Monday, April 21, 2008

Jerangkap Sindiket Dadah Antarabangsa



Oleh Jami'ah Shukri


"HARAPKAN pagar, pagar makan padi". Nasib 20 wanita Malaysia, sebahagian besarnya berusia awal 20-an, yang dilaporkan dikurung sindiket dadah antarabangsa di sebuah rumah di Madrid, Sepanyol untuk dijadikan penghantar dadah ke beberapa destinasi di Eropah adalah antara secebis episod kisah benar bagaimana eksploitasi ke atas wanita dengan mudahnya dilakukan pengedar dadah. Beberapa kisah rakyat Malaysia yang meringkuk di penjara di luar negara berikutan kegiatan itu mungkin menggambarkan betapa dangkal dan tipisnya wanita yang menerima tanpa berfikir panjang janji manis pengedar. Mengharapkan madu, sebaliknya tuba diberikan. Menurut laporan polis, kalangan wanita itu terpedaya dengan tawaran sindiket yang menjanjikan pekerjaan di Eropah dengan bayaran lumayan. Tidak kurang juga ada antara mereka terlalu mempercayai teman lelaki sehingga tidak sedar diri terjebak dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.


Bagi Azura Maizura Alias, 21, dari Pulau Pangkor, Perak dan Dayang Sakienah Mat Lazim, 20, dari Bukit Payung, Terengganu, yang didakwa dibawa ke Madrid oleh tiga lelaki warga Afrika dan seorang wanita tempatan, kemudian dipaksa menghantar dadah ke negara tertentu pada 1 Januari lalu, menjadi episod hitam dalam hidup mereka. Kes sama juga pernah dilaporkan membabitkan remaja tempatan, Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, kini menghadapi hukuman penjara tujuh tahun di Jepun kerana mengedar syabu seberat 690 gram. Pelajar komunikasi massa Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya ini diberkas di Lapangan Terbang Tokyo pada 2006 dan mengaku bersalah.



Selain itu, pelajar Universiti Malaysia Sabah, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dari Kelantan menghadapi hukuman mati kerana menyeludup tiga kilogram (kg) heroin. Dia diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Shantou, China pada 19 Januari lalu.



Umi Azlim mendakwa bahawa dia terpengaruh dengan iklan di internet yang menawarkan jawatan dengan bayaran lumayan hanya untuk penghantaran barangan. Dalam kes lain pula, Irene Manggi, 22, dari Sarawak, didakwa kerana memiliki kokain di Brazil dan kini meringkuk di Penjara Sao Paolo.



Itu adalah antara puluhan kes rakyat Malaysia yang terjebak dengan kegiatan berkenaan dan sepatutnya ia menjadi teladan kepada semua masyarakat terutama remaja supaya tidak terjerumus dengan perangkap seumpama itu kerana tidak ada jalan lain boleh dilakukan untuk membantu mereka kecuali mendapatkan khidmat peguam untuk perbicaraan di mahkamah.



Mengikut rekod polis, pelajar kolej dan universiti menjadi sasaran pihak tertentu untuk dijadikan pengedar dadah ke destinasi tertentu. Pelbagai taktik dipasang sebagai umpan bagi menarik pelajar itu, khususnya wanita. Difahamkan ada sindiket dadah antarabangsa ini yang memasuki negara ini menggunakan visa pelancong mengambil kesempatan mengumpan wanita menjadi pengedar dadah, menjanjikan pelbagai tawaran menarik seperti mendapatkan pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan selain bersedia menjadi kekasih mereka.


Dengan perwatakan kacak dan gaya menawan sudah pasti gadis tempatan itu mudah terpedaya serta bersedia untuk mengikut apa saja kemahuannya, tanpa mengetahui motif sebenar.



Kegiatan pengedaran dadah menggunakan wanita juga berlaku bukan saja di Malaysia, malah di luar negara dan menjadi isu global. Berdasarkan perangkaan Polis India (New Delhi), seramai 97 wanita dikesan mengedar dadah di negara itu pada 2006 berbanding 84 pada tahun sebelumnya. Ternyata, penggunaan wanita sebagai pengedar dadah tidak kira di dalam atau luar negara adalah isu yang semakin serius.



Aktiviti pengedaran dadah berlaku seusia dengan sejarah kewujudan dadah itu sendiri. Wujud andaian, kononnya wanita jarang menimbulkan syak wasangka di kalangan polis dan biasanya golongan itu bukan sasaran utama mereka untuk ditangkap atas kegiatan jenayah. Selain itu, acap kali wanita jarang mempunyai rekod jenayah untuk menyeludup dadah. Namun, andaian itu tidak tepat lagi. Di mana-mana juga di pelosok dunia ini, sama ada menghisap, memproses, mengedar atau menyeludup dadah adalah kegiatan yang salah di sisi undang-undang. Di kebanyakan negara, mereka yang sabit dengan kegiatan mengedar dadah boleh dipenjara.



Di Malaysia dan beberapa negara lain seperti China dan Singapura menerima risiko hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Bagi mereka yang terbabit dengan sebarang kesalahan berkaitannya, sudah pasti kerajaan sukar untuk membantu rakyat kita yang terjebak dengan kes itu di luar negara kerana mempunyai kaedah berbeza.



Seperti ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, apa yang boleh kerajaan lakukan ialah memastikan proses mahkamah berkenaan berjalan dengan prinsip keadilan menerusi perbicaraan yang adil dan bebas. "Sukar bagi kita untuk berbuat apa-apa... kita nak tentukan kaedah lain sukar bagi kita. Ini (bantuan guaman) atas (keperluan) individu bukan kerajaan," katanya. Justeru, semua pihak tidak kira ibu bapa, guru dan masyarakat keseluruhannya perlu saling memainkan peranan untuk mengelak terbabit dalam kegiatan itu dan mereka seharusnya lebih prihatin kerana kesalahan dadah tiada kompromi.



Di negara kita, undang-undang bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah cukup tegas apabila kerajaan memperkenalkan Dasar Dadah Negara, pada 19 Februari 1983 bertujuan mengurangkan permintaan dan bekalan dadah serta melahirkan masyarakat yang bebas daripada dadah. Selain itu, pada Jun 1996, pula Dasar Dadah Negara memperkenalkan pula empat strategi baru meliputi pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan, selain kerjasama antarabangsa sebagai strategi sokongan.



Ternyata semua kategori kesalahan membabitkan dadah itu menjadi agenda utama kerana ia turut menjadi antara musuh utama negara. Tidak mustahil usaha ke arah menjadikan sifar dadah bagi semua kategori itu juga sentiasa dilakukan bersama polis, Pemadam dan badan bukan kerajaan (NGO) lain. Apa yang penting, kita seharusnya menjadi sebuah negara yang selamat daripada sebarang tohmahan sama ada sebagai lokasi pengeluaran dadah, pusat transit dadah dan sebagainya. Selain itu, imej Malaysia di mata dunia perlu bersih supaya apabila rakyat negara ini ingin melawat luar negara tidak menghadapi masalah terpaksa melalui proses pemeriksaan ketat, gara-gara dikhuatiri sebagai pengedar dadah.


Sumber:

Jami'ah Syukri, 2008. Jerat sindiket dadah sasar wanita tempatan, 21/04/08, http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Rencana/20080421000856/Article/index_html


Sunday, April 20, 2008

Remaja Jatuh Flat


PUTRAJAYA 20 April - Seorang pelajar perempuan yang dihalang daripada menemui temannya maut selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri dekat Presint 9 di sini awal pagi ini.

Mangsa, Nurul Farah Mazlan, 17, pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 5.20 pagi.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai cuba turun dari rumahnya yang terletak di tingkat 11 untuk ke rumah rakannya di tingkat 10 menggunakan kain cadar yang diikat pada balkoni kira-kira pukul 3.50 pagi.

''Mangsa dipercayai gagal mengimbangkan badan ketika turun dari tingkat 11 itu sehingga menyebabkannya terjatuh," kata jurucakap tersebut ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa tidak dibenarkan keluar dari rumah oleh ibu bapanya selepas menyatakan hasrat untuk menemui seorang kawan.

''Kematian mangsa berpunca daripada kecederaan teruk pada seluruh anggota badannya," kata jurucakap tersebut.

Sementara itu, bapa mangsa Mazlan Hassan, 51, enggan ditemui oleh pihak media.
Jenazah Nurul Farah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20, di sini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Supritendan Abd. Razak Abd. Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.


Sumber:


Utusan Malaysia, 2008. Pelajar perempuan maut jatuh flat, dilihat pada 21 April 2008, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm