penuh kebijaksanaan. Inilah realiti dunia akhir zaman.
Apakah benar generasi muda hari ini merupakan mangsa kepada pembangunanmaterialistik dan moden hari ini?
Ya, generasi muda adalah mangsa, pemangsa dan orang yang memangsakan dirinya sendiri.
Mengapa generasi tua/ senior tidak mampu menunjukkan tauladan yang baikkepada generasi muda? kerana saya melihatkan antara punca krisis akhlakgenerasi muda hari ini ialah ketiadaan idola yang mampu memberi tauladan baik kepada mereka.
Sebaik-baik idola dan contoh tauladan yang baik pastinya Nabi Muhammad SAW. Tidak salah menjadikan orang lain sebagai idola asalkan tidak terlalu taksub lantaran mereka ini tidak bersifat maksum.
Di Malaysia, kita mempunyai ramai generasi tua/senior yang berketrampilan namun mereka tidak suka menonjolkan diri. Jika di pihak .... , saya fikir Dr. Asraf Wajdi dan Prof. Dr. Sidek Baba boleh dijadikan contoh yang baik.
Usah menuding jari kepada orang lain. Jika tidak, selama itulah kita akan menjadi seperti lagu ‘katak oh! katak’. Menjadi seorang belia bermakna individu tersebut sudah melewati usia mumaiz dan baligh. Justeru, secara dasarnya sudah dapat membezakan antara perkara yang baik dan buruk serta berupaya memikul tanggung –jawab di bahu masing-masing.
Justeru, menjadi satu tanggungjawab agar kita membentuk idola-idola yang boleh dicontohi. Bermula dengan diri kita sendiri – ya, bagi saya inilah antara cabaran utama yang perlu dilunaskan oleh setiap individu- menjadi uswatun hasanah. Saudara dan rakan-rakan saudara sendiri sudah boleh dikategorikan sebagai senior.
Saya fikir, strategi baru perlu dirancang. Lahirkan ramai manusia hebat yang boleh dijadikan contoh ikutan yang baik dan tonjolkan mereka mengatasi idola yang ada. Bina populariti dan ketrampilan diri kerana Allah. Awas – pastikan niat dan cara sentiasa betul.
Sementara itu, badan khas mungkin boleh diwujudkan untuk memantapkan akhlak dan ketrampilan ‘idola-idola’ belia sedia ada seperti Mawi, Wardina Sofeya, Siti Nurhaliza, Syarifah Aleya. Mereka aset besar yang boleh kita gembeling sepenuhnya. Dalam pada itu, personaliti yang sudah sedia mantap kita tampilkan dan berikan sokongan secukupnya agar mereka berupaya memantapkan lagi prestasi mereka.
Ingat saudara, tiada manusia yang sempurna – tonjolkan kekuatan, perbaiki kelemahan dan bersedialah untuk menerima diri sendiri serta orang lain seadanya.
Apakah gejala keruntuhan akhlak ini merupakan fenomena biasa dalam proses seseorang dalam mencapai kematangan hidup? Memandangkan 'darah' muda yang mereka ada. Kemungkinan apabila sudah matang, maka mereka tidak akan berterusan dalam dunia kegelapan itu.
Ya, keruntuhan akhlak fenomena biasa. Namun, bukan hanya terhad kepada golongan belia. Kehidupan dunia ini adalah ujian. Justeru, keruntuhan akhlak adalah fenomena biasa kerana jiwa manusia itu sentiasa cenderung kepada fujur dan taqwa. Setiap zaman (kurun) dan setiap peringkat usia (samaada kanak-kanak, belia mahupun orang dewasa) mempunyai konflik dan tekanan tersendiri.
Kematangan manusia berlaku secara bertahap. Namun, manusia yang berilmu, bertaqwa dan suka berfikir secara mendalam lazimnya akan mencapai kematangan yang lebih cepat berbanding orang lain. Hakikat ini dapat diperhatikan apabila kita menyorot generasi muda di zaman Rasulullah (http://jurnalakademik.blogspot.com/2007/02/membina-generasi-pewaris.html). Lantaran itulah, cabaran utama dalam pembangunan manusia adalah untuk melahirkan manusia yang bijaksana, dinamik dan berakhlak terpuji. Jika inilah yang ada pada generasi muda kita, saya percaya anda semua berupaya mewariskan kecemerlangan hakiki kepada generasi akan datang.
Penyapu sudah di tangan, terpulang kepada saudara. Semakin lama saudara bertangguh… sampah yang berada di hadapan saudara akan terus bertambah dan bertimbun. Saudara masih mahu menunggu orang tua saudara atau saudara dan rakan-rakan saudara segera bergegas membersihkannya?